Tauhid Hakimiyah Bid’ahnya Ikhwanul Muslimin
Para aimmatus Salaf as-Soleh terutamanya dizaman para sahabat, mereka sekalian sangat berhati-hati dari mencerca, mencela dan menuduh umat Islam jika tidak ada hujah dari syara yang menghalalkannya. Begitu juga mereka tidak pernah mendiayahkan al-hakimiyah atau tauhid hakimiyah yang dijadikan sebagai senjata oleh golongan Ikhwanul Muslimin untuk menghina, memfitnah dan mengkafir orang-orang yang di luar kelompok mereka atau yang tidak sehaluan dengan mereka. Ulama Salaf as-Soleh juga tidak memperkatakan atau menyeru kepada “al-Hakimiyah” sebagaimana yang dilakukan oleh tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin sehinggalah sekarang.
Tauhid hakimiyah atau tauhid mulkiyah adalah perkara baru yang tidak pernah disebut oleh kalangan Salaful Ummah terutama secara pengistilahan yang dimaksudkan oleh Ikhwanul Muslimin atau golongan-golongan yang mengambil manhaj dari pertubuhan ini. Tauhid hakimiyah diketahui dan dikenal pasti setelah munculnya kelompok Khawarij. Maka “al-Hakimiyah” dengan lafaz ini tidak ada sumber dan asal-usulnya dari syara.[1]
Tauhid hakimiyah ala Khawarij masih terus dipropagandakan dan diperjuangkan oleh puak-puak Ikhwanul Muslimin. Ia mendapat sokongan dari pentaklid buta dan mereka yang terpengaruh dengan diayah hakimiyah. Pengikut fahaman ini, disebabkan kejahilannya tidak menyedari bahawa tauhid hakimiyah jika benar-benar dikembalikan kepada maksud syara, ia adalah bahagian dari tauhid uluhiyah. Oleh itu tidak boleh menjadikan tauhid hakimiyah bahagian khusus yang dipisahkan dari tauhid uluhiyah kerana ia termasuk dalam bahagian tauhid ibadah.[2]
Malangnya golongan Khawarij, Muktazilah, Ikhwanul Muslimin, Hizbut Tahrir dan yang sefahaman dengan mereka, mempersempitkan pengertian tauhid hakimiyah hanya pada persoalan hukum-hukum fiqh, muamalah atau siyasah yang kemudiannya dicampur-adukkan dengan persoalan tauhid atau akidah yang disesuaikan dengan kehendak tafsiran akal dan haswa nafsu mereka.
Gerakan Ikhwanul Muslimin dan yang semanhaj dengannya secara khusus, menyerukan tauhid hakimiyah demi untuk menegakkan hukum berdasarkan kalimah ini. Mereka mengkafirkan sesiapa yang mengingkarinya walaupun cara pengkafiran mereka tidak berlandaskan kaedah pengistimbatan hukum dari syara.
Ramai yang tidak menyedari bahawa seruan Ikhwanul Muslimin ala Khawarij ini adalah seruan yang muhdas (bid’ah), kerana mereka menjadikan tauhid hakimiyah (model Khawarij) ini sebagai tauhid yang keempat setelah tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma wa-Sifat. Sebagai bukti, mereka mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak menerima konsep hakimiyah yang mereka perjuangkan.
Hakimiyah adalah kelahiran Khawarij yang dilanjutkan oleh Ikhwanul Muslimin dan Hizbut Tahrir sebagai iktikad atau keyakinan bertauhid, iaitu menjadikan perlaksanaan hukum (terutamanya hudud) sebagai satu dari cabang tauhid sehingga sesiapa yang meninggalkannya menjadi kafir yang mutlak.
Seruan dan perjuangan Ikhwanul Muslimin, Hizbut Tahrir dan yang sejalan dengan mereka melalui Tauhid Hakimiyah adalah semata-mata bertujuan untuk menentang pemerintah Islam, memecah-belahkan umat dan pengkafiran bagi sesiapa yang menentang mereka. Inilah ciri-ciri dan sifat Khawarij tulin. Dan antara cara mereka memperjuangkan diayah ini ialah melalui hasutan agar menentang penguasa dengan melakukan pemberontakan, revolusi, demonstrasi, keganasan dan mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak masuk ke dalam golongan dan harakah mereka. Ingatlah, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda tentang Khawarij!:
اَلاَ اِنَّهُمْ كِلاَبُ أَهْل النَّارِ.
“Ketahuilah sesungguhnya mereka (Khawarij) adalah anjing-anjing ahli neraka”.[3]
[1] . Lihat: Fatwa Syeikh Dr. Nashir al-‘Aql. Harian al-Muslimun, No 639.
Jumaat, 25 Zulhijah 1417H/2 May 1997. Kuwait.
[2] . Penjelasan Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah Alu Syeikh. Anggota
Haiah Kibarul Ulama Arab Saudi dan wakil Mufti ‘Am urusan fatwa.
[3] . H/R Ahmad dalam Musnad. Dan Abi ‘Asim dalam Sunnahnya,