Monday

51 - Ikhwanul Muslimin Yang Dijarh Akidahnya

Ikhwanul Muslimin Yang Dijarh Akidahnya

Tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin secara umum, mereka telah diprotes dan dijarh oleh ramai kibarul ulama, antaranya ulama dari Arab Saudi, Yaman, Jordan, India dan Mesir. Tetapi para ulama yang telah menjarh Ikhwaniyun (Ikhwaniyun: Bermaksud para tokoh dan pengekor Ikhwanul Muslimin) dianggap sebagai keras dan mutasyaddid oleh mereka yang fanatik kepada pertubuhan Ikhwanul Muslimin serta yang ghulu kepada tokoh-tokohnya.

Teks ucapan Mohd. Asri Zainul Abidin sempena Konvesyen Sunnah 2006, Fikrah Merentasi Jamaah (pada tajuk) Penyalahgunaan Nama Salafi. Isi ucapannya amat memalukan bagi sesiapa yang menyedari penyelewengan fakta dan cetek ilmu beliau dalam memahami definisi salafi yang diutarakan dan ketidakfahaman beliau tentang apa itu jarh wa ta’dil.

Ucapan Mohd. Asri menunjukkan kejahilannya memahami manhaj Salaf, sehingga konvensyen yang disadur dengan nama sunnah dan pertubuhan yang memakai nama Ibn Qayyim telah dijadikan medan untuk mencuba mendendahkan keaiban penulis (Rasul bin Dahri). Contohnya, pada konvensyen tersebut dipasarkan juga buku (kertas kerja) bertajuk: Membongkar Tembelang Al-Qaradhawy Terbongkar Temberang Rasul Dahari.
[1] Buku Ibnu Durroz yang tidak memenuhi piawaian dan disiplin ilmu serta ucapan Mohd. Asri yang dipenuhi dengan kecacatan ilmiyah dan pengkhianatan fakta, ianya tidak layak untuk diketengahkan dalam persidangan yang dinamakan KONVENSYEN SUNNAH dan tidak sepatutnya terbit dari pertubuhan yang menumpang nama ulama besar IBNU QAYYIM. Konvensyen yang dijadikan medan dan gelanggang untuk melepaskan emosi terhadap insan yang tidak disenangi hanya gah dengan istilah KONVENSYEN, tetapi tercemar setelah mencabuli konsep konvensyen kerana menyelitkan penghinaan temasuk penghinaan peribadi yang berselindung di sebalik nama ulama besar (Ibnu Qayyim). Akhirnya terdedahkan tembelang serta kedangkalannya Mohd. Asri sendiri dalam mengenal hakikat siapa sebenar tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan daifnya pemahaman beliau terhadap pengertian hizbi. Malah ternyata bahawa beliau masih belum memahami manahj Salaf as-Soleh.

Berikut ini ulasan penulis (Rasul bin Dahri) terhadap beberapa kesilapan yang dilakukan oleh Mohd. Asri di dalam konvensyen tersebut: Mohd. Asri menjelaskan ketika mempertahankan sejumlah tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin yang tertulis di dalam teks ucapannya:

Al-Syeikh Ibn Jibrin salah seorang tokoh salafi semasa Arab Saudi ketika ditanya hal ini menjawab: Sesungguhnya Sayyid Qutb dan Hasan al-Banna adalah dari kalangan ulama kaum Muslimin dan ahli dakwah. Sesungguhnya Allah telah memanfaatkan dengan mereka berdua dan memberi petunjuk dengan dakwah mereka ramai manusia. Bagi mereka berdua ada sumbangan yang tidak dapat dinafikan. Kerana itu, ketika keputusan hukum mati dikenakan ke atas Sayyid Qutb dibuat, al-Syeikh Abdul Aziz bin Bazz memohon diberi pengampunan kepadanya dan beliau merayu dalam permohonan itu. Namun ia tidak diterima oleh Presiden Jamal (Abdul Naser). Allah akan menghukum Jamal apa layak untuknya. Ketika mana keduanya (Sayyid Qutb dan al-Banna) dibunuh, keduanya digelar syahid, kerana mereka berdua dibunuh secara zalim. Dan syahid itu ada yang khas dan yang ‘am. Tersebar perkara ini (syahidnya mereka berdua) di dalam akhbar dan buku-buku tanpa ada orang-orang yang mengingkarinya. Kemudian para ulama menerima buku-buku mereka, dan Allah memberi manfaat kepada mereka dengan buku-buku tersebut, tiada seorang yang mencela mereka berdua semenjak lebih 20 tahun yang lalu. Jika ada pada mereka berdua kesilapan yang sedikit pada takwilan atau yang seumpama dengannya, perkara itu tidak sampai kepada tahap untuk dikafirkan mereka. Sesungguhnya para ulama yang awal juga ada kesilapan seperti itu juga, seperti al-Nawawi, al-Suyuthi, Ibn Jauzi, Ibn ‘Atiyyah, al-Khattabi, al-Qastalani dan ramai yang lain”.

Mohd. Asri ketinggalan jauh dalam hal ini, kerana pujian dan sanjungan Syeikh Ibn Jibrin terhadap Sayid Qutub dan Hasan al-Banna hanyalah tazkiyah (pembersihan nama) secara mujmal (global) dan diberikan ketika beliau masih terpengaruh dengan suara tokoh Qutubiyah, hizbiyah Ikhwaniyah, Sururiyah Khawarijiyah yang telah di tahzir dan dipenjarakan oleh Kerajaan Saudi kerana semangat Khawarij yang tersemat di benak kepalanya. Tokoh yang mempengaruhi Syeikh Ibn Jibrin ialah Dr. Safar Hawali dan Dr. Salman Audah.
[2] Tetapi setelah mendapat penjelasan dari Syeikh Ahmad bin Yahya an-Najmi dan Syeikh Muhammad al-Madkhali, maka beliau menarik semula pujian dan sanjungannya terhadap Ikhwanul Muslimin dan para tokohnya. Untuk mendapat penjelasan yang terang, Mohd. Asri dipersilakan menyemak kitab: Radd al-Jawab ‘Ala Man Talaba Minna ‘Adama Tab’ul Kitab.[3]
Mohd. Asri juga dengan merasa penuh yakin menulis di bawah tajuk Peyalahgunaan Nama Salafi teks yang berikut:

“Maka Arus Tajdid wajar membantah kelompok yang menyalahgunakan nama ‘salafi’ sedang dalam masa yang sama kerja mereka ialah mencerca secara tidak seimbang tokoh-tokoh penyumbang kepada kebangkitan tajdid: Seperti Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Al-Qaradhawi, Salman ‘Audah dan berbagai lagi. Kita tidak menganggap kemaksuman tokoh-tokoh tersebut, namun memfokus aktiviti untuk menyerang tokoh-tokoh berkenaan dengan cara yang menyimpang dari metodologi ilmiyah adalah sesuatu yang tidak dapat diterima. Cara sebegini mendekati manhaj Khawarij melebihi manhaj ahl as-Sunnah”.
[4]

Saya ingin bertanya kepada Mohd. Asri, apakah akidah Wihdatul Wujud, akidah tafwidh, akidah sufi yang sesat dan menyesatkan, akidah pengkafiran pemerintah Islam dan umat Islam, akidah menolak hadis ru’yatullah (melihat Allah di akhirat), akidah meyakini al-Quran sebagai makhluk bukan Kalamullah dan banyak lagi, yang diwariskan oleh tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin terutamanya Hasan al-Banna, Sayid Qutub, Abdul Qadir Audah, Yusuf al-Qaradhawi dan ramai lagi boleh dianggap arus atau gerakan tajdid? Atau lebih tepat dinamakan gerakan tabdi’ (pencipta bid’ah)?

Tunjukkanlah kepada kami hasil ijtihad para tokoh Ikhwanul Muslimin seperti Sayid Qutub, Hasan al-Banna, Yusuf al-Qaradhawi dan yang lainnya sehingga layak bergelar mujaddid atau membawa arus tajdid? Apakah fatwa Yusuf al-Qaradhawi menghalalkan pengeboman berani boleh dianggap sebagai ijtihad dari seorang mujaddid yang memenuhi arus tajdid atau arus tabdi’ (pencipta bid’ah)? Syeikh Soleh Fauzan al-Fauzan menegaskan:

“Bahawasanya (tokoh Ikhwanul Muslimin. Pent) dia bukanlah tergolong dalam ahli mujtahid, akan tetapi ia adalah orang jahil yang diberi keuzuran kerana kejahilannya”.
[5]

Apakah Mohd. Asri perlu memahami dengan baik dan sempurna istilah menjarh, mentazkiyah dan menyerang? Para ulama Salaf as-Soleh hanya berkewajipan menjarh atau mentazkiyah sesiapa sahaja yang kesasaran akidahnya. Apakah ulama yang menjalankan kewajipannya dengan menjarh dan mentazkiyah Ikhwanul Muslimin dan jamaahnya dianggap menyimpang dari metodologi ilmiyah? Adakah orang-orang yang mempertahankan semua kebatilan tersebut yang sebenarnya telah menyimpang jauh? Apakah seseorang yang menentang akidah Khawarij, tauhid hakimiyah dan takfir yang diperjuangkan oleh para tokoh Ikhwanul Muslimin seperti Sayid Qutub, Hasan al-Banna, al-Qaradhawi dan Salman Audah, dianggap Khawarij atau orang-orang yang membela Si Khawarij seperti Mohd. Asri dan orang-orang di dalam teamnya seperti Ibnu Durroz (Si Celupar) yang sebenarnya Khawarij?

Apakah Sayid Qutub, Hasan al-Banna, al-Qaradhawi dan ramai lagi para tokoh Ikhwanul Muslimin yang meninggalkan akidah Salafiyah malah menentangnya lebih dianggap Salafi oleh Mohd. Asri? Bagaimana Mohd Asri mengaku tahu tentang manhaj Salaf sedangkan dia mempertahankan manhaj Ikhwani, Sururi, Khawarij dan takfir? Layarilah kandungan tulisan ini dengan cermat, lapang dada dan ikhlas sehingga ke penghujungnya, insya Allah para pembaca budiman yang mencintai ilmu dan keadilan akan mengetahui hakikat yang sebenarnya. Awas! Penulis sekadar bertanya dan memberi nasihat bukan menuduh atau memfitnah.

Siapakah yang dimaksudkan oleh Mohd. Asri “Memfokus aktiviti menyerang tokoh-tokoh kebenaran”. Mungkin Mohd. Asri belum mengenal siapa dan apa sebenarnya yang boleh diistilahkan Salafi, Khawarij dan hizbi (termasuk hizbiyah) sehingga beliau keterlaluan taksubnya dan bermati-matian mempertahankan para pejuang dan manhaj Khawarij dan hizbi tanpa disedari beliau telah mempertahankan Ikhwanul Muslimin/Muflisin. Tidak mungkin keadilan dan kebenaran manhaj Salaf as-Soleh disamakan atau disatukan dengan manhaj Qaradhawi yang Ikhwani, hizbi dan Khawarijiyah ‘Asriyah yang batil, kerana Allah ‘Azza wa-Jalla berfirman:

وَلاَ تَلْبِسُوْا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوْا الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ.

“Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedangkan kamu mengetahui”.
[6]


[1] . Penulisnya Ibnu Durroz.
[2] . Kedua-dua tokoh Ikhwanul Muslimin ini pernah menduduki satu fakulti
dengan penulis di Universiti Ummul Qura, bidang Dakwah & Usuluddin.
[3] . Buku ini ditulis oleh Syeikh Ahmad bin Yahya an-Najmi.
[4] . Lihat: Kertas Kerja Gerakan Tajdid Cabaran & Harapan”. Hlm. 6. Institut al-
Qayyim.
[5] . Lihat: Baraatul Ulama Ummah. Hlm. 30.
[6] . al-Baqarah. 2:42.