Monday

20 - Qutubiyah

Qutubiyah

Qutubiyah atau Qutubi adalah suatu fahaman yang dinasabkan kepada Sayid Qutub rahimahullah. Atau para pengikut Sayid Qutub yang fanatik dan ghalu kepadanya. Meraka (Qutubiyah) adalah hasil keluaran Jamaah Ikhwanul Muslimin atau sesiapa yang lahir dari hasil pemikiran Sayid Qutub (semoga Allah mengampunkan segala kesilapannya).

Sayid Qutub dan Hasan al-Banna dianggap sebagai mati syahid oleh para pengikutnya dan mereka menyangka: “Bahawa beliau (Hasan al-Banna) hidup di sisi Rabnya dan mendapat rezeki di sana”
[1] sedangkan (menurut para ulama Salaf as-Soleh) tidak boleh memutuskan seseorang sebagai syahid kecuali dalam bentuk global[2] atau menurut apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya iaitu terbunuh di medan perang fisabilillah. Di dalam hadis Bukhari ada dijelaskan:

“Tidak boleh mengatakan Si Fulan syahid”.
[3]

Menurut Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah apabila mensyarahkan hadis riwayat Bukhari di atas bahawa:

“Tidak boleh memastikan seseorang syahid kecuali melalui penentuan wahyu”.

Sayid Qutub yang digelar ulama dan syahid oleh pengekor Ikhwanul Muslimin, semasa hidupnya gemar mengejek cara pakaian ulama yang diistilahkan oleh beliau sebagai orang rohaniawan, pakaian rohaniawan, pemikiran rohaniawan atau budaya rohaniawan. Sayid Qutub lebih senang menampilkan gaya luarannya dengan penampilan Eropah seperti mencukur janggut, memakai topi dan lebih kerap memakai pakaian ala barat. Dia merasa bangga dengan fesyen seperti itu dan beliau melepaskan ejekannya dan penghinaannya kepada ulama dengan berkata:

“Sebahagian syubhat yang muncul, ia dimunculkan oleh pemikiran agama dari orang yang digelar saat ini sebagai rohaniawan. Iaitu syubhat yang merosak Islam dan strukturnya sehingga ke dalam jiwanya. Mereka – rohaniawan – merupakan makhluk yang paling mustahil untuk diterapkan pemikirannya dan mustahil diikuti buah fikirannya, baik dari segi budaya atau perilakunya, bahkan pakaian dan tindak-tanduknya disebabkan kebodohannya terhadap realiti agama dan warisan penjajah”.
[4]

Sayid Qutub melahirkan lagi celaan (penghinaan), ejekan dan perlinya terhadap ulama:

“Kebodohan yang lahir dari kebudayaan Islam tidak akan memberi tasawwur (gambaran) Islam yang teguh, kerana mereka mengetahui dari orang-orang yang mereka kenali sebagai para rohaniawan. Inilah kenyataan tentang Islam yang paling buruk yang digambarkan oleh agama-agama yang lainnya”.
[5]
Para pemuja Sayid Qutub tidak akan terkilan dengan ejekan Syeikh mereka ini, malah mereka meniru gaya dan cara berpakaian Sayid Qutub. Mereka senang dan bangga dengan apa saja yang datangnya dari Sayid Qutub, seperti mencukur atau menipiskan janggut mereka lantaran malu untuk memeliharanya, berpakaian isbal (melabuhkan pakaian melebihi bawah mata kaki), menggemari gaya pakaian dan budaya Barat.

Berkata Syeikh Abdussalam bin Salim bin Raja as-Suhaimi:

“Qutubiyun adalah mereka yang satu kaum membaca (mempelajari) tulisan-tulisan Sayid Qutub, mengambil dan meyakini sebagai kebenaran mutlak apa sahaja yang terdapat di dalam tulisan-tulisan tersebut sama ada yang hak (benar) atau yang batil (merosakkan)”.
[6]

Menurut Syeikh Abdussalam lagi: Didapati para pentaqlid dan pengekor Sayid Qutub sangat berlebih-lebihan apabila mempertahankan Sayid Qutub. Jika mereka dapati ada seseorang yang menegur kesilapannya, sekalipun teguran tersebut benar, maka mereka akan mengeluarkan berbagai-bagai alasan. Syeikh Abdussalam menjelaskan:

“Sudah dimaklumi bahawa Sayid Qutub bukanlah seorang yang menguasai ilmu agama. Dia hanyalah seorang penulis (sasterawan) berpegang dengan mazhab Asy’ari. Terdapat banyak kesalahan yang keterlaluan dan keji di dalam tulisannya, malangnya apabila Sayid Qutub diberi teguran (oleh para ulama), para pendokong Qutubiyah bangun membantah dengan kata-kata yang keji”.
[7]

Antara fatwa dari Syeikh al-Muhaddis Muhammad Nasruddin al-Albani rahimahullah diakhir hayatnya:

“Sayid Qutub tidak mengetahui tentang Islam, baik secara usulnya (ilmu-ilmu dasarnya) atau ilmu-ilmu furu’. Maka saya berterima kasih kepada al-akh (Syeikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali) kerana menunaikan kewajipannya dengan menjelaskan dan menyingkap kejahilan dan penyimpangan (akidah Sayid Qutub) dari Islam”.
[8]

Di Malaysia, Mohd. Asri adalah termasuk mereka yang terpalit dengan kenyataan Syeikh Abdussalam. Jenis pengekor yang ghulu ini bermatian-matian mempertahankan Ikhwanul Muslimin dan para tokohnya. Ingatlah apa yang dikatakan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah bahawa ghulu itu: “Berlebih-lebihan dalam memberi pujian, sanjungan dan lainnya”.
[9] Sikap keji ini telah berlaku di kalangan pengekor tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin sehingga ke taraf melatah dan melalut.

Tidakkah pengekor ini memahami akidah Sayid Qutub sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh al-Albani dan sokongannya terhadap Syeikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali yang dihukum suka mengkafirkan dan pelampau oleh penulis ‘Islam Liberal’ tersebut? Apakah Syeikh al-Albani juga pelampau kerana menjelaskan akidah Sayid Qutub? Fahamilah apa yang telah ditulis oleh Sayid Qutub yang berkaitan dengan akidah:

“Berkenaan hal “Istiwa” Allah di atas ‘Arasy, maka hendaklah kita mengatakan bahawasanya istiwa ertinya: Penguasaan (Berkuasa, Memerintah) Allah atas makhlukNya”.
[10]

Imam az-Zahabi, imam Ibn Taimiyah, imam Ibn Qaiyim, imam Ibn Kathir, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan ramai lagi para ulama Salaf termasuk Syeikh Ibn Bazz dan Muhammad Nasruddin al-Albani dengan tegasnya telah menolak dan membantah cara takwil atau penafsiran yang dilakukan oleh Saiyd Qutub kerana mengingkari Allah beristiwa di ‘Arasy.

Syeikh Abdul Aziz bin Bazz dengan ketegasannya membantah:

“Perkataan ini adalah perkataan yang fasid. Maksud dari kalimah “Penguasaan/Berkuasa/Memerintah” di sini adalah mengingkari istiwanya (Allah di ‘Arasy) yang maknanya telah jelas iaitu tinggi di atas ‘Arasy. Apa yang dikatakan oleh beliau (Sayid Qutub) adalah batil dan ini membuktikan bahawa dia miskin dalam ilmu tafsir”.
[11]

Namun para masyeikh (para ulama Salaf) tidak pernah mengkafirkan Sayid Qutub atau sesiapapun dari tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin yang muflisin ilmu sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Hammad al-Ansari:

“Diketika orang ini (Sayid Qutub rahimahullah) masih hidup maka sewajarnya dia bertaubat, jika tidak bertaubat dia dikenakan hukuman mati kerana telah murtad. Oleh kerana dia telah meninggal maka perlu dijelaskan kepada umat bahawa perkataannya itu batil, namun kita tidak mengkafirkannya kerana kita belum menegakkan hujjah ke atasnya”.
[12]

Sayid Qutub rahimahullah, selain mewariskan fahaman Qutubiyah Khawarijiyah dan Tauhid Hakimiyah Takfiriyah, beliau juga melahirkan ramai para pengekor yang fanatik kepadanya di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Gerakan dan fahaman Qutubiyah yang tersemai di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin dan diterima pakai oleh tokoh-tokohnya telah berjaya menarik minat ramai masyarakat meniru perjuangan mereka (antaranya Mohd Asri bin Zainal Abidin dan jenis-jenis speisis yang seakal-akalan sepertinya terutamanya yang terdapat di Malaysia).

Sayid Qutub melalui pelbagai tulisannya telah mengheret ramai umat kepada berbagai bid’ah pemikiran, teori, persepsi dan andaian. Bid’ah-bid’ah ini tercipta melalui penafsiran beliau yang dihanyutkan oleh rakyunya (pendapatnya) sehingga membawa kepada kesesatan akidah selain bid’ah ibadah, akhlak, sosial, siyasah dan iedologi songsang.

Berpunca dan juga kesan dari pelbagai bentuk pemikiran Sayid Qutub yang bid’ah, ia telah melahirkan fahaman yang rosak dan perpecahan yang begitu banyak di kalangan umat Islam seperti melahirkan Jamaah Takfir wal-Hijrah, Jamaah Jihadiyah, JI, DII, Hizbut Tahrir dan berbagai-bagai hizb yang lainnya.

Antara teori-teori bid’ah yang terkandung di dalam tulisan-tulisan Sayid Qutub seperti di dalam Ma’alim fii at-Tariq
[13] dan fii Dilal al-Quran ialah fahaman takfir (pengkafiran) dan penghinaan terhadap umat Islam sekarang ini dengan tuduhan sebagai masyarakat jahiliyah. Sebagai bukti Sayid Qutub telah berkata:

“Masyarakat yang mengaku sebagai masyarakat Islam (sekarang ini) telah termasuk ke dalam kategori masyarakat jahiliyah. Mereka dianggap sebagai jahiliyah bukan kerana berkeyakinan tentang anggapannya ada ketuhanan seseorang selain Allah dan bukan kerana mereka mengutamakan syiar-syiar pengibadatan kepada selain Allah….. tetapi mereka masih memberikan keutamaan yang sangat utama dari sifat ketuhanan kepada selain Allah iaitu mereka masih beragama dengan berhukum dengan selain hukum yang diturunkan oleh Allah”.
[14]

Menuduh umat ini sebagai: “Termasuk ke dalam kategori masyarakat jahiliyah” samalah seperti mengkafirkan umat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang ada sekarang ini. Selanjutnya dia berkata:

“Apabila hal sudah jelas, maka pendirian Islam terhadap masyarakat jahiliyah adalah berkait dengan satu ungkapan iaitu Islam menolak pengakuan seperti itu iaitu pengakuan keIslaman masyarakat ini secara total”.
[15]

Kenyataan Yusuf al-Qaradhawi telah menjadi saksi dan bukti bahawa Sayid Qutub melahirkan pemikiran takfirnya (pengkafirannya) terhadap umat Islam sekarang ini kerana ia telah diakui oleh Yusuf al-Qaradhawi dengan fatwanya:

“Pada peringkat pengkafiran ini, yang merupakan kemuncak terakhir dari pengkafiran Sayid Qutub, ia tercatit di dalam tulisan-tulisannya. Di dalam tulisan-tulisan tersebut terpancar pengkafiran terhadap masyarakat dan perlunya penundaan dakwah untuk beralih kepada undang-undang Islam (hakimiyah) dan menyerukan jihad melawan seluruh manusia”.
[16]

Fatwa Yusuf al-Qaradhawi di atas yang dinukil secara amanah ini, didukung dan dikuatkan lagi dengan kenyataan Ahmad Farid Abdul Khaliq:

“Sayid Qutub telah memperlekeh Nabi Musa ‘alaihissalam, mencela Khalifah Uthman radiallahu ‘anhu, mencela sahabat, meninggalkan tauhid uluhiyah, berakidah Asy’ariyah dalam mentakwil sifat-sifat Allah, menyebarkan pemikiran takfir dan sebagainya”.
[17]

Di dalam kitab المورد الزلال فى التنبيه على أخطاء الظلال Syeikh Abdullah bin ad-Duwais telah mendedahkan sebanyak 182 (seratus lapan puluh dua) kesalahan termasuk kesalahan dalam bab akidah. Apakah pengekor, pentaqlid buta yang taksub dan mereka yang bersangatan memuja dan memuji Sayid Qutub dan pertubuhan Ikhwanul Muslimin boleh memejamkan mata tentang kesalahan yang terlalu banyak ini? Apakah Syeikh Abdullah bin ad-Duwais seorang yang bodoh? Pastinya beliau seorang ulama besar sehingga mampu mendedahkan kesilapan Sayid Qutub yang sebanyak itu di dalam tafsirnya.

Begitu juga dengan kitab Turkh Hasan Al-Banna Wa-Ahammul Warisin. Di dalam kitab ini Syeikh Ayyad asy-Syamari telah mendedahkan kekejaman, keganasan dan kemungkaran gerakan Ikhwanul Muslimin serta disingkap segala rancangan jahat dan konspirasi mereka untuk menjatuhkan pemimpin Islam. Disingkap dan didedahkan juga pergerakan dakwah di dalam Ikhwanul Muslimin terutamanya yang dipemimpin oleh Sayid Qutub, Hasan al-Banna, Umar at-Tilmisani dan yang lainnya.

Terlalu banyak buku-buku yang telah mendedahkan kemungkaran gerakan Ikhwanul Muslimin dan sikap para pemimpin mereka yang keji dan mungkar, sama ada dalam pertimbangan syara atau neraca akal yang rasional.


[1] . Lihat: al-Maurid al-‘Adab az-Zulal. Hlm228 an-Najmi.
[2] . Lihat: Fathul Bari 6/90. Ibn Hajar.
[3] . Lihat: (1). Sahih Bukhari (Syahadah 2687)
(2). Lihat: Syiar A’lam an-Nubala 159 160.
[4] . Lihat: معركة الاسلام والرأسمالية hlm. 63. Sayid Qutub.
[5] . Ibid.
[6]. Yang paling keji dan membahayakan ke atas orang-orang Islam ialah
menghidupkan pemikiran (fahaman) Khawarij iaitu takfiri (pengkafiran) dan
teori “Tauhid Hakimiyah”.
[7] . Lihat: Fikru at-Takfir Qadiman wa-Hadisan. Hlm. 98. Raja as-Suhaimi.
[8] . Lihat: Ta’liq (komentar) Syeikh al-Albani terhadap kitab (al-Awasim
Mimma fi Kutubi Syaid Qutub Minal Qawasim) tulisan Rabi’ bin Hadi.
[9] . Lihat: Syarah Kasyfus Syubuhat Fii Tauhid. Hlm. 7. Muhammad bin Soleh
al-Utaimin.
[10] . Lihat: fi Zilalul Quran 4/2328 atau 4/3804.
[11] . Perkataan ini termuat dalam keset rakaman Ibn Bazz tahun 1413
[12]. Lihat; al-Awasim Mimma fi Kutubi Sayid Qutub Minal Qawasim.
Hlm. 24. Rabi’ bin Hadi.
[13] . Buku yang berunsur pengkafiran (takfiriyah) ini telah diterjemahkan ke
dalam Bahasa Melayu dengan judul “Petunjuk Sepanjang Jalan”.
[14] . Lihat: Ma’alim fii at-Tariq. Hlm 101.
[15] . Ibid.
[16] . Lihat: Aulawiyyatul Harakah al-Islamiyah. Hlm. 110. Yusuf al-Qaradhawi.
[17] . Supaya lebih jelas, rujuklah kepada buku Sayid Qutub “at-Taswirul
Fanni’. Hlm. 163. Atau kitabnya “Kutub wa-Syaksiyat. Hlm.242.