Bantahan Terhadap Syubhat Abdulrahman Abdulkhaliq
Diawal penulisan telah penulis sentuh masalah manhaj Abdulrahman Abdulkhaliq seorang Ikhwani (pengekor Ikhwanul Muslimin) terhadap pemerintahan muslimin. Iaitu bolehnya mengadakan demonstrasi sebagai alat dakwah dengan berdalil riwayat Umar radiallahu ‘anhu yang dibawakan oleh seorang penanya di atas.
Dan Syeikh al-Albani rahimahullah mengatakan bahawa beliau belum tahu sahih atau daifnya riwayat tersebut. Syeikh Abdul Aziz bin Bazz telah membantah syubhat Abdulrahman Abdulkhaliq. Syeikh bin Baz berkata: “Engkau menyebutkan pada kitab Fushul Minas Siyasah as Syariyah hal. 31-32 bahawasanya termasuk dari uslub (metod) dakwah Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam adalah demonstrasi. Saya belum pernah mengetahui nas yang syarih dalam masalah ini. Maka saya mengharap faedah dari siapa kamu mengambil dan dari kitab mana kamu dapatkan. Jika hal itu tidak ada sanadnya, maka kamu wajib untuk rujuk (bertaubat) dari hal itu kerana saya tidak tahu sama sekali nas-nas yang menunjukkan hal itu. Dengan menggunakan demonstrasi atau tunjuk perasaan justeru mengakibatkan banyak kerosakan, maka tidak sewajarnya orang-orang yang membuat kerosakan berdalih dengan hadis yang tidak ada sanadnya dalam demonstrasi-demonstrasi mereka yang batil.” (Tanbihat wa Ta’aqibat. Hlm. 41).
Jawapan Abdulrahman Abdulkhaliq: Adapun ucapanku pada kitab al Fusul Minas Syiasah as Syariyah fi Dakwah Ilallah, maka saya katakan: Saya telah menyebutkan demonstrasi-demonstrasi yang digelar itu sebagai wasilah (perantaraan) Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dalam menampakkan dakwah Islam sebagaimana telah diriwayatkan bahawa setelah Islamnya Umar radiallahu ‘anhu kaum muslimin keluar kerana perintah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pada dua saf (barisan) dalam rangka menampakkan kekuatan. Dalam satu barisan terdapat Hamzah radiallahu ‘anhu sedang barisan yang lain ada Umar bin al-Khattab radiallahu ‘anhu berserta kaum muslimin.”
Kemudian Abdulrahman Abdulkhaliq membawakan riwayat dengan sanad-sanad yang diriwayatkan oleh Abu Nu’aim di dalam al-Hilayah dengan sanad sampai kepada Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu, Ibnu Abi Syaibah dalam as-Syabah dan di dalam tarikhnya serta al Bazar. Kemudian dia (Abdulrahman) berkata: Tetapi setelah kedatangan surat anda (Syeikh Ibnu Bazz) aku dapati bahawa jalur sanad hadis ini atas Ishaq bin Abdullah bin Abi Farwah, ianya mungkarul hadis. Demikian pernyataan Abdulrahman Abdulkhaliq (ini membuktikan bahawa Abdulrahman Abdulkhaliq mengakui tentang kemungkaran hadis demonstrasi).
Anehnya setelah itu dia mengatakan: Saya berpandangan metod ini (demonstrasi) boleh untuk dijadikan metod yang benar dalam mendorong/menganjurkan manusia dalam solat Jumaat dan berjamaah dalam rangka menampakkan banyaknya orang Islam. Demikian juga mempamerkan tentera-tentera Islam bersama dengan peralatan perang kerana hal ini dapat menaklukkan hati-hati musuh dan menakutan musuh-musuh Allah serta meninggikan syariat Islam.
Demikianlah cara para pentaqlid Ikhwanul Muslimin dan ahlul bid’ah yang lebih mempertahankan kepentingan diri, status dan jamaahnya. Setelah ditanya atau dibantah dari sisi pendalilan (dari syara) dan setelah ucapan atau perbuatannya diketahui tidak benar, bahkan palsu, mereka tidak mahu merujuk kepada dalil yang sahih dan manhaj yang benar. Bahkan dia sanggup berdalih: “Maksud saya demikian, maksud saya demikian. Boleh sahaja hadis lemah dalam hal ini, bahkan hadis palsu dijadikan iktibar”.
Maka penulis katakan: Setelah dalilnya diketahui mungkar, kerana adanya perawi yang mungkarul hadis pada sanadnya, tentu saja demonstrasi tidak boleh dijadikan sebagai hujah dan manhaj amar makruf nahi mungkar. Kerana metod dakwah adalah tauqifiyah, iaitu harus sesuai dengan manhaj Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan para sahabat radiallahu ‘anhum. Andainya kisah Umar itu sahih, maka penjelasannya adalah sebagaimana yang telah diterangkan oleh Syeikh al-Albani rahimahullah. Namun telah diketahui bahawa dalil mereka tentang berdemonstrasi itu daif (lemah) bahkan mungkar, maka tidak boleh lagi dijadikan sebagai dalil bolehnya berdemonstrasi, sekalipun niat dan tujuannya baik, sebagaimana telah diterangkan oleh Syeikh bin Bazz di atas.
Begitu juga, kita telah maklumi bahawa terjadinya pembunuhan terhadap Khalifah Uthman dan Ali radiallahu ‘anhuma ialah gara-gara fitnah yang ditimbulkan oleh puak Khawarij Azariqah. Muqaddimah fitnah yang mereka mulakan ialah dengan cara mengajak ummah berdemonstrasi yang dipertahankan malah diperjuangkan oleh Abdulrahman Abdulkhaliq dan golongan Ikhwanul Muslimin yang diwarisi dari amalan Khawarij Azariqah. Ketahuilah bahawa Khawarij dipanggil sebagai anjing-anjing neraka oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam kerana mereka ahli pencetus fitnah. Mengapa ada orang-orang yang mengaku sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah masih mempertahankan manhaj Khawarij ini antaranya dengan mempertahan dan memperjuangkan demonstrasi? Fahamilah sabda baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang menjelaskan tentang kejinya Khawarij dan sesiapa yang berfahaman Khawarij serta mensifatinya:
كِلاَبُ النَّارِ ، كِلاَبُ النَّارِ ، كِلاَبُ النَّارِ ، هَؤُلاَءِ شَرُّ قَتْلَى قُتِلُوْا تَحْتَ أَدِيْمِ السَّمَآءِ ، وَخَيْرُ قَتْلَى قُتِلُوْا تَحْتَ أَدِيْمِ السَّمَاءِ الَّذِيْنَ قَتَلَهُمْ هَؤُلاَءِ.
“(Khawarij itu) Anjing neraka, anjing neraka, anjing neraka! Mereka itu (Khawarij) seburuk-buruk orang yang dibunuh di bawah kolong langit. Dan semulia-mulia orang yang terbunuh di bawah kolong langit ini adalah orang-orang yang dibunuh oleh mereka (yang dibunuh oleh Khawarij)”.[1]
Kemungkaran Demonstrasi
Dalam penjelasan di atas, telah diterangkan sebahagian kemungkaran pada acara demonstrasi (tunjuk perasaan), maka jika diringkaskan antara kemungkaran-kemungkaran tersebut ialah:
(1). Demonstrasi adalah perbuatan tasyabbuh yang menyerupai perbuatan orang-orang kafir, sedangkan menyerupai perbuatan orang-orang kafir adalah disepakati haram hukumnya.
(2). Demonstrasi termasuklah khuruj (keluar menentang pemerintah) yang dilarang oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sebagaimana terdapat larangannya di dalam hadis riwayat Muslim dan lain-lainnya.
(3). Demonstrasi bertujuan untuk menceritakan aib pemerintah atau golongan yang dibantah di hadapan umum dalam bentuk pidato, sepanduk, kain rentang, pekikan, perarakan dan sebagainya yang semuanya itu telah dilarang oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.
(4). Ikhtilath (bercampur-baurnya) lelaki dan perempuan yang bukan muhram, bahkan berhimpit-himpitan, melaung-laungkan suara dan sering mengeluarkan kata-kata kesat.
(5). Demonstrasi tidak berasaskan undang-undang atau hukum syara, yang mana disetiap demonstrasi seringkali terdapat di dalamnya pidato caci, cela, kata-kata nista, makian, penghinaan, hasutan, fitnah dan sebagainya.
(6). Dalam demonstrasi sering terjadi perbuatan batil, mungkar dan tindakan yang radikel, seperti perbuatan para penunjuk perasaan yang mengambil kesempatan melepaskan perasaan marah, benci dan tidak puas hati sehingga kehilangan nilai-nilai akhlak yang murni, iaitu dengan melakukan berbagai kerosakan harta benda kerajaan, harta orang awam dan sering mendatangkan berbagai masalah besar secara umum.
[1] . H/R Imam Ahmad dalam Musnad 5/253. Ibnu Majah 176. at-Tirmizi. 3000.
Berkata Syeikh al-Albani: Hasan Sahih, lihat: Sahih Sunan Ibn Majah.