Monday

23 - Batil Dan Mungkar

Batil Dan Mungkar

Penganalogian Yusuf al-Qaradhawi untuk menghalalkan pengeboman berani mati melalui kisah di dalam al-Quran, hadis dan sirah dengan berdasarkan logika akal atau hawa nafsunya untuk menggalakkan “Pengeboman Berani Mati, Aksi Bom Nekad Atau Operasi Berani Mati” atas nama jihad dan Islam adalah penganalogian yang batil lagi mungkar, kerana Allah ‘Azza wa-Jalla telah melarang penafsiran yang hanya berlandaskan akal atau hawa nafsu sebagaimana firmanNya

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيْعَةٍ مِنَ الأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِيْنَ لاَ يَعْلَمُوْنَ.

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”.
[1]

Wujudnya berbagai-bagai siri keganasan, pembunuhan ngeri, kerosakan, perbuatan fasid dan aksi pengeboman berani mati antaranya adalah berpunca dari kesalahan beberapa individu seperti Yusuf al-Qaradhawi yang gemar berfatwa dan menafsirkan ayat-ayat yang berkaitan dangn jihad, tetapi fatwa dan penafsiran mereka lebih berpandukan kepada akal, terpengaruh dengan pendoktrinan golongan ekstremis Muktazilah aklaniyah atau diambil dari ajaran Khawarijiyah hizbiyah yang terkenal dengan emosi menuruti hawa nafsunya yang disadur dengan saduran Islam.

Ghulu dan taksub (fanatik buta) kepada fatwa Yusuf al-Qaradhawi bahawa: “Kematian pengebom nekad, pengebom berani mati atau operasi berani mati dianggap sebagai jihad dan mati syahid”, adalah punca utama yang mensemarakkan keganasan dan pengeboman berani mati seperti apa yang telah berlaku. Contohnya Yusuf al-Qaradhawi menganalogikan keganasan pengebom berani mati kepada kisah “Ashabul Ukhdud”. Dikiaskan dengan kisah seorang pemuda yang soleh, pemuda tersebut telah mengorbankan dirinya dengan anak panahnya sendiri. Ia telah mengajar raja bagaimana cara yang mudah untuk membunuhnya, iaitu dibunuh dengan anak panah yang dimilikinya.
[2] Cerita tersebut terdapat di dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, baginda bersabda:

“Pernah terdapat seorang raja sebelum kamu, dia mempunyai seorang ahli sihir. Setelah dimamah usia tua, beliau berkata kepada raja: Aku sudah tua, datangkanlah seorang yang muda untuk aku ajarkan sihir kepadanya. Maka dibawakan kepadanya seorang anak muda untuk diajarkan sihir. Didalam perjalanan yang sering dilalui oleh pemuda itu ada seorang rahib. Disuatu ketika anak muda tersebut menghampiri dan berbincang-bincang dengan rahib tersebut. Ucapan Si Rahib menjadikan pemuda itu terpesona. Maka setiap kali menuju ke rumah ahli sihir, dia singgah di rumah rahib dan bersamanya seketika. Suatu hari Si Pemuda terlambat, semasa sampai di rumah ahli sihir maka ahli sihir memukulnya.
Si Pemuda itu menceritakan hal tersebut kepada rahib. Maka ia menasihati: Jika engkau takut kepada ahli sihir, maka katakan kepadanya keluarga mu menyebabkan engkau terlambat. Jika engkau takut kepada keluarga engkau katakan kepada mereka bahawa ahli sihir itu membuat engkau terlambat.

Disuatu ketika, Si Pemuda mendapati ramai orang yang ketakutan disebabkan seekor binatang besar yang menghalang jalan mereka. Si Pemuda berkata: Pada hari ini akan diketahui siapa sebenarnya yang lebih benar, ahli sihir atau Si Rahib? Lalu Si Pemuda mengambil seketul batu dan berkata: Ya Allah, jika Si Rahib lebih Engkau cintai dari ahli sihir, maka bunuhlah binatang ini agar orang ramai merasa aman kembali! Kemudian dia melontarkan batu yang di tangannya. Binatang itu mati dan orang ramai aman seperti biasa.

Si Pemuda menceritakan kejadian tersebut kepada rahib. Si Rahib berkata: Wahai anakku, hari ini engkau lebih baik dariku! Engkau sudah sampai ke tahap yang aku saksikan sekarang. Disuatu masa, engkau akan dizalimi. Jika itu berlaku, usahlah engkau menceritakan tentang diriku. Semenjak hari itu, Si Pemuda dapat mengubati orang sakit kusta, orang yang matanya hampir buta dan berbagai-bagai penyakit lain.

Penasihat raja yang buta telah mendengar kisah pemuda ini, dia datang menemui pemuda tersebut sambil membawa hadiah yang banyak. Dia berkata: Semuanya ini akan aku berikan kepada engkau jika engkau dapat menyembuhkan diriku. Pemuda itu menjawab: Sesungguhnya aku tidak mampu menyembuhkan sesiapapun. Hanya Allah menyembuhkannya. Jika engkau beriman kepada Allah, aku akan memohon kepadaNya supaya Dia menyembuhkan penyakit engkau.

Si Penasihat raja beriman kepada Allah dan Allah menyembuhkannya. Lalu dia pergi menghadap raja seperti biasa. Raja bertanya: Siapa yang menyembuhkan penglihatanmu? Dia menjawab: Tuhanku. Raja bertanya: Kamu mempunyai tuhan selain aku. Dia menjawab: Ya, Tuhan aku dan tuhan kamu adalah Allah! Maka raja mula menyiksanya sehingga penasihat tersebut menceritakan perihal Si Pemuda tersebut.

Raja memanggil pemuda tersebut dan bertanya kepadanya: Wahai anakku, ilmu sihir engkau dapat menyembuhkan penyakit kusta, buta dan selainnya! Si Pemuda menjawab: Sesungguhnya aku tidak menyembuhkan sesiapa pun. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang menyembuhkan. Mendengar jawapan Si Pemuda, raja terus menyiksa si pemuda sehingga menceritakan perihal Si Rahib. Lalu raja memanggil rahib dan diperintahkan: Tinggalkanlah agama mu (kembali kepada agama ku). Rahib menolak. Maka raja memerintahkan agar digergaji dari pangkal kepala rahib sehingga terbelah. Kemudian raja memanggil penasihat dan diperintahkan kepadanya: Kembalilah kepada agama aku. Penasihat enggan menurut perintah, lalu digergaji dari pengkal kepalanya sehingga terbelah. Akhirnya dipanggil Si Pemuda dan diperintahkan kepadanya: Tinggalkanlah agama mu dan kembali kepada agamaku. Si Pemuda ingkar. Maka raja memerintahkan para pengawalnya: Bawa pemuda ini ke atas gunung, setelah sampai di puncaknya, tawarkan agar kembali kepada agama aku, jika dia masih enggan, maka campakkanlah ke bawah. Maka para pengawal membawa pemuda tersebut ke bukit.

Ketika mendaki Si Pemuda itu berdoa: Ya Allah, dengan izin Mu, selamatkanlah aku daripada mereka! Maka bukit bergoyang sehingga para pengawal jatuh ke bawah bukit. Anak muda kembali menemui raja. Raja bertanya: Apakah yang terjadi kepada orang-orang yang membawa engkau? Si Pemuda menjawab: Allah telah menyelamatkan aku dari mereka.

Raja memerintahkan para pengawalnya yang lain: Bawalah dia ke dasar lautan, tawarkan kepadanya untuk kembali kepada agama aku, jika dia enggan, maka tenggelamkan dia. Ketika dibawa ke tengah lautan, anak muda berdoa: Ya Allah, dengan izin Mu, selamatkanlah aku dari mereka! Maka kapal yang membawa mereka pecah dan tenggelam berserta pengawal kecuali Si Pemuda. Si Pemuda kembali menemui raja. Raja bertanya: Apa yang berlaku kepada mereka yang membawa kamu? Si Pemuda berkata: Allah menyelamatkan aku dari mereka.

Kemudian Si Pemuda berkata: Sesungguhnya kamu tidak akan mampu membunuh aku kecuali jika kamu mematuhi apa yang aku suruh. Raja bertanya: Bagaimana caranya? Si Pemuda berkata: Himpunkan semua orang di kawasan tanah lapang. Ikatkan aku pada sebatang pokok, ambillah anak panah dariku, letakkan pada busarnya dan katakan: Dengan nama Allah Tuhan anak muda ini, lalu kemudian panahlah aku, nescaya kamu akan dapat membunuh aku. Maka raja menghimpunkan semua orang di tanah lapang. Diikat pemuda itu di sebatang pokok, lalu diambil anak panah dari pemuda itu, diletakkan pada busarnya, lalu raja berkata: Dengan nama Allah tuhan pemuda ini, kemudian memanahnya. Anak panah tepat pada sasaran di muka pemuda itu, lalu dia meninggal. Orang ramai yang hadir lantas berkata: Kami beriman kepada Tuhan anak muda ini! Kami beriman kepada Tuhan anak muda ini! Kami beriman dengan Tuhan anak muda ini! Salah seorang penasihat raja berkata kepadanya: Saksikanlah apa yang telah tuan bimbangkan demi Allah ia benar-benar terjadi. Orang ramai telah beriman semuanya.

Setelah itu raja memerintahkan agar digali parit di sekeliling tanah lapang itu. Setelah parit tersedia, dinyalakan api. Raja berkata: Sesiapa yang tidak mahu kembali dari agamanya, maka humbankanlah dia ke dalam parit (yang menyala apinya). Atau serulah: Terjunlah ke dalamnya. Maka mereka semua terjun ke dalam parit yang bernyala apinya sehingga terdapat seorang perempuan yang bersama anaknya merasa ragu untuk masuk ke dalam parit, lalu anaknya berkata: Wahai ibu, bersabarlah, sesungguhnya ibu berada di atas kebenaran!”.
[3]

Yusuf al-Qaradhawi telah menyalahgunakan hadis di atas ini kerana menurut Ibn Taimiyah rahimahullah:

“Kisah pemuda ini merupakan jihad fi sabilillah kerana menyebabkan ramai manusia menjadi beriman, sedangkan pemuda tersebut tidak rugi kerana ia telah mati dan sememangnya akan mati, cepat atau lambat.
[4]

Adapun pengeboman berani mati tidak boleh dianggap sebagai perbuatan mulia, syahid atau jihad fi sabilillah. Tidak boleh dikiaskan kepada kisah Si Pemuda yang dikisahkan dalam hadis Muslim (Ashabul Ukhdud) di atas.
[5] Dan tidak boleh dikiaskan dengan beberapa kejadian yang berlaku semasa peperangan di zaman Khalifah Islamiyah yang sedang berkuasa dan mempunyai kekuatan diberbagai-bagai bidang, kerana pengeboman berani mati tidak pernah dan tidak dapat meninggikan atau memuliakan agama Allah dan kalimahNya, malah pengeboman berani mati menyebabkan timbulnya beberapa mafsadah (kerosakan besar) antaranya terhadap lima perkara:

(1). Kerosakan di segi agama: Timbul kebencian terutamanya kaum kuffar terhadap agama Islam. Si Kuffar akan menggunakan semua alat kemudahan dan segala jenteranya, terutamanya mas-media untuk menyerang Islam dan memberi persepsi yang negatif kepada agama Islam, negara Islam, ketua-ketuanya, para pendakwahnya, para penganutnya dan para pejuang dan mujahidin Islam.

Kaum muslimin dianggap sebagai pengganas, penjenayah atau teroris yang mengancam keselamatan, kesetabilan dan keamanan seluruh manusia dan dunia. Akibatnya kuasa-kuasa besar yang terdiri dari kalangan pemerintah kuffar yang sejak sekian lama mendendami Islam, mereka akan mengambil peluang dan tindakan secara zalim dengan alasan memburu si pengebom berani mati atau sesiapa yang ada kaitan dengan pelaku dan gerakannya yang dituduh sebagai pengganas.

Tindakan pengeboman berani mati mencemar kemuliaan agama, mengancam keselamatan negara Islam, kerana tindakan mereka menyebabkan orang Islam dan negara Islam dianggap sebagai paksi dan penaja keganasan antarabangsa oleh kuasa-kuasa negara kuffar. Semuanya ini akan menakutkan umat Islam dan merugikan Islam di berbagai-bagai sudut di samping kemusnahan negara Islam, harta dan nyawa manusia secara umum.

(2). Dalam persoalan nyawa: Pengeboman berani mati menimbulkan kezaliman,
[6] mengorbankan nyawa orang-orang awam,[7] orang-orang yang tidak berdosa seperti kanak-kanak, perempuan, orang-orang tua dan termasuk nyawanya sendiri (bunuh diri), malah melibatkan nyawa orang-orang Islam dan orang-orang kafir yang tidak halal dibunuh. Allah Subhanahu wa-Ta’ala melaknat pembunuhan seperti itu sebagaimana firmanNya dan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتُعَمِّدًا فَجَزَآؤُهُ جَهَنَّمَ خَالِدًا فِيْهَا وَغَضِبَ اللهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيْمًأ.

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya. Dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya”.
[8]
وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

“Dan membunuh (orang Islam) suatu kekufuran”.
[9]

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ.

“Setiap Muslim dengan muslim yang lain diharamkan: Darahnya, hartanya dan kehormatannya”.
[10]

أَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْفَسَادًا فِيْ اْلأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيْعًا.

“Barangsiapa membunuh seorang manusia bukan kerana ia membunuh orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya”.
[11]

Membunuh kaum kuffar dengan sengaja tanpa ada sebab yang dibolehkan secara syarie, walau dengan apa cara sekalipun, maka ia adalah perbuatan haram, keji dan termasuk perbuatan terkutuk yang amat bertentangan dengan hukum ahkam agama Islam.

Membunuh orang-orang kafir dari kalangan Yahudi, Nasrani atau Majusi yang ada perjanjian damai dengan orang Islam, yang dilindungi oleh pemerintah Islam atau orang-orang Islam yang berada (tinggal dan menetap) di negeri atau negara kuffar, maka melakukan pembunuhan termasuk melalui pengeboman berani mati seperti yang telah dinyatakan di atas adalah haram hukumnya menurut kesepakatan semua para imam mazhab. Kerana hal tersebut telah dijelaskan hukumnya di dalam syariat Islamiyah sebagaimana yang terdapat dalil-dalil tegahan dan pengharamannya di dalam firman Allah ‘Azza wa-Jalla dan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Maka semua apa yang ditetapkan oleh syara wajib ditaati oleh orang-orang yang beriman. Allah ‘Azza wa-Jalla telah berfirman tentang haramnya membunuh orang-orang kafir atau orang-orang Islam jika tidak ada sebab yang dibolehkan oleh syara:

وَإِنْ كَانَ مِنْ قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيْثَاقٌ فَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَى أَهْلِهِ وَتَحْرِيْرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ.

“Jika ia (si terbunuh) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) antara mereka dengan kamu, maka (hendaklah si pembunuh) membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (keluarga si terbunuh) serta memerdekakan hamba sahaya yang mukmin”.
[12]

Dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Janganlah membunuh anak-anak, perempuan, orang tua dan orang yang beribadah di tempat pengibadahannya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupam manusia semuanya”.
[13]

Tindakan pengebom berani mati adalah bertentangan dengan semua dalil-dalil di atas yang mengharamkan perbuatan tersebut.

(3). Kerosakan harta-benda: Tindakan pengebom berani mati menyerupai perbuatan orang-orang kafir, kerana antara ciri-ciri perbuatan orang-orang kafir dan fasik yang keji ialah gemar membuat kerosakan di permukaan bumi, pembunuhan, kebinasaan harta-benda serta kemusnahan kepada kepentingan awam dan negara, sehingga merugikan berbagai lapisan masyarakat. Firman Allah ‘Azza wa-Jalla:

وَإِذَا تَوَلَّى سَعَى فِى اْلأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيْهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ وَاللهُ لاَيُحِبُّ الْفَسَادَ.
“Dan apabila ia berpaling, ia berjalan di permukaan bumi untuk mengadakan kerosakan padanya dan merosakkan tanaman dan binatang, dan Allah tidak menyukai kebinasaan”.
[14]

(4). Merosakkan dan mencemarkan kehormatan: Pengeboman berani mati adalah perbuatan biadab tidak bermoral, mencabul kehormatan dan kedaulatan individu, jamaah dan negara. Menimbulkan kekacauan, menyemarakkan permusuhan, huru-hara, ketakutan dan kefasadan di permukaan bumi. Allah ‘Azza wa-Jalla menegah dan mengharamkan perbuatan tersebut dengan firmanNya:
وَلاَ تُفْسِدُ فِى اْلأَرْضِ بَعْدَ إِصْلاَحِهَا.

“Janganlah kamu membuat kerosakan (kefasadan) di muka bumi sesudah (Allah) memperbaikinya”.
[15]

(5). Menunjukkan akal yang rosak: Jika ditimbang dengan pemikiran yang waras, dilihat dengan aspek purifikasi dan moral agama, maka tindakan pengeboman berani mati yang mengorbankan pelakunya, mengakibatkan kerosakan, menimpakan kemusnahan dan pembunuhan orang awam tanpa mengenal agama, usia, jantina, belas kasihan, kasih sayang dan keadaan, semunya itu adalah perbuatan ganas yang merugikan semua pihak. Ia tidak diterima oleh akal yang rasional, malah bertentangan dengan naluri manusia serta hukum-hukum syara.
Berkata Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin rahimahullah:

“Sesungguhnya tindakan sebahagian manusia mengorbankan dirinya
[16] dengan cara membawa bom, lantas ia pergi ke tengah-tengah orang-orang kafir lalu meletupkannya, merupakan perbuatan bunuh diri – semoga Allah melindungi kita. Maka sesiapa yang membunuh diri akan dikekalkan di neraka Jahanam buat selama-lamanya sebagaimana yang dijelaskan oleh sebuah hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam,[17] kerana perbuatan tersebut tidak memberi kemaslahatan kepada agama Islam. Sebab jika ia berjaya membunuh sepuluh, seratus atau dua ratus orang, natijahnya tidak mendatangkan manfaat bagi Islam dan tidak ada orang yang mahu memeluk Islam berbeza dengan kisah pemuda (Ashabul Ukhdud), bahkan memungkinkan hal ini akan menimbulkan kemarahan di hati para musuh sehingga membinasakan kaum muslimin dengan sepenuh kemampuannya”.[18]

Majlis Haiah Kibarul Ulama di Arab Saudi telah mengeluarkan fatwa tentang haramnya membunuh diri, antara yang dikategorikan sebagai membunuh diri ialah pengeboman berani mati yang dianggap istisyhad (mati syahid) oleh Yusuf al-Qaradhawi. Fatwa pengharaman tersebut ialah:

“Pengeboman berani mati lebih banyak membawa kepada kemusnahan, kerosakan, kekejian, kezaliman, kecelakaan, mencemar kehormatan agama, mengorbankan jiwa, kecederaan dan kecacatan. Pengeboman berani mati menghilangkan rasa keamanan dan kedamaian di seluruh dunia. Akibatnya ia mendatangkan kebencian, ancaman, tindakan ketenteraan dan balas dendam masyarakat kuffar terhadap umat Islam, negara dan agamanya. Apabila ini berlaku pastinya akan menimbulkan bahaya dan ketakutan kepada umat Ialam di seluruh dunia, terutama kaum-kaum minorati Islam yang menetap di negara-negara bukan Islam”.
[19]


[1] . al-Jaasiyah. 45:18.
[2] . Catitan dalam teks Bahasa Arabnya boleh dilihat di dalam Sahih Muslim.
No. 3005. Kitab az-Zuhud wa-ar-Raqiq. Bab Ashabul Ukhdud.
[3] . H/R Muslim. No. 3005.
[4]. Lihat: فتاوى الأئمة في النوازل المدلهمة Muhammad bin Husain bin Said al-
Sufran al-Qahtani.
[5] . Sebagaimana terdapat dalam hadis riwayat Imam Muslim. No. 3005
bahawa kisah pemuda tersebut telah dapat meninggikan agama Allah.
[6]. Menurut Hadis qudsi: “Wahai hamba-Ku! Bahawasanya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku pun mengharamkannya antara kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi”. H/R Muslim, No. 6572.
[7]. Firman Allah: “Dan jika ia (yang terbunuh) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) antara mereka dengan kamu, maka (hendaklah si pembunuh) membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (yang terbunuh) serta memerdekakan hamba sahaya yang mukmin”. an-Nisa 92. Sabda Rasulullah: “Barangsiapa yang membunuh orang yang dalam perjanjian, maka ia tidak akan mencium bau syurga”. Mutaffaq ‘alaihi.
[8]. an-Nisaa. 4: 93.
[9] . H/R Bukhari No. 48. Muslim No. 64.
[10] . H/R Muslim No. 2564.
[11] . al-Maidah. 5:32.
[12] . an-Nisaa, 4:92.
[13]. H/R Muslim. No. 4522.
[14] . al-Baqarah. 2:205.
[15] . al-A’raf. 7:56.
[16] . Antara cara pengeboman berani mati adalah dengan meletupkan dirinya di
tengah-tengah kaum kuffar, pelanggaran dengan kenderaan atau pesawat dan
sebagainya
[17] . H/R Bukhari No. 5778.
[18]. Lihat: فتاوى الأئمة في النوازل المدلهمة Muhammad bin Hussin bin Said Ali Sufra
al- Qahtani
[19]. Lihat: Majalah Mujamma’ Fiqh Islami. Edisi ke 2. Hlm. 181. Keputusan No.
148. Pertemuan ke 32. 12 Muharram 1409H.