Monday

67 - Fatwa Para Ulama

Fatwa Para Ulama

Para ulama Salaf as-Soleh memfatwakan bahawa tauhid hakimiyah adalah sesuatu yang fahaman yang muhdas (bid’ah). Digunakan oleh golongan Khawarij untuk membentuk hizbi. Menjalankan hasutan sehingga terjadi perpecahan di kalangan umat Islam. Mengajak umat agar berdemonstrasi, membangkitkan pemberontakan dan revolusi melalui teori takfir (pengkafiran terhadap pemerintah dan orang-orang yang di luar jamaah mereka).

Akhirnya Khawarij dan yang memperalatkan slogan ini (tauhid hakimiyah) berjaya mengajak pengikutnya mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak menerima kehendak tauhid hakimiyah yang mereka perjuangkan. Antara yang menolak dan menganggap bid’ah tauhid hakimiyah ciptaan Khawarij ini ialah:

(1). Para ulama Salaf as-Soleh, mereka membantah dan menjelaskan bahawa Tauhid Hakimiyah ialah:

“Kalimah yang hak tetapi yang dikehendaki (dimaksudkan oleh mereka) adalah kebatilan”.

Tauhid hakimiyah dijadikan tauhid yang keempat oleh puak Khawarij, sedangkan pembahagian tauhid oleh para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh hanya kepada tiga bahagian, iaitu: Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Asma wa as-Sifat. Mencipta tauhid hakimiyah merupakan penyelewengan dari manhaj Ahli sunnah wal-Jamaah, kerana hakimiyah digunakan oleh penggunanya untuk mengajak umat Islam terutamanya kepada pemberontakan, revolusi dan keganasan. Ini adalah cara dan tujuan Khawarij terdahulu yang sudah usang tetapi masih diamalkan oleh Khawarij yang ada sekarang.

(2). Syeikh Soleh bin Ghanim as-Sadlan berkata tentang penafsiran kalimah tauhid kepada tauhid hakimiyah:

“Jika anda katakan bahawa (لااله الا الله) dengan makna “Tidak ada hakim selain Allah atau Tidak ada yang menentukan takdir selain Allah” maka ini adalah penafsiran yang menyimpang. Namun, jika seseorang yang mengucapkannya dan menafsirkannya dengan maksud pengikraran terhadap tauhid ibadah atau uluhiyah, yang Allah mengutus para rasul kerananya, ini adalah pengikraran yang benar”.

Dalam keadaan apa pun kita tidak boleh meyakini bahawa maksud, makna atau penafsiran kalimah (لااله الا الله) boleh dimaknakan kepada: (لا حاكم الا الله) “Tidak ada hakim selain Allah”
[1] kerana memaknakan atau menafsirkan kepada tafsiran seperti ini adalah penafsiran yang menyimpang dan bid’ah.

Hakimiyah jika dimasukkan ke dalam bab tauhid, maka ia tidak boleh dipisahkan dari tauhid uluhiyah, oleh itu ia tidak boleh menjadi tauhid yang khusus atau menyendiri sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Khawarij.

Syeikh Soleh as-Sadlan menjelaskan:

“Menjadikan tauhid Hakimiyah sebagai bahagian keempat dari pembahagian tauhid, boleh jadi dia seorang yang jahil atau pembuat bid’ah yang mengambil pendapat ahli falsafah dan orang-orang yang tidak mempunyai ilmu tentang akidah dan syariah. Atau boleh jadi dia menyalin perkatan orang lain, tetapi dia tidak mengetahui apa yang dia ambil”.



[1] . Syeikh Soleh bin Ghanim as-Sadlan, seorang pensyarah di Universiti Imam
Muhammad bin Su’ud al-Islamiyah, Arab Saudi.