Sikap Imam Ahmad
Kalaulah Imam Ahmad rahimahullah masih hidup, pasti dia tidak akan terlepas dari tuduhan sebagai ulama keras (متشدد), atau nama-nama yang sepertinya, yang biasa dilontarkan oleh orang-orang ahli bid’ah seperti golongan hizbi dan haraki setelah mereka diserang dengan hujah-hujah qati’ah قاطعة “Hujah Pemutus”. Ini adalah kerana beliau tidak pernah bertolak ansur, tidak pernah berkompromi, bertoleransi dan kerana beliau tidak pernah memberi muka atau bermanis muka kepada ahli bid’ah dan ahli ahwa.[1]
Imam Ahmad rahimahullah tidak pernah menceritakan kebaikan orang-orang fasik dan bid’ah yang telah dijarh (dicela). Tidak terdapat walaupun satu kitab dari tulisan beliau berbuat seperti itu kerana orang-orang fasik dan bid’ah sering menimbulkan syubhat dan menganjurkan berbagai-bagai perbuatan bid’ah. Beliau sedar bahawa dengan menyebut-nyebut dan memperkatakan kebaikan ahli bid’ah bererti telah melakukan penipuan terhadap manusia, walaupun disebut keburukannya, manusia tidak akan memperhatikan keburukan tersebut selagi ia menerima pujian. Inilah manhaj Salaf as-Soleh yang dipertahankan dan dicontohkan oleh Imam Ahmad kepada umat dizamannya dan generasi kemudiannya. Bagaimana pula sikap Mohd. Asri terhadap ahli bid’ah yang terdapat dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin?
Yang jelas tidak terdapat dalam manhaj Salaf as-Soleh memuji kebaikan ahli bid’ah tatkala mengkritik mereka atau setelah mereka dijarh dan ditahzir oleh para ulama Salaf as-Soleh sebagaimana yang berlaku terhadap para tokoh Ikhwanul Muslimin pada masa sekarang. Begitulah sewajarnya tindakan yang dilakukan oleh orang-orang yang berilmu dan beriman terhadap para tokoh Ikhwanul Muslimin yang dijarh. Mereka tidak akan memuji dan mengambil fatwa-fatwa dari tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin yang didapati telah jelas bid’ah dan kefasikannya walaupun telah dita’dil (dipuji) oleh Syeikh al-Jibrin (yang dijadikan alasan oleh Mohd. Asri untuk memuji Yusuf al-Qaradhawi) sedangkan Syeikh al-Jibrin telah menarik semula pujiannya terhadap Ikhwanul Muslimin dan para tokohnya.
Perhatikanlah terhadap para penyeleweng dari kalangan tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin yang telah dijarh (dicela) akidahnya dan ditegakkan hujah dalam mentahzir (memberi peringatan terhadap) mereka oleh para ulama Salaf as-Soleh masa kini, seperti jarh dan tahzir dari Syeikh Abdul Aziz bin Bazz, Syeikh Nasruddin al-Albani, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syeikh Soleh bin Fauzan al-Fauzan, Syeikh Ahmad bin Yahya an-Najmi, Syeikh Abdullah al-Ghadyan, Syeikh Abdul Muhsin bin Hamid al-Abbad al-Badar, Syeikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali, Syeikh Salim al-Hilali, Syeikh Ali Hasan, Syeikh Masyhur dan ramai lagi para kibarul ulama yang lain dari berbagai-bagai negara.
Berkata ar-Rafi’ bin Asyras rahimahullah:
مِنْ عُقُوْبَةِ الْفَاسِقِ الْمُبْتَدِع ، اَنْ لاَ تُذْكَرْ مَحَاسِنَهُ.
“Sebagai hukuman bagi orang yang fasik dan bid’ah ialah tidak boleh disebutkan segala kebaikannya”.[2]
Penjelasan ar-Rafi’ bin Asyras ini menjadi hujah untuk membantah terhadap mereka yang mewajibkan muwazanah antara sudut positif dan negatif yang meninggalkan kaedah Jarh wa ta’dil, terutama yang berkenaan dengan tulisan dan fatwa yang dikeluarkan oleh ahli bid’ah dan para penyeleweng akidah sebagaimana yang terdapat pada tulisan, ceramah, kenyataan dan fatwa-fatwa dari para tokoh Ikhwanul Muslimin yang dahulu dan yang ada sekarang.
Orang-orang yang beriman dan berilmu diharamkan dari membantu dan mengangkat ahli bid’ah, aktivis bid’ah, para penyeleweng akidah serta orang-orang yang menyebarkan kefasikan walaupun sudah ditokohkan oleh sebahagian masyarakat Islam, kerana perbuatan tersebut sama seperti membantu untuk menghancurkan Islam dari dalam. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ وَقرَ صَاحَب بِدْعَة فَقَدْ اَعَانَ عَلَى هَدْمِ اْلإِسْلاَم.
“Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda: Sesiapa yang memuliakan (menolong) aktivis bid’ah, maka dia telah menolong untuk menghancurkan Islam”.[3]
Menurut Imam Ahmad rahimahullah, apabila seseorang itu ternyata ahli bid’ah, maka wajib didedahkan bid’ahnya dan tidak disebut segala kebaikannya. Imam Ahmad pernah ditanya:
قِيْلَ للاِمَامِ اَحْمَد : اَلرَّجُلُ يَصُوْمُ وَيُصَلِّي وَيَعْتَكِفُ اَحَبَّ اِلَيْكَ اَوْ يَتَكَّلَمُ فِى اَهْلِ الْبِدَعِ ؟ فَقَالَ : اِذَا صَامَ وَصَلَّى وَاعْتَكَفَ فَاِنَّمَا هُوَ لِنَفْسِهِ ، وَاِذَا نَكَلَّمَ فِى اَهْلِ الْبِدَعِ فَاِنَّمَا للمُسْلِمِ ، هَذَا اَفْضَلُ.
“Ditanyakan kepada Imam Ahmad: Manakah yang paling engkau cintai, seorang yang solat, puasa dan i’tikaf ataukah orang yang memperkatakan ahli bid’ah? Maka beliau berkata: Apabila solat, puasa dan i’tikaf, itu hanya untuk dirinya sendiri. Apabila membincangkan keburukan ahli bid’ah, maka itu untuk kaum Muslimin. Inilah yang lebih utama”.[4]
Kalau dikaji keseluruhan kitab-kitab para ulama Salaf as-Soleh antaranya Ibnu Taimiyah rahimahullah dan anak muridnya Ibn Qaiyim rahimahullah, ternyata merekalah yang paling banyak membantah dan mengkritik ahli bid’ah serta para penyeleweng akidah. Mereka menjarh Ahli Kalam, Jahmiyah, Muktazilah, Sufiyah dan Asy’ariyah, maka tidak terdapat sedikit pun yang mereka sebut kebaikan firqah-firqah yang sesat tersebut. Ibnu Taimiyah juga mengkritik, menjarh dan membantah al-Akhnaii الأخنائي)), al-Bakari dan selain mereka, namun tidak sedikit pun beliau memuji kebaikan mereka. Padahal tidak dinafikan bahawa mereka yang dijarh mempunyai kebaikan dan lautan ilmu, tetapi tidak ada muwazanah terhadap mereka.
Alangkah tegasnya sikap dan tindakan Imam Sufyan ath-Tsauri dan Imam Ahmad terhadap al-Hasan bin Soleh bin al-Hayyi yang telah dijarh oleh para ulama zamannya kerana bid’ahnya, mereka tidak bermuwazanah malah Sufyan ath-Tsauri berkata:
“Adapun ilmu yang didengar dari al-Hasan bin Soleh maka al-Jamaah telah sepakat untuk meninggalkannya”.[5]
Imam Ahamad pula berkata:
“Kami tidak menerima mazhabnya (al-Hasan bin Soleh) dan Sufyan lebih kami sukai daripadanya”.[6]
Salman al-Audah pernah berkata mengenai keadilan muwazanah, menurut beliau:
“Ketika kamu mengkritik sesebuah tulisan, maka tidak adil jika hanya mengatakan: Kitab ini termuat hadis-hadis palsu atau lemah dan pendapat-pendapat yang janggal. Kamu menyebut sudut keburukannya sedangkan melupakan sudut kebaikannya dari kitab tersebut. Misalnya jika kitab tersebut mengandungi berbagai-bagai kebaikan dan kajian ilmiyah maka jika hanya mendedahkan separuh dari kitab itu bererti telah melalaikan setengah yang lain, ini adalah tindakan yang curang. Ramai yang hanya memandang pada sudut kesalahan sahaja pada sebuah kitab yang ditahzir تحذير (diberi peringatan) disebabkan kitab itu mengandungi hadis lemah, atau disebabkan kesalahan pada suatu masalah. Seandainya kita perhatikan secara teliti kitab yang ditulis oleh para ulama dengan muwazanah ini, nescaya kita tidak akan temui suatu kitab pun yang sunyi dari kesalahan”.[7]
Menurut Syeikh Rabi’ bin Hadi Umar al-Madkhali[8] apabila mengomentar pendapat Salman al-Audah ini, beliau berkata:
“Adil lawannya zalim, apabila pada sesebuah kitab terdapat berbagai-bagai bid’ah dan khurafat di dalamnya, kemudian ada orang Islam menasihati agar kaum muslimin berwaspada terhadap kitab tersebut, maka ini bukanlah suatu kezaliman sedikitpun. Demikian juga apabila seorang memiliki aib atau bid’ah, lalu disebut hal tersebut, ini bukan bererti zalim atau mengumpat (ghibah). Tetapi ini adalah bentuk nasihat (yang dituntut. Pent.) dan merupakan suatu tanggungjawab menurut kalangan para ulama Islam. Yang dinamakan kezaliman adalah apabila meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya, sedangkan menyebut aib dan bid’ah yang terdapat dalam sesebuah kitab atau aib yang terdapat pada seseorang dengan tujuan nasihat bagi kaum muslimin, maka itu adalah merupakan hal yang dituntut secara syariat. Tujuannya adalah untuk mewujudkan kemaslahatan serta menghindari berbagai-bagai kerosakan”.[9]
Dengan penjelasan di atas, adalah wajib hukumnya mendedahkan hakikat penyelewengan, segala bentuk kesyirikan dan segala bid’ah yang diserukan atau ditulis oleh penulis-penulis bid’ah dan aktiviti-aktivitinya, terutamanya terhadap bid’ah-bid’ah yang sedang diamalkan oleh ahli bid’ah dan aktivisnya. Contohnya seperti apa yang dihidupkan oleh penggerak golongan hizbi haraki, antaranya yang dipelopori oleh Ikhwanul Muslimin yang banyak melahirkan pemimpin yang dianggap tokoh tetapi sebaliknya mereka adalah golongan pelampau, pengganas dan pencipta bid’ah yang dibungkus dengan (زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُوْرًا) “perkataan yang indah-indah untuk menipu manusia”.[10] Para pengekor dan pentaqlid Ikhwanul Muslimin perlu sedar bahawa melindungi dan mempertahankan bid’ahnya Ikhwanul Muslimin amat membahayakan akidah umat Islam, kerana Rasululullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
لَعَنَ اللهُ مَنْ آوَى مُحْدِثًا
“Allah melaknat sesiapa sahaja yang melindungi (mempertahankan) orang yang mengada-adakan (bid’ah dalam agama Islam)”. [11]
Memerangi ahli bid’ah adalah suatu tindakan yang wajib menurut kesepakatan aimmatul huda yang menjadi ikutan dan panduan seluruh kaum muslimin. Umat Islam perlu sentiasa berwaspada dan menjauhi segala kegiatan ahli bid’ah, khurafat, syirik dan penyebab perpecahan yang dicipta oleh Ikhwanul Muslimin dan pengekornya yang tega.
[1] . Lihat: الاجوبة المفيدة hlm. 31.
[2] . Lihat: شرح علل الترمزي 1/353.
[3] . Lihat: تاريخ دمشق: ترجمه "العباس بن يوسف الشكلي Ibn Asyakir. Hlm. 286.
[4] . Lihat: مجموع الفتاوى 28/231. Ibn Taimiyah.
[5] . Lihat: As-Sunnah lid-Dhalal. Hlm. 136.
[6] . Lihat: Tabaqat Hanabilah. 1/58.
[7] Lihat: منهج اهل السنة والجماعة فى نقد الرجال والكتب والطوائف Rabi’ bin Hadi.
[8] . Syeikh yang mulia ini telah dihukum Khawarij dan dicela dengan keterlaluan
oleh Mohd. Asri di dalam ceramahnya yang telah disebar melalui VCD.
[9] . Lihat: منهاج اهل السنة والجماعة فى نقد الرجال والكتب والطوائف Syeikh Rabi’ bin Hadi
Umar al-Madkhali.
[10] . al-An’am 6:112.
[11] . H/R Muslim.