Monday

03 -Tiada Bukti Hasan al-Banna Bertaubat

Tiada Bukti Hasan al-Banna Bertaubat

Walaupun Hasan al-Banna telah menulis di dalam Usul Isyrin Prinsip no. 14 dengan menyatakan:

“Menziarahi kubur adalah suatu perkara yang disyariatkan dengan contoh yang diajarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Akan tetapi, meminta pertolongan kepada mayat di dalam kubur siapapun mereka, berdoa kepadanya, meminta pertolongan kepadanya, bernazar untuknya, membina bangunan di atasnya, menutupi kelambu, menerangi dengan lampu, mengusapnya untuk mendapat berkah, bersumpah dengan selain Allah dan segala sesuatu yang serupa dengannya adalah bid’ah yang wajib diperangi. Usahlah mencari-cari cara untuk membolehkan berbagai perilaku itu demi menutup fitnah yang lebih besar lagi”.

Tulisan dan kenyataan di atas, seolah-olah tidak bermakna kerana semasa hidupnya Hasan al-Banna masih membiarkan (tidak mengkoreksi) semua tulisan-tulisannya yang memuliakan amalan yang bid’ah seperti amalan kuburi, perayaan maulid, zikir jama’i, wirid-wirid kesufian yang mengandungi unsur kesyirikan dan sebagainya. Termasuklah tulisan-tulisan yang mahu diterbitkan semula atau yang telah dicetak berulang kali didapati masih mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah sahihah. Walaupun Hasan al-Banna dan para tokoh dalam jamaahnya tahu tentang tulisan-tulisan tersebut dipenuhi dengan amalan kuburi, syirik dan berbagai-bagai bid’ah, ianya masih terus diulang cetak, diterbitkan dan dipasarkan sehingga kehari ini. Kalau benar mereka amanah, ikhlas dan jujur, mengapa semuanya itu tidak dikoreksi, dikomentar atau diharamkan? Begitu juga jika benar Hasan al-Banna dan para tokoh yang diulamakan di dalam jamaahnya menyedari hakikat tersebut menyalahi sunnah, mengapa para tokoh Ikhwanul Muslimin berbangga-bangga dengan hasil pena Hasan al-Banna yang tidak pernah dikoreksi oleh mereka? Malah Hasan al-Banna semasa hidupnya masih terus merayakan majlis-majlis yang dipenuhi dengan bid’ah dan kesyirikan seperti perayaan maulid, majlis-majlis haul antaranya perayaan di kubur Syaidah Fatimah dan sebagainya. Didapati beliau semasa hidupnya dan juga para tokoh serta mereka-mereka yang sefahaman dengan beliau masih menyampaikan ceramah di majlis-majlis bid’ah sebagaimana syeikhnya (Hasan al-Banna).

Disepanjang hidupnya tidak ada satupun bukti yang ditemui, sama ada melalui ucapan atau tulisan yang dipaparkan oleh Hasan al-Banna bahawa beliau telah bertaubat dari amalan dan keyakinannya tentang sufi/tasawuf dan kuburi. Tidak syak lagi bahawa beliau tidak pernah menentang akidah kuburiyah yang bid’ah yang jelas membawa kepada kesyirikan.
[1] Keyakinan sebegini adalah bid’ah dan wajib ditinggalkan kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِى النَّارِ.

“Setiap bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu di neraka”.

Apakah menurut syara ada dalil yang membolehkan manusia yang hidup atau yang sudah mati boleh mengampunkan dosa-dosa orang lain, sama ada yang telah berlalu atau yang akan datang? Sedangkan amalan meminta pengampunan kepada orang mati tidak pernah dilakukan oleh para Salaf as-Soleh. Ketahuilah generasi Salaf tetap berpegang kepada pesanan dan kaedah yang global!:

لَوْ كَانَ خَيْرًا لَسَبَقُوْانَا إِلَيْهِ.

“Jika sekiranya perbuatan itu baik pasti mereka (para Salaf) telah mendahului kita mengerjakannya”.

Bukankah keyakinan bertawassul, beristighasah dan meminta pengampunan kepada manusia yang telah mati meyerupai keyakinan agama Yahudi, Nasara dan keyakinan orang-orang jahiliyah? Orang-orang jahiliyah terutamanya meminta keberkatan dan pertolongan kepada Latta, Uzza dan Manata yang juga diamalkan oleh Hasan al-Banna dan para pengikutnya sebagaimana yang terdapat di dalam rangkap syair Hasan al-Banna. Inilah akidah bid’ah yang terdapat di dalam tariqat tasawuf Hasan al-Banna. Fahamilah bahawa antara tujuan utama para nabi dan rasul diutus demi untuk menghapuskan keyakinan seperti ini. Begitu juga, Allah telah menjelaskan melalui firmanNya bahawa tiada siapa yang boleh mengampunkan dosa kecuali Dia. Allah ‘Azza wa-Jalla berfirman:

وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ اللهُ.

“Dan siapakah yang dapat mengampunkan segala dosa jika tidak selain Allah?”.
[2]
Hasan al-Banna di dalam fatwanya telah mewajibkan perayaan maulid Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, beliau berfatwa:

“Menghidupkan perayaan maulid Rasulullah menjadi kewajipan semua orang sama ada Islam atau bukan Islam kerana majlis ini dipenuhi dengan berkat. Rasul kita sallallahu ‘alaihi wa-sallam diutus bukan untuk kaum muslimin sahaja, tetapi baginda juga diutus sebagai rahmat untuk sekalian alam, jin dan manusia”.
[3]

Hasan al-Banna membolehkan seseorang berdoa atau bertawassul (berperantaraan) kepada kuburan, menyeru roh wali yang dikeramatkan, berperantara dengan orang yang telah mati terutamanya berperantaraan dengan para syeikh-syeikh sufi yang dianggap sebagai orang suci. Hasan al-Banna tidak pernah menarik semula (tidak pernah membatalkan) atau memansuhkan fatwa-fatwanya, antara fatwa beliau:

“Berdoa apabila disertai dengan bertawassul kepada Allah dengan makhlukNya (yang telah mati), maka yang demikian adalah furu’iyah dalam tata cara berdoa, bukan termasuk dalam masalah akidah”.
[4]

Subhanallah, astaghfirullah! Bukankah perbuatan memuliakan orang-orang soleh dengan cara berdoa dan bertawassul (berperantaraan) kepada orang soleh tersebut yang telah mati termasuk amalan jahiliyah yang berkait dengan akidah? Ia berkonsekuensi kepada syirik akbar (syirik besar) dan membatalkan tauhid seseorang kepada Allah.

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah memberikan bab khusus tentang hal ini di dalam kitabnya (Kitab at-Tauhid) pada bab:

“Penyebab Kekafiran Bani Adam Dan Terkeluarnya Mereka Dari Agama Adalah Kerana Ghulu Terhadap Orang-Orang Soleh”.
[5]

Para nabi dan rasul diutus oleh Allah ‘Azza wa-Jalla demi untuk menghapuskan keyakinan atau akidah syirik seperti ini, kerana ia menyerupai perbuatan dan iktikad para penyembah berhala, golongan kaum kafirin Yahudi, Nasrani dan Majusi. Inilah ciri-ciri khusus orang-orang jahiliyah beribadah sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran dan hadis-hadis sahih, iaitu menyeru, mengambil berkat, meminta syafaat dan berperantaraan orang-orang soleh yang telah mati. Ia benar-benar menyangkut persoalan akidah dan bukan persoalan furu’iyah kerana dengan jelas Allah ‘Azza wa-Jalla telah menegaskan dengan firmanNya:

وَمَنْ يَدْعُ مَعَ اللهِ إِلَهًا آخَرَ لاَ بُرهَانَ لَهُ بِهِ فَإِنَّمَا حِسَابُهُ عِنْدَ رِبِّهِ إِِنَّهُ لاَ يُفْلِحُ الكَافِرُوْنَ.

“Barangsiapa menyeru tuhan lain di samping Allah, sedangkan tidak ada dalil baginya tentang itu maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak akan mendapat kejayaan”.
[6]

وَلاَ تَدْعُ مِنْ دُوْنِ اللهِ مَا لاَ يَنْفَعُكَ وَلاَ يَضُرُّكَ فَإِنْ فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِّنَ الظَّالِمِيْنَ

“Dan janganlah kamu seru apa yang tidak memberi manfaat dan tidak pula memberi mudarat kepada selain Allah sebab apabila kamu melakukan sedemikian itu maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang zalim (syirik)”.
[7]

Segala seruan atau berdoa dengan permohonan pada hal-hal yang ghaib adalah termasuk persoalan ibadah, kerana segala persoalan yang ghaib hanya Allah yang mengurus, menentukan dan mengetahuinya, oleh itu tidak boleh menyeru selain kepada Allah ‘Azza wa-Jalla dalam hal-hal ibadah ghaibiyah.

Tidak dihalalkan berdoa kecuali hanya kepada Allah sahaja atau nama-namaNya yang husna. Hanya Dialah yang paling berhak diibadahi tanpa disekutukan dengan yang lain kerana nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

اَلدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَة

“Doa itu adalah ibadah”
[8]

Bagaimana Hasan al-Banna, Yusuf al-Qaradhawi dan Sa’id Hawa yang jelas mereka memperjuangkan sufiyah dan kuburiyah diangkat sebagai tokoh penyumbang kepada kebangkitan tajdid (pembaharuan)?

Ada kalangan yang mempertahankan Hasan al-Banna yang beralasan dengan kenyataan Yusuf al-Qaradhawi bahawa di Mesir justeru Hasan al-Banna dan pengikutnya dituduh sebagai Wahhabi – Salafi, yang mengingkari kaum sufi dalam banyak perkara seperti pemikiran-pemikiran dan zikir-zikir yang dianggap bid’ah dan sesat.
[9]

Kononnya Hasan al-Banna setelah beliau tidak menemukan Islam yang dicarinya dari tasawuf maka beralih kepada urusan dakwah dan jihad. Sebenarnya andaian ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menafikan bahawa Hasan al-Banna bukan seorang sufi, kerana penafian ini bukan datangnya dari Hasan al-Banna, malah dalam banyak hal telah menjadi bukti dan kenyataan bahawa beliau masih mengamalkan amalan-amalan kesufian, bukan sekadar simpatisan (muhibbun) sebagaimana yang dijadikan alasan oleh pengekor Ikhwanul Muslimin termasuk yang ada di Malaysia (Mohd. Asri) yang melampau ghulunya. Malah Hasan al-Banna mempertahankan kesufiannya sehingga ke akhir hayatnya sebagaimana yang dijelaskan oleh Abul Hasan an-Nadwi rahimahullah:

بَلْ إِلَى آخِرِ حَيَاتِهِ كَمَا يَقُوْلُ الشَيْخُ أَبُوْ الْحَسَن النَّدْوِي فِىْ كِتَابِهِ "التفسير السياسي للإسلام".

“Malah (Hasan al-Banna masih dalam kesufian) sehinggalah keakhir hayatnya, sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh Abul Hasan an-Nadwi di dalam kitabnya (Tafsir as-Siasi Lil Islam)”.
[10]

Ketahuilah bahawa matlamat dan tujuan Hasan al-Banna mendirikan pertubuhan Ikhwanul Muslimin semata-mata untuk merealisasikan tariqat kesufian sebagaimana pengikrarannya!:

دعوة سلفية وطريقة سنية وحقيقة صوفية.

“Dakwah salafiyah, jalan sunnah dan hakikat (kenyataannya) adalah sufiyah”.
[11]

Hasan al-Banna semoga Allah merahmati dan mengampuninya tidak pernah mengajak sesiapapun bertaqlid buta kepadanya, tidak meminta agar pengikutnya mengangkat beliau secara yang berlebih-lebihan (ghulu). Oleh itu janganlah menjadi orang yang tumpul akal dan dangkal fikiran dalam memahami istilah antara tajdid dan tabdi’ serta mujaddid dan mubtadi’ kerana Hasan al-Banna tidak meminta semuanya itu.

Ada pula pengekor dan pemuja Ikhwanul Muslimin merayu supaya pengkritik Hasan al-Banna bersikap seimbang (tawazun/muwazanah), pertengahan (tawassuth) dan menutup segala kesalahan Hasan al-Banna kerana beliau telah banyak membuat kebaikan agar berlaku adil.

Masalahnya, apakah dalam persoalan akidah dibenarkan bermuwazanah dan bertawassuth? Sedangkan jika istilah ini dirujukkan ke dalam bab akidah dan jarh wa-ta’dil, maka ia adalah suatu yang jelas bid’ahnya. Orang yang telah dijarh (dicela dan dibuktikan) batil akidahnya pula tidak boleh dita’dil (tidak boleh diberi pujian dan tidak boleh disembunyaikan kemungkarannya) selagi tidak ada bukti menunjukkan bahawa dia telah bertaubat. “Moga-moga Hasan al-Banna rahimahullah telah bertaubat”.

Walau bagaimanapun, kita sewajarnya sentiasa bersopan santun, beretika dan berbaik sangka apabila menyentuh setiap yang dianggap negatif yang di utarakan oleh para pemimpin Ikhwanul Muslimin, kerana mereka tidak maksum. Hendaknya niat mulia untuk menyedarkan umat tentang kekurangan dan kesilapan individu dalam jamaah ini dilakukan dengan penuh keikhlasan (terutamanya terhadap mereka yang telah pulang ke rahmatullah), janganlah pula sampai menjadi celaan, pengaiban atau penghinaan terhadap mereka yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

[1] . Lihat: Fikru at-Takfir Qadiman wa-Hadisan, Raja as-Suhaimi.
[2] . Ali Imran 135.
[3] . Lihat; Qafilah al-Ikhwan al-Muslimun 1/48 Abbas as-Sisi.
[4] . Lihat: Usul Isyrin, Perkara ke l5 Hasan al-Banna. Nazarat Fi Risalah at-
Ta’lim. Hlm.177 Muhammad Abdullah al-Khatib & Muhammad Abdul Hamid.
[5] . Lihat: Fathul Majid. Hlm. 260.
[6] . al-Mukminun 117.
[7] . Yunus 106.
[8] . H/R Tirmizi.
[9] . Lihat: Yusuf al-Qaradhawi 70 tahun al-Ikhwan al-Muslimin. Hlm. 312.
[10]. Hakikatu ad-Dakwah Ilallahi Ta’ala. Hlm. 86 Saied bin Abdulrahman al-Husin.
[11]. Lihat: Muzakkirat ad-Dakwah wad-Daiyah. Hlm. 10. Hasan al-Banna.