Monday

29 - Qaradhawiyah

Qaradhawiyah

Qaradhawiyah yang dimaksudkan dalam tulisan ini ialah kalimah yang dinasabkan kepada pemikiran dan fahaman Yusuf al-Qaradhawi. Yusuf al-Qaradhawi termasuk salah seorang anak murid al-Ghazali dan juga temannya. Dakwah keduanya adalah Muktazilah.
[1] Tetapi Yusuf al-Qaradhawi lebih bahaya dari syeikhnya kerana dia lebih banyak putar belit dan penipuannya.[2] Kenyataan ini ada benarnya kerana sikap aklani (pemuja akal) Yusuf al-Qaradhawi jelas apabila beliau menamakan Allah Azza wa-Jalla dengan nama “Al-‘Aql - العقل”. Beliau berkata:

“Segala yang ada di alam semesta, sama ada yang di sebelah atas ataupun di bawah, yang bisu atau yang berkata-kata, menunjukkan ada satu akal yang mengendalikan urusannya dan satu tangan yang mengatur perputaran alam”.
[3]

Ungkapan “Satu akal yang mengendalikan urusannya” menunjukkan isyarat kepada Allah, kerana hanya Dialah sahaja satu-satunya yang mengurus alam semesta. Inilah kepercayaan yang menyerupai kepercayaan agama Majusi yang mempertuhankan makhluk yang berupa akal. Tidak termaktub di dalam al-Quran atau hadis yang sahih bahawa salah satu dari nama-nama Allah itu “Akal”. Sehingga secara yang tidak diduga fahaman aklani telah melahirkan aliran Qaradhawiyah Aklaniyah yang peminatnya sudah mulai fanatik (taksub) dan ghulu kepada sikap aklani (pemuja akal) ala Qaradhawi.

Lihatlah di Qatar, natijah dari fatwa yang dikeluarkan oleh Yusuf al-Qaradhawi yang ditimbang dengan akalnya telah menyebabkan percampuran bebas lelaki dan perempuan. Sama ada di sekolah-sekolah dan di universiti-universiti. Perempuan keluar memandu kereta seorang diri dan bertambahnya wanita-wanita keluar bekerja berikhtilat (bergaul bebas) di samping lelaki
[4] yang pada mulanya tidak pernah terjadi.

Qaradhawiyah, adalah juga julukan yang diberikan kepada mereka-mereka yang fanatik bukan sahaja dengan buah fikiran Yusuf al-Qaradhawi, malah dengan fatwa-fatwa Yusuf al-Qaradhawi walaupun telah dijelaskan oleh para ulama ianya adalah menyeleweng, tetapi ditelan oleh mereka tanpa banyak berfikir sama ada fikrah dan fatwa tersebut benar atau batil, semuanya diterima, dipegang dan digigit demi taksubnya mereka kepada Yusuf al-Qaradhawi. Mereka yang fanatik dan ghulu sanggup menutup semua kesalahan dan kebatilan Yusuf al-Qaradhawi walaupun telah dibantah, dijarh, ditahzir dan telah diiqamatul hujah (ditegakkan hujah) dengan tabayun (penjelasan) yang jelas oleh para ulama yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh.

Antara kebatilan dakwah al-Qaradhawi ialah menyeru agar disatukan agama Islam dengan agama Yahudi dan Nasrani. Beliau menyeru agar dipersaudarakan antara semua agama dengan agama Islam. Ini adalah seruan yang bertentangan dengan syara. Dalam usahanya untuk merealisasikan perjuangannya ini beliau telah menegaskan dengan mengulang-ulangi fatwanya:

نَعَمْ ! نَحْنُ مُؤْمِنُوْنَ وَهُمْ مُؤْمِنُوْنَ بَوَجْهٍ آخَرَ
“Ya, kita semuanya orang-orang mukmin dan mereka (Yahudi dan Nasara) adalah juga mukmin dengan wajah yang lain!”.
[5]

Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan lagi:

وَمِمَّا لاَ أَنْسَاهُ مَا ذَكَرَهُ لِيْ بَعْض اْلإخْوَةِ الْمُشَارِكِيْنَ وَهُوَ نَصْرَانِيْ قَوْمِي )وَهُنَا تآخى القَرْضَاوِي مَعَ نَصْرَانِي قَوْمِي(

“Dan apa yang tidak dapat aku melupakannya iaitu apa yang telah dikatakan kepadaku oleh sebahagian saudara yang ikut serta, dia adalah seorang Nasrani: (Di sini dengan jelas Yusuf al-Qaradhawi telah mempersaudarakan antara Islam dengan Nasrani)”.
[6]

Lihatlah kenyataan Yusuf al-Qaradhawi: “saudara yang ikut serta” bermakna menganggap Yahudi dan Nasrani sebagai saudara seagama. Fatwa atau buah fikiran beliau ini amat mungkar kerana bertentangan dengan firman Allah:
إَنَّمَا الْمُؤْمِنُوْنَ إِخْوَةٌ

“Sesungguhnya orang-orang beriman bersaudara”.
[7]

Ayat al-Quran di atas ini hanya mengizinkan persaudaraan seagama. Allah mewajibkan mengikat dan mempererat persaudaraan hanya dengan orang-orang yang beragama Islam sahaja. Seorang muslim tidak dibenarkan berwala’ (berkasih sayang, mencintai dan mengikat tali persaudaraan) dengan Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Namun hampir kesemua tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin seperti Hasan al-Banna, Sayid Qutub, Sa’id Hawa, Fathi Yakan, Hasan at-Turabi, Tilmisani dan ramai lagi yang sepemikiran dengan Yusuf al-Qaradhawi mengabaikan ayat di atas. Contohnya, Hasan at-Turabi sepemikiran dan seperjuangan dengan Yusuf al-Qaradhawi menyeru agar umat Islam berwala’ dengan Yahudi dan Nasrani, beliau dengan berani berfatwa:

“Tidak boleh bagi seorang Muslim mengkafirkan Yahudi atau Nasrani”.
[8]

Fatwa Hasan at-Turabi ini bertentangan dengan fatwa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah bahawa:

“Barangsiapa merasa ragu atau tidak mengkafirkan orang-orang yang bukan Islam, maka dia telah kafir”.
[9]

Hasan Turabi berfatwa lagi:

“Boleh bagi seorang Muslim untuk menjadi Yahudi atau Nasrani, seperti halnya mereka Yahudi atau Nasrani untuk menjadi Muslim”.
[10]

Pemikiran di atas ini diambil dari pemikiran Sayid Qutub, Hasan al-Banna, Hudaibi, Muhammad al-Ghazali dan Mustafa as-Siba’i kerana menurut persetujuan mereka (terutamanya Hasan al-Banna dan Yusuf al-Qaradhawi):

“Gerakan Ikhwanul Muslimin tidak pernah memusuhi (menentang) akidah, agama atau kelompok agama apapun”.
[11]

Apakah mereka semua lupa atau sengaja melupakan? Tidakkah mereka tahu atau pura-pura tidak tahu bahawa setiap nabi dan rasul diutus demi untuk memerangi dan menghapuskan akidah yang syirik, memerangi setiap kelompok agama sehingga mereka mengucapkan kalimah syahadah? Apakah akidah Yahudi dan Nasrani tidak boleh ditentang? Alangkah muflisnya mereka dengan akidah Islamiyah sehingga tidak mampu untuk menegakkannya di kalangan Yahudi dan Nasrani.

Memang Yusuf al-Qaradhawi sehingga ke hari ini belum terbukti beliau telah sukses membasmi kesyirikan, bid’ah, khurafat dan isma-isma sesat di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin sehingga pertubuhannya dikenali sebagai Ikhwanul Muflisin pada hal beliau telah ditokohkan oleh para pentaqlidnya.

Hudaibi berpendirian dengan keyakinannya telah menyokong fatwa-fatwa mungkar di atas. Beliau berkata:

“Malah bukan hanya setakat itu, bahkan kami tidak mempunyai larangan bagi orang Qibti (Nasrani/Kristian) untuk menjadi anggota Ikhwanul Muslimin”.

Kata-kata di atas dikuatkan juga dengan penjelasan Muhammad al-Ghazali, beliau berkata:

“Maka kamipun menginginkan untuk menghulur tangan-tangan kami dan membuka telinga serta hati kami untuk setiap seruan yang menyatukan agama-agama, dan mendekatkan antara pemeluknya serta menghilangkan punca-punca perpecahan dari hati-hati mereka”.
[12]

Segala kenyataan dan fatwa di atas disetujui juga oleh Mustafa as-Siba’i, kerana beliau berkeyakinan:

“Islam bukanlah agama yang memerangi agama Nasara, malah mengakui dan memuliakan agama tersebut. Islam tidak membezakan antara Muslim dan Nasara, Islam tidak pernah memberikan hak yang lebih atas hak Nasara (kepada seorang muslim. Pent) dalam pemerintahan”.
[13]

Sayid Qutub telah memperjelaskan akidah dan perjuangan Ikhwanul Muslimin. Beliau berkata:

“Matlamat utama gerakan Ikhwanul Muslimin bukanlah untuk menentang akidah, agama atau mana-mana golongan tetapi bertujuan untuk memelihara semangat perjuangan menegakkan prinsip-prinsip utama bagi semua risalah, yang sekarang ini terancam oleh ateisma. Maka semua orang yang percaya kepada agama harus berjuang dengan serius untuk menyelamatkan manusia dari bahaya ateisma. Namun Ikhwanul Muslimin tidak menentang orang-orang asing yang berada di negara Arab dan negara Islam, tidak juga menuduh mereka jahat, hingga terhadap orang-orang Yahudi sekalipun. Kerana tidak ada pertalian kita dengan mereka kecuali pertalian yang baik”.
[14]

Dari semua suara hati dan fatwa-fatwa para tokoh Ikhwanul Muslimin yang tercatit dengan amanah ini, membuktikan bahawa mereka telah berwala’ (mencintai, berkasih sayang dan mempertahan) dan tidak berbara’ kapada kaum-kaum kuffar, sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi. Apakah mereka tidak mengetahui bahawa Allah mengharamkan setiap muslim berwala’ kepada kaum-kaum kafirin? Apakah orang yang beriman, berilmu dan berakal boleh menamakan pertubuhan yang kesasaran pemikirannya ini sebagai Ikhwanul Muslimin? Atau lebih layak dinamakan Ikhwanul Muflisin?

Bagaimana pemahaman mereka terhadap ayat-ayat Allah Subhanahu wa-Ta’ala yang memperkatakan tentang Yahudi dan Nasrani? Allah mengharamkan setiap orang yang beriman dari berkasih sayang dengan sesiapapun yang tidak beriman kepada Allah dan RasulNya, sama ada bapa, anak, saudara mara atau keluarga apa lagi jika Si Kafir itu Yahudi atau Nasrani. Firman Allah:

لاَ تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمَنُوْنَ بِاللهِ وَالْيُوْمِ اْلآخِرِ يُوْادُوْنَ مَنْ حَادَاللهَ وَرَسُوْلَهُ وَلَوْ كَانُوْا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَائَهُمْ أَوْ عَشِيْرَتَهُمْ .

“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang itu bapa-bapa, atau anak-anak, atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka”.
[15]

Allah ‘Azza wa-Jalla juga mengharamkan orang-orang beriman dari berwala’ kepada orang kafir, termasuk Yahudi dan Nasrani kerana Allah ‘Azza wa-Jalla telah menjelaskan dengan firmanNya:

يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا لاَ تَتَّخِذُوْا الْيَهُوْدَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلَيَاءَ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَّلَهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللهَ لاَ يَهْدِى الْقَوْمَ الظَّالِمِيْنَ.

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpinmu, sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain! Barangsiapa antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim”.
[16]
Imanilah pengkhabaran dari Allah Subhanahu wa Ta’ala bahawa Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada orang-orang Islam dan akan terus memusuhi orang-orang beriman sehingga ke Hari Kiamat. Allah telah mengkhabarkan sifat jahat mereka terhadap orang-orang Islam dengan firmanNya:

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُوْدُ وَلاَ النَّصَرَى حَتَّى تَتَّبَعَ مِلَّتَهُمْ.

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka”.
[17]

Janganlah menjadi orang yang suka berfatwa mengikut pertimbangan akal dan hawa nafsu agar tidak berbohong atas nama agama. Malulah kepada Allah, kepada para ulama dan orang yang lebih bijak dan pandai. Ingatlah wasiat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam!:

إِذَا لَمْ تَسْتَحِيْ فَاصْنَعْ مَا شِئتَ

“Jika sekiranya kamu tidak tahu malu, maka buatlah apa yang engkau suka”.
[18]

[1] . Lihat: Dakwahtul Ikhwan al-Muslimin fi Mizanil Islam hlm 185 Farid
bin Ahmad Mansur.
[2] . Ibid.
[3] . Lihat: Malaamihul Mujtama al-Muslimin.hlm. 10.
[4] . Ibid.
[5] . Fatwa ini diulang-ulang oleh al- Qaradhawi dibeberapa tulisannya. Lihat:
(1). Fatawa Mu’assarah. 2/668.
(2). Malamikh al-Mujtama’ al-Muslim hlm. 138.
(3). al-Khashashul Ummah bil Islam hlm. 90.
(4). Min Ba’dil Khatai Qaradhawi. Hlm. 4.
[6] . Lihat: (1). دعوة الإخوان المسلمين فى ميزان الاسلام hlm. 200. Farid Bin Ahmad .
(2). أولويات (مهلكات) الحركة الإسلامية hlm. 168. Qaradhawi.
[7] . al-Hujurat. 49:10.
[8] . Lihat: Majalah asy-Syariah. Edisi Fenomena Sinkretisme Agama hlm. 21.
[9] . Lihat: Nawaqidul Islam. Oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.
[10] . Ibid.
[11] . Lihat: Qafilah al-Ikhwan. 1/221. Abbas as-Sisi.
[12] . Lihat: wa Min Huna Na’lam. Hlm. 150. al-Ghazali.
[13] . Lihat: at-Tariq Ilal Jama’atil Umm. Hlm. 134.
[14] . Lihat: Qafilatul Ikhwan li as-Siyasi. Hlm. 1,311.
[15] . al-Mujadalah. 58:22
[16] . al-Maidah. 5:51.
[17] . al-Baqarah. 2:120.
[18] . H/R Bukhari. Kitab Ahadisul Anbiya.