Monday

49 - Bid’ahnya Manhaj Muwazanah

Bid’ahnya Manhaj Muwazanah

Tanda-tanda akhir zaman yang ketara ialah munculnya berbagai-bagai bid’ah dan syubhat. Diketika sampainya waktu tersebut, umat Islam lebih memberi tumpuan kepada isu-isu yang disangka lebih berdaya maju kerana dibungkus dengan jenama agama, sedangkan ia adalah bid’ah, syubhat dan talbis permainan syaitan. Akibatnya mereka mengabaikan petunjuk Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Mereka beralih kepada membesar-besarkan bid’ah dan syubhat yang disangka agama, seperti mengagung-agungkan prinsip tauhid hakimiyah, fiqhul waqi’, muwazanah dan berbagai-bagai lagi perkara-perkara bid’ah yang dimunculkan. Perkara ini telah disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

يَكُوْنُ بَعْدِيْ اَئِمَّةٌ ، لاَ يَهْتَدُوْنَ بِهُدَايَ ، وَلاَ يَسْتَنُّوْنَ بِسُنَّتِيْ ، وَسَيَقُوْمُ فِيْهِمْ رِجَالٌ ، قُلُوْبُ الشَّيَاطِيْنِ فِى جُثْمَانِ اِنْسٍ.

“Akan muncul para aimmah (imam/ulama) selepasku, mereka tidak mengambil (petunjuk) dari petunjukku, tidak mengambil sunnah dari sunnahku, malah akan muncul di kalangan mereka, hati-hati syaitan yang berada di tubuh manusia”.
[1]

Tentang berleluasanya bermacam-macam jenias bid’ah diakhir zaman, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah mengkhabarkan kepada kita melalui sabda baginda:
عَنْ اِبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : سَيَكُوْنُ فِى آخِرِ اُمَّتِيْ اُنَاسٌ يُحَدِّثُوْنَكُمْ بِمَا لَمْ تَسْمَعُوْا اَنْتُمْ وَلاَ آبَاؤُكُمْ ، فَاِيَّكُمْ وَاِيَّاهُمْ.

“Akan berlaku pada generasi akhir umatku, manusia-manusia yang bercakap kepada kamu apa yang tidak pernah kamu dengar dan tidak pula pernah didengar oleh bapa-bapa kamu, maka hendaklah kamu berwaspada terhadap mereka”.
[2]

Ternyata apa yang disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sudah berlaku, banyak bermunculan percakapan-percakapan (istilah-istilah) dari ahli bid’ah yang mengaku sebagai ahli sunnah dan salafi, yang mana semua istilah-istilah tersebut merupakan pembohongan kerana ia tidak pernah didengar oleh para sahabat, tabi’in, tabi’ut at-tabi’in dan generasi yang hidup dikurun yang mulia (generasi Salaf as-Soleh). Kemunculan percakapan-percakapan baru yang dipenuhi berbagai pembohongan telah digambarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di dalam sabdanya:

يَكُوْنُ فِى آخِرِ الزَّمَانِ دَجَّالُوْنَ كَذَّابُوْنَ يَأْتُوْنَكُمْ مِنَ اْلاَحَادِيْثِ بِمَا لَمْ تَسْمَعُوْا اَنْتُمْ وَلاَ آبَاءُكُمْ فَإِيَّاكُمْ وَإِيَّاهُمْ لاَيُضِلُّوْنَكُمْ وَلاَ يَفْتِنُونَكُمْ.
“Akan bermunculan di akhir zaman dajjal-dajjal yang berbohong dengan mendatangkan hadis-hadis yang tidak pernah kamu mendengar dan tidak juga bapa-bapa kamu, berjaga-jagalah kamu terhadap mereka, akan tetapi kamu tidak akan dapat disesatkan dan difitnahkan oleh mereka”.
[3]

Dajjal penaja pembohongan dan istilah-istilah palsu serta bid’ah terus bermunculan satu demi satu diakhir zaman, antaranya ialah penaja “Tauhid Hakimiyah”, “Fiqhul Waqi’ (Aulawiyat atau Keutamaan)”, “al-Muwazanah (Pertimbangan Seimbang)” dan berbagai-bagai lagi. Walau bagaimanapun, orang-orang yang kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah yang berpegang dengan manhaj Salaful Ummah tidak akan terpengaruh, tidak akan disesatkan dan tidak akan terfitnah dengan berbagai hadis-hadis baru (istilah-istilah baru) yang dimunculkan oleh Si Dajjal melalui pembohongan mereka terhadap syara.

Muwazanah adalah istilah yang baru muncul, istilah yang bid’ah dan syubhat yang berupa talbis (perangkap) iblis (تلبيس ابليس). Mereka yang berpegang dengan manhaj ini akan mempertahankan individu, fahaman, pemikiran, ideologi dan kesesatan yang ada pada aliran-aliran yang sedang berleluasa sekarang ini kerana tertipu dengan kebaikan yang ditonjolkan oleh mereka.

Pemegang obor muwazanah menganggap tidak adil orang yang mengkritik aliran-aliran sesat jika para pejuang aliran-aliran tersebut memperjuangkan bersama kesesatannya beberapa kebaikan. Sebagai contoh antara individu-individu yang mereka pertahankan melalui teori muwazanah ialah:
1. Sayid Qutub rahimahullah dalam tafsirnya fi-Zilalil al-Quran telah menulis:
القرآن ظاهرة كونية كالارض والسماوات

“al-Quran adalah suatu yang zahir, kauniyah (fenomena yang bersifat alami iaitu sama seperti makhluk) sebagaimana bumi dan langit”.
[4]

Gaya penafsiran ayat di atas ini jika disengajakan, ia membuktikan bahawa Sayid Qutub telah membuat kesilapan besar di segi akidah (mudah-mudahan ia kesilapan yang tidak disengajakan atau kesalah-fahaman orang awam terhadap uslub sastera beliau yang tinggi), kerana kata-kata “Sebagaimana bumi dan langit” ia menyerupakan al-Quran sebagaimana makhluk yang lainnya, sedangkan al-Quraan adalah Kalamullah bukan makhluk yang sama sekali tidak boleh disama atau disekufukan dengan makhluk. Malah tafsir Sayid Qutub di atas ini benar-benar membawa maksud “al-Quran itu Makhluk, bukan Kalamullah”. Ini adalah akidah Jahmiyah dan akidah mereka yang sealiran dengan kelompok yang sesat, sebagaimana yang telah dijelaskan tentang sesatnya akidah serupa ini oleh Imam Abdullah rahimahullah:

قَالَ اْلاِمَامُ عَبْدُ الله : سَمِعْتُ اَبِيْ يَقُوْلُ : مَنْ قَالَ لَفْظِي بِالْقُرْآنِ مُخْلُوْق ، وَهُوَ كَلاَمٌ سُوْءٌ رَدِيءٌ ، وَهُوَ كَلاَمُ الْجَهْمِيَّة.

“Berkata Imam Abdullah: Aku mendengar bapaku berkata: Sesiapa yang mengatakan lafazku terhadap al-Quran itu makhluk maka itu adalah ucapan yang buruk dan kotor, itu adalah perkataan Jahmiyah”.
[5]

Para imam Salaf menyakini bahawa al-Quran adalah “Kalamullah” bukan “Makhluk”. Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah kerana ketegasan pendiriannya menghadapi orang-orang yang mengatakan bahawa “al-Quran Itu Makhluk”, yang terang-terangan mempertahankan yang hak, akibatnya beliau dipenjarakan selama tiga tahun. Beliau terpaksa dikeluarkan pada bulan Ramadan setelah manusia berhimpitan beramai-ramai di pintu penjara, sehingga sultan merasa takut dan membebaskan beliau. Ketika beliau dikeluarkan dari penjara, kesan pukulan (siksaan) masih kelihatan di belakangnya sehinggalah beliau meninggal dunia.
[6]

Begitu jugalah nasib yang menimpa Ibnu Taimiyah rahimahullah. Beliau meninggal dunia di penjara kerana mempertahankan akidahnya bahawa al-Quran itu “Kalamullah” bukan “Makhluk”. Apakah kata-kata (penafsiran) Sayid Qutub ini tidak bertentangan dengan kesepakatan para ulama Salaf as-Soleh bahawa al-Quran itu Kalamullah? Apakah akidah Sayid Qutub ini tidak bertentangan dengan akidah Salaf? Akidah yang dibawa oleh Syaid Qutub ini perlu diwar-warkan kepada ummah Islamiyah agar ia ditinggalkan, bukan dipertahankan sebagaimana yang dipertahankan oleh Mohd. Asri di dalam VCD yang telah tersebar. Umat perlu diselamatkan dari apapun perkara yang boleh menyebabkan kesyirikan.

Sayid Qutub telah menyebarkan fahaman wahdatul wujud di dalam tafsirannya. Beliau berkata apabila menafsirkan ayat:
قُلْ هُوَاللهُ اَحَدٌ : انها احديّة الوجود ، فليس هناك حقيقة الاحقيقته، وليس هناك وجود حقيقي الا وجوده ، وكلّ موجود آخر فانما يستمد وجوده من ذلك الوجود الحقيقي.

“Sesungguhnya ayat: (Katakanlah bahawa Allah itu Esa!): Sesungguhnya ia menjelaskan kesatuan zat (وحدة الوجود). Maka tidak ada hakikat zat kecuali hakikat zatNya. Dan tidak ada sesuatu zat yang sebenarnya kecuali zatNya. Sedangkan segala sesuatu (zat) yang lain wujudnya tersimpul dari (zat)Nya yang sebenarnya”.
[7]

Ini adalah jelas dan terang akidah yang batil, keyakinan yang tersasar jauh dan pegangan ahli tariqat sufi aliran “Wahdatul Wujud”. Kalau Si Tokoh pengekor Ikhwanul Muslimin yang berada di Malaysia (yang bodoh) menafikan bahawa penerangan Sayid Qutub ini bukan bermaksud Wahdatul Wujud, maka beliau perlu mempelajari semula bahasa Arab, ulumul Quran dan terutamanya bab akidah Salafiyah.

Fahaman Wahdatul Wujud termasuk warisan Hallaj. Ia juga merupakan amalan dan akidah yang dipertahankan oleh hampir seluruh tariqat kesufian dan ianya juga menjadi akidah yang diyakini benar oleh mereka. Akidah Wahdatul Wujud adalah akidah yang menyeleweng menurut kesepakatan (ijmaknya) ulama Ahli Sunnah yang bermanhaj Salaf as-Soleh. Seseorang yang telah memahami manhaj akidah Salaf as-Soleh pasti ia akan merasa malu besar setelah menyedari bahawa akidah Wahdatul Wujud adalah akidah yang sesat dan menyesatkan.
Berkata pula Muhammad Qutub:

ان الامريحتاج الى دعوة الناس من جديد الى الاسلام لا لأنَّهم فى هذه المرة يرفضون ان ينطقوا بافواهم لااله الا الله محمد رسول الله، كما كان الناس يرفضون نطقها فى الغربة الاولى ولكن لانَّهم فى هذه المرة يرفضون المقتضى الرئسي لااله الا الله وهو : تحكيم شريعة الله.

“Sesungguhnya perkara yang diperlukan untuk berdakwah kepada manusia adalah memperbaharui Islamnya. Bukan kerana mereka menolak mengucakpan kalimah (La Ilaha Ilallah Muhammadur Rasulullah) sebagaimana musyrikin zaman sahabat yang menolak untuk mengucapkannya, tetapi mereka saat ini menolak kandungan kalimah tersebut, iaitu menolak berhukum dengan yang disyariatkan oleh Allah”.
[8]

Mungkin semangat berdakwah Muhammad Qutub yang tinggi menyebabkan beliau sabkul lisan (tersasul atau melatah) sehingga terkeluar perkataan yang batil ini. Inilah hakikat Tauhid Hakimiyah Takfiriyah ciptaan Sayid Qutub.

Allah Subhanahu wa-Ta’ala Yang Maha Pengasih dan Penyayang masih membuka pintu taubat baginya. Semoga beliau segera bertaubat dan semoga Allah memberinya hidayah. Amin!

Berkata Syeikh Soleh bin Fauzan hafizahullah apabila mengomentar perkataan Muhammad Qutub di atas:

“Ini adalah pengkafiran terhadap majoriti manusia”.
[9]

Sudah jelas menurut hadis bahawa mengkafirkan seseorang yang belum layak dikafirkan maka kekafiran tersebut terpantul kepada Si Penuduh.

Berkata Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad al-Badr:

“Bahawa Sayid Qutub bukan termasuk ulama yang dapat dikuti perkataannya dalam masalah-masalah ilmiyah”.
[10]

1. Hasan al-Banna (pengasas pertubuhan Ikhwan Muslimin). Beliau membuat kenyataan akan perbuatannya yang mungkar, beliau mengaku: Kami keluar berarak pada hari memperingati Maulid Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam setelah menghadiri (majlis maulid) setiap malam. Iaitu sejak hari pertama Rabiul Awal sehingga ke 12 hari bulan sambil mendendangkan nasyid:

Sang Kekasih telah hadir (tiba) bersama para pencintanya. Memaafkan semua dosa yang telah pergi dan berlalu,……tidak ragu lagi bahawa sang kekasih telah datang.
[11]

Melalui bait-bait syair di atas dengan jelas membuktikan bahawa Hasan al-Banna meyakini:

Pertama: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam boleh mengampunkan segala dosa yang telah lalu.

Kedua: Hasan al-Banna juga percaya bahawa Nabi menghadiri majlis-majlis peringatan yang diadakan di perkuburan.

Ketiga: Beliau masih mengamalkan amalan kuburi yang dihukum syirik oleh para ulama yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh.

Hasan al-Banna berkata lagi dengan ucapan yang mungkar dan menyalahi pegangan para aimatus-salaf:

انّ خصومتنا لليهود ليست دينية ، لأن القرآن الكريم ، حض على مصافاتهم ومصادقاتهم.

“Sesungguhnya permusuhan kita dengan Yahudi bukan kerana masalah agama. Sesungguhnya al-Quran menganjurkan agar berteman dan bersahabat dengan mereka”.
[12]

Perkataan Hasan al-Banna ini mengelirukan (meracau), menyesatkan dan menyalahi manhaj Salaf as-Soleh. Kerana Yahudi dan Nasrani termasuk dalam ayat yang menjadi peringatan kepada mereka yang beriman. Allah ‘Azza wa-Jalla berfirman:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسَ عَدَاوَةً لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا الْيَهُوْدَ وَالَّذِيْنَ أَشْرَكُوْا.
“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang yang musyrik”.
[13]

Yahudi dan Nasrani adalah benar-benar kafir dan mensyirikkan Allah dengan makhlukNya. Dikafirkan dan dilaknat oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala dan dilaknat juga oleh Rasulullah.
[14] Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala:
لُعِنَ الَّذِيْنَ كُفَرُوْا مِنْ بَنِيْ اِسْرَائِيْلَ

“Telah dilaknat orang-orang kafir dari Bani Israil”.
[15]

لَعْنَةُ اللهِ عَلَى الْيَهُوْدِ وَالنَّصَارَى

“Laknat Allah atas orang-orang Yahudi dan Nasrani”.
[16]

Malangnya ada individu yang telah mengaku sebagai seorang yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh, tetapi masih mempertahankan kemungkaran Hasan al-Banna. Orang seperti inilah yang mengotori kesucian nama dan manhaj Salaf as-Soleh yang sebenar.

2. Yusuf al-Qaradhawi seorang ahli fikir yang diulamakan oleh golongan Ikhwanul Muslimin. Beliau telah mengiktiraf (menerima) golongan-golongan yang telah ditolak dan dikafirkan oleh aimmah Salaf as-Soleh. Yusuf al-Qardhawi telah mendominan pemikiran generasi masa kini dengan berbagai-bagai fatwa beliau yang batil, antaranya beliau menyatakan:

“Sesungguhnya peperangan kita bukanlah melawan Asy’ariyah, Maturidiyah, Muktazilah atau Jahmiyah, tetapi peperangan terbesar ialah melawan kaum atheis”.
[17]

Beliau berkata lagi:

“Peperangan kita bukanlah melawan para penakwil sifat-sifat Allah, tetapi melawan para pengingkar Allah secara keseluruhannya”.
[18]

Sesungguhnya perkataan seperti ini sebenarnya sama seperti memerangi tauhid uluhiyah dan tauhid asma wa-sifat. Ucapan ini adalah syubhat dan talbis iblis (perangkap iblis atau syaitan) yang sesat dan menyesatkan yang tidak akan diucapkan oleh seseorang yang mengenali firqah yang sesat dan memahami manhaj Salaf as-Soleh. Kerana para ulama Salaf as-Soleh telah mengharamkan mentakwil sifat Allah yang telah diithbatkan (ditetapkan) oleh Allah di dalam al-Quran dan yang telah ditetapkan oleh RasulNya di dalam hadis-hadis yang sahih.

Allah telah memberi peringatan kepada setiap orang yang beriman agar berjaga-jaga terhadap tipu helah atau perangkap iblis (تلبيس ابليس) yang berupa perkataan-perkataan indah, mempersona atau istilah-istilah yang syubhat. Seperti istilah muwazanah atau yang semisal dengannya. Allah berfirman sebagai amaran kepada mereka yang mengikut perkara yang syubhat:

هُوَ الَّذِيْ اَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ اُمُّ الْكِتَابِ وَاُخَرُ مَتَشَابِهَاتٌ فَاَمَّا الَّذِيْنَ فِى قُلُوْبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُوْنَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَاْوِيْلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَاْوِيْلَهُ اِلاَّ اللهُ . وَالرَّاسِخُوْنَ فِى الْعِلْمِ يَقُوْلُوْنَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ اِلاَّ اُوْلُوْا اْلاَلْبَابِ.

“Dialah yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepada kamu antara isinya ada ayat-ayat yang muhkamat itulah pokok-pokok isi al-Quran dan ayat-ayat yang mutasyabihat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu dari sisi Rabb kami. Dan tidaklah dapat mengambil pelajaran daripadanya melainkan orang-orang yang berakal”.
[19]


‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata tentang ayat di atas:

فَاِذَا رَاِيْتَ الَّذِيْنَ يَتَّبِعُوْنَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ، فَاُوْلِئِكَ الَّذِيْنَ سَمَّى اللهُ فَاحْذَرُوْهُمْ.

“Maka apabila kamu melihat orang-orang yang menginginkan hal-hal yang mutasyabihat (syubhat/tidak jelas), maka merekalah orang yang disebutkan oleh Allah (dalam ayat ini) maka waspadalah terhadap mereka”.
[20]

Semoga para ikhwan yang bermanhaj Salaf as-Soleh dapat bekerjasama mempertahankan sunnah dan memeliharanya, serta sentiasa berusaha memerangi bid’ah dan kesyirikan demi untuk mengimarahkan manhaj Salaf as-Soleh yang Rasulullah diutus kerananya. Semoga Allah memberkati usaha ini. Amin!


[1] . H/R Muslim. 1/231.
[2] . Lihat: Sahih Muslim 1/12.
[3] . H/R Muslim. Lihat: Syarah an-Nawawi. hlm. 78. jld. 1.
[4] . Lihat: fi Zilalil al-Quran. 4/2328.
[5] . Lihat: السنة 1/165.
[6] . Lihat: مناقب الامام امد بع حنبل Ibnu Qaiyim al-Jauzi.
[7] . Ibid. 6/4002.
[8] . Lihat: واقعنا العاصر hlm. 29. Muhammad Qutub.
[9] . Lihat: الأجوبة المفيد عن اسئلة المناهج الجديد hlm. 34.
[10] . Ucapan yang dirakam pada tanggal 7/11/1414.
[11] . Lihat: حسن البناء باقلام تلاميذه hlm. 70-71.
[12] . Lihat: الأخوان المسلمين احداث صنعت التاريخ 1/409. Mahmud Abdulhalim.
[13] . al-Maidah. 5:82.
[14] . Lihat: الأجوبة المفيدة عن اسئلة المنهج الجديدة hlm. 39.
[15] . al-Maidah, 5:78.
[16] . H/R Bukhari 425 dan Muslim 531.
[17] . Lihat: رفع اللثام عن مخالفة القرضاوي لشريعة الاسلام
[18] . Lihat: وجود الله hlm. 6.
[19] . Ali Imran, 3:7.
[20] . H/R Bukhari 4547 dan Muslim 2665.