Monday

22 - Yusuf Al-Qaradhawi & Aksi Pengeboman Berani Mati

Yusuf Al-Qaradhawi & Aksi Pengeboman Berani Mati

Yusuf al-Qaradhawi dan mursyidnya (Hasan al-Banna rahimahullah) mempunyai matlamat dan gaya perjuangan yang serupa, antaranya menggunakan tindakan aksi kerosakan, pembunuhan dan keganasan.
[1] Mereka menghalalkan kegiatan teroris antaranya melalui pengeboman berani mati yang jelas telah diharamkan oleh nas-nas al-Quran, hadis-hadis sahih, athar para sahabat dan fatwa para ulama Salaf as-Soleh, kerana pengeboman berani mati telah membuka berbagai-bagai pintu-pintu kejahatan, keganasan, kemungkaran, fitnah dan kecelakaan pada harta benda dan nyawa orang-orang yang tidak berdosa.

Inilah ideologi jihadisma songsang kelahiran Ikhwanul Muslimin yang paling popular diamalkan oleh pengganas untuk mencapai matlamat mereka. Mungkin ini dianggap pandangan ekstrem, tetapi sebenarnya dapat dibuktikan dengan penekanan Yusuf al-Qaradhawi agar umat Islam melaksanakan tindakan ganas dan terkutuk ini sebagaimana fatawa beliau yang mungkar:

“Ketahuilah bahawa tindakan operasi (pengeboman) berani mati termasuk satu dari cara jihad fi sabilillah yang amat mulia (agung)”.
[2]

Fatwa Yusuf al-Qaradhawi yang menyalahi syara ini telah dibatalkan dan ditentang oleh para ulama Salaf terutamanya para ulama dari Arab Saudi, Yaman, Jordan, Pakistan, Mesir dan para da’ie Salafi di seluruh dunia. Tetapi malangnya fatwa mungkar Yusuf Qaradhawi ini telah disokong Mohd. Asri dan ditaati oleh sebahagian besar umat Islam yang tertipu oleh makr, tadlis dan talbis Iblis yang menjadi salah satu agenda seruan Yusuf al-Qaradhawi, para jamaah di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin dan para pengekor Yusuf al-Qaradhawi khususnya. Beliau menghalalkan dan menggalakkannya dengan alasan jihad dan merebut mati syahid serta dijadikan inovasi untuk menghalalkan keganasan dan pembunuhan kejam.

Mereka yang benar-benar terpengaruh dan tertipu dengan fatwanya Yusuf al-Qaradhawi yang fasad ini tetap mempertahankannya, malah memperjuangkannya bermati-matian kerana menganggapnya sebagai jihad akbar, istisyhad (syahid), patriotisme dan pengorbanan suci.

Para pengganas (teroris) yang bertopeng Islam, para muflisin tentang ilmu-ilmu syariat dan si pentaqlid yang tega dan ghulu kepada Yusuf al-Qaradhawi, mereka menjadikan fatwa Syeikhnya yang mungkar ini sebagai motivasi dan suntikan untuk menaikkan semangat gerakan pengganas (teroris) radikal di kalangan para pemuda dan pemudi Islam. Gerakan yang haram dan menyalahi sunnah ini akan terus wujud dan bertambah serius sehingga sukar dibendung, kerana sentiasa ada dan bermunculan kalangan generasi baru yang berfahaman Khawarij takfiriyah mensemarakkan kegiatan yang mungkar ini.

Dengan berhujah dan berlesenkan fatwa Yusuf al-Qaradhawi yang mungkar ini, pengganas agresif terus memakainya sebagai topeng untuk menghalalkan jihad songsang melawan pemerintah Islam, membakar semangat mereka untuk melakukan sabotaj liar, jenayah dan pembunuhan, antaranya melalui pengeboman berani mati terhadap sesiapa sahaja yang mereka anggap musuh, sama ada orang Islam atau bukan Islam. Ada pula yang menafsirkan ayat-ayat jihad secara akal-akalan sebagaimana yang ditiru dari gaya penafsiran Yusuf al-Qaradhawi. Mereka menafsirkan ayat:

يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اتَّقُوْا اللهَ وَابْتَغُوْا إِلَيْهِ الْوَسِيْلَةَ وَجَاهِدُوْا فِى سَبِيْلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya dan berjihadlah pada jalanNya, supaya kamu mendapat keberuntungan!”.
[3]

Penafsiran keliru terhadap ayat-ayat jihad termasuk ayat di atas ini, menjadi penyebab dan fenomena yang mewarnai citra kelompok-kelompok kontemporari melalui pendoktrinan hizbi, haraki dan fikrah jihadiyah sehingga mencetuskan jenayah dan keganasan besar-besaran yang tidak pernah diizinkan oleh agama.

Teori menghalalkan pembunuhan atas nama jihad yang diteorikan oleh tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin seperti Yusuf al-Qaradhawi melalui ayat di atas ini, atau melalui ideologi yang tidak berkonsepkan disiplin ilmu melalui pemahaman Salaf as-Soleh yang sebenar, atau juga tidak melalui metodologi yang benar-benar meniti di atas manhaj Salafulummah, maka tindakan mereka amat dikesalkan dan wajib ditentang oleh para ahli ilmu dan pemerintah, kerana perjuangan mereka tidak memenuhi rukun jihad fi sabilillah secara syarie.

Untuk melaksanakan kewajipan jihad perlulah terlebih dahulu memenuhi rukun dan syarat jihad. Bukan hanya berbekalkan ideologi dan semangat yang radikal, ekstrim atau militan kerana ditakuti bertukar kepada perbuatan kejam, terorisma, keganasan, pelampau, bunuh diri dan pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan terhadap orang yang tidak halal untuk dibunuh.

Awas! Perjuangan yang tidak berlandaskan manhaj Salaf as-Soleh ini tidak pernah memilih siapa yang akan menjadi mangsa mereka, di mana, kepada siapa dan mereka boleh melakukannya pada bila-bila masa. Oleh itu perjuangan mereka lebih tepat jika diklasifikasikan sebagai tindakan pelampau, pengganas yang menzalimi orang awam dan perbuatan yang melanggar formalisasi syariat Islamiyah dalam merealisasikan jihad fi sabilillah.

[1] . Memang tepat dan benar apa yang dinyatakan oleh Syeikh Ayyid asy-Syamari
bahawa firqah Ikhwanul Muslimin adalah gerakan pengganas. Bacalah
penjelasan Syeikh Ayyid di dalam bukunya TURKH HASAN AL-BANNA
WA AHAMMUL WARISIN.
[2] . Lihat: Kenyataan Yusuf al-Qardhawi di dalam majalah Palestin, keluaran
September, 1996M.
[3] . al-Maidah, 5:35.