Monday

Warkah Ustaz Rasul Dahri

بِسْــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم



اِنَّ الْحَمْدَ للهِ ، نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ ، وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ اَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ اَعْمَالِنَا ، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ ، وَاَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَـرِيْكَ لَهُ ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. { يَااَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ اِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْـلِمُوْنَ }. { يَااَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوْا رَبَّكُمُ الَّذِيْ خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَّاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيْرًا وَّنِسَآءًا وَاتَّقُوْا اللهَ الَّذِيْ تَسَـآءلُوْنَ بِهِ وَالاَرْحَامَ اِنَّ اللهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيْبًا} . { يَااَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اتَقُوْا اللهَ وَقُوْلُوْا قَوْلاً سَدِيْدًا يُصْلِحْ لَكُمْ اَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُـوْلَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيْمًا }. اَمَّا بَعْدُ : فَاِنَّ اَصْدَقَ الْحَدِيْثِ كِتَابُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ ، وَاَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَشَرَّ الاُمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا ، فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ ، وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِى النَّارِ .



Buku ini setelah diusahakan dengan kajian kritis dan serius, al-hamdulillah mampu mengenalkan kita dengan lebih dekat kepada sebuah pertubuhan berlebelkan Islam iaitu pertubuhan Ikhwanul Muslimin dan jamaahnya. Namun setelah berkenalan secara mendalam dengan pertubuhan ini, ternyata ia telah dikotori oleh beberapa talbis, makr, tadlis dan dicemari oleh hawa nafsu dan akal sehingga gerakannya banyak yang bertentangan dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Oleh kerana itu pertubuhan ini lebih layak dan tidak silap jika digelar sebagai Ikhwanul Muflisin [1] bukan Ikhwanul Muslimin. Gelaran “muflis” [2] layak disandang oleh pertubuhan yang dianggap klasik ini kerana ternyata gerakan ini (setelah dilakukan pembongkaran yang teliti, pembahasan secara ilmiyah dan penilaian secara syarie), terbukti ia masih ketandusan ilmu-ilmu yang hak, kegersangan akidah sahihah, dipenuhi dengan berbagai-bagai bid’ah dan tidak memiliki manhaj yang terang sehingga menyelusuri manhaj yang keliru malah membingungkan.


Buku ini dihasilkan dalam rangka menunaikan kewajipan menasihati umat, bukan bertujuan untuk provokasi, mengajak mereka agar menimbulkan kedengkian, memusuhi, menghukum fasik, bid’ah (tabdi’), mencela atau mengkafirkan mana-mana ulama, individu, jamaah, pertubuhan, parti atau gerakan kerana takfir (pengkafiran) bukanlah dari ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, tetapi matlamat utama dari tulisan dan pendedahan ini untuk mengajak umat menjauhi setiap pemikiran dan seruan batil yang boleh merosakkan akidah, ibadah, akhlak dan syariat Allah.

Buku ini mengandungi berbagai-bagai bukti, fakta dan kritikan tentang penyelewengan akidah, ibadah, akhlak dan siyasah yang ditemui di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin yang dimunculkan oleh para tokoh mereka. Kenyataan ini sengaja didedahkan supaya orang-orang beriman dapat mengenali dan mengetahui penyelewengan gerakan ini, kemudian menjauhkan diri agar tidak terlibat dengan segala aktivitinya, meninggalkannya jika sudah terlibat dengannya dan mampu menentangnya setelah menyedari akan segala kebatilan yang ada pada mereka. Segala apa yang dibuktikan di dalam tulisan ini telah dinukil (disalin) dengan cermat, berhati-hati dan amanah, bukan bersumber dari emosi atau tuduhan kerana semua yang tertulis akan dipertanggung-jawabkan di hadapan Allah Subhanahu wa-Ta’ala di akhirat kelak. Jika ada individu yang menuduh ia dinukil secara yang tidak amanah dan penuh pembohongan maka penulis serahkan tuduhan tersebut kepada Allah agar mengadilinya di akhirat nanti dengan sebaik-baik pengadilan, kerana hanya insan yang celik hatinya dapat melihat kebenaran sinar ilmu dan hidayah sehingga dapat meniti di atas manhaj Salaf as-Soleh yang selamat. Semoga Allah melindungi kita dari kebutaan hati dan fikiran. Allah berfirman:

فَاِِنَّهَا لاَ تَعْمَى اْلأبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِيْ فِى الصُّدُوْرِ.

“Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada”.[3]


Buku ini mengajak orang beriman supaya tidak menjadi insan yang lebih mengutamakan status, kedudukan, teman-teman atau ghulu kepada individu, jamaah, persatuan atau petubuhan seperti ghulu kepada Ikhwanul Muslimin dan tokoh-tokohnya.

Buku ini menyeru agar tidak membutakan mata apabila diberi cahaya kebenaran, tidak memekakkan telinga setelah mendengar kemungkaran dan tidak membisu seperti syaitan demi mempertahankan kedudukan. Apabila mengetahui dan melihat kebatilan Ikhwanul Muslimin, janganlah membutakan mata dan hati sehingga merasa sangsi untuk memberi teguran, kerana takut akan menjadi asisten syaitan. Dan moga-moga kita semua dijauhkan dari menjadi orang yang tidak siuman, yang suka merapu tak keruan sehingga membuat tuduhan tidak tentu pasal apabila Ikhwanul Muslimin diberi kritikan. Allah berfirman:

مَنْ كَانَ فِى هَذِهِ اْلأَعْمَى فَهُوَ فِى اْلآخِرَةِ أَعْمَى وَأَضَلُّ سَبِيْلاً

“Dan barangsiapa yang buta (hatinya) di dunia ini nescaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar)”.[4]


Buku ini ditulis dengan niat ikhlas untuk mengenalkan kepada mereka yang mencintai kesahihan akidah, ibadah dan syariat Islamiyah agar menjauhkan diri dan keluarga mereka dari berbagai-bagai pertubuhan, gerakan, jamaah dan individu yang membawa umat yang jahil kepada kemungkaran, kesesatan, bid’ah, khurafat dan kesyirikan yang dikembangkan oleh mereka yang berselindung di bawah naungan pertubuhan, persatuan, jamaah atau gerakan seperti Ikhwanul Muslimin alias Ikhwanul Muflisin yang dibungkus dengan jenama agama. Buku ini tidak difokaskan untuk menyerang Ikhwanul Muslimin, tidak pula mengajak umat mencari-cari aib, kesalahan, isu-isu sensitif murahan atau mengkafirkan Ikhwanul Muslimin serta para tokohnya, kerana tidak boleh dikafirkan Ahli Kiblah yang belum jelas kekafirannya, tambahan pula tidak seorangpun dari anggota Ikhwanul Muslimin yang mahu menjadi kafir. Namun, buku ini mengajak umat agar berbara’ (berlepas diri) dari setiap kesilapan Ikhwanul Muslimin terutama yang menjejaskan akidah, ibadah dan akhlak.

Buku ini mungkin akan menjadi polemik di persada pemikiran masyarakat yang mengaku Ahli Sunnah, menimbulkan kontroversi atau stigma bagi yang gemar mengambil kesempatan. Walauapapun yang terjadi, semoga ia menjadi hidayah dan inayah dari Allah, kerana usaha yang murni dan ikhlas ini (membongkar segala tembelang Ikhwanul Muslimin) diharapkan dapat menyelamatkan akidah, ibadah dan manhaj para pencari ilmu dan pencinta kebenaran dari terjerumus ke jurang terhina yang dipandu oleh para penyeleweng dan penyeru ke jalan kesesatan. Amin ya Rabbal ‘alamin!

Ikhlas dari:

Abu Farouq Rasul bin Dahri
Johor Bahru,
Johor, Malaysia.

-------------------------------------------------------------------------

[1] . Istilah ini (Ikhwanul Muflisin) penulis meminjam dari pengistilahan (laqab)
yang diberikan oleh Syeikh Muqbil (ulama dari Yaman) kepada pertubuhan
Ikhwanul Muslimin. Muflisin yang dimaksudkan ialah kekeringan atau tidak
mempunyai ilmu syariat yang mencukupi.
[2] . Muflis: Berasal dari perkataan Arab bermaksud: Tidak sanggup (berupaya)
membayar hutang, (bankrap). Tetapi muflis di dalam tulisan ini dimaksudkan
tidak berupaya mendatangkan hujah dan ilmu yang hak.
[3] . al-Hajj, 22:46.
[4] . al-Isra’, 17:72.