Monday

04- Manhaj Yang Batil Dan Mungkar


Manhaj Yang Batil Dan Mungkar

Terdapat berbagai-bagai bentuk penyimpangan manhaj dan akidah yang telah disemai dan disuburkan di dalam manhaj Ikhwanul Muslimin.
[1] Antaranya ialah apa yang terdapat di dalam laungan propaganda yang sering digembar-gemburkan oleh para tokoh dan pengikut-pengikut mereka juga pengekor yang ada di Malaysia iaitu slogan:

نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه.

“Kita saling tolong-menolong dalam perkara yang kita sepakati, dan saling memaafkan (bertolak ansur/mutual respect) terhadap perkara yang kita berselisih padanya”.
[2]

Inilah antara slogan Ikhwanul Muslimin yang paling mungkar dan batil, kerana slogan ini mencampur-adukkan antara yang hak dengan yang batil. Kebanyakan penggunanya tidak mampu membezakan yang mana ibadah yang boleh diberi ruang ikhtilaf dan yang mana persoalan akidah yang sama sekali tidak ada tolak ansur dan tidak ada ruang ikhtilaf padanya. Menurut Ibn Bazz rahimahullah ketika mengkritik slogan ini:

“Ya benar, wajib saling tolong menolong dalam perkara kebenaran yang disepakati, menyeru kepada kebenaran dan memperingatkan ummah dari segala yang ditegah oleh Allah dan Rasulnya. Adapun bertolong-tolongan dalam perkara yang diperselisihkan maka tidak dibenarkan secara mutlak malah perlu diteliti iaitu jika perkara tersebut dalam persoalan ijtihadiyah yang tidak ada dalilnya secara jelas maka tidak boleh antara kita saling mengingkarinya. Tetapi apabila perkara tersebut jelas bertentangan dengan nas al-Quran dan as-Sunnah (akidah), maka wajib ditentang dengan hikmah, nasihat dan berbincang dengan baik”.
[3]

Syeikh Abdullah Muhsin al-Abbad membidas slogan ini:

“Sudah sewajarnya bagi para pengikut (Hasan al-Banna) meninggalkan slogan ini yang berjuang agar bertoleransi terhadap kelompok-kelompok sesat, malah yang paling sesat seperti Syiah Rafidhah. Hendaklah memberi penumpuan untuk menerapkan kaedah “Cinta kerana Allah dan membenci kerana Allah. Atau wala’ kerana Allah dan bara’ kerana Allah” yang tidak ada ruang bertoleransi bagi orang-orang yang menyeleweng lagi sesat dalam perkara yang menyalahi Ahli Sunnah wal-Jamaah”.
[4]

Sememangnya tidak boleh bertolong-tolongan, bertoleransi dan berkompromi jika yang diperselisihkan termasuk perkara yang menyangkut persoalan akidah yang membawa kepada kesyirikan. Persoalan akidah adalah tauqifiyah dan qat’iyah yang tertutup pintu ijtihad dan tidak ada ruang perselisihan padanya, maka bagaimana mungkin akan saling memberi toleransi atau kemaafan dalam persoalan akidah atau tauhid? Sedangkan syirik adalah dosa besar yang tidak akan diampunkan pelakunya kecuali bertaubat sebelum menempuh kematian. Maka tidak ada tolak-ansur, tolong-menolong, kompromi atau toleransi dalam persoalan akidah, kerana sama sekali tidak diberi ruang untuk berselisih di dalam perkara tersebut yang menjadi asas dalam agama. Berbeza dengan persoalan fiqhiyah kerana ia persoalan ijtihadiyah, furu’iyah dan sering membawa kepada ikhtilaf, maka berselisih dalam persoalan fiqhiyah diberi keuzuran kerana berijtihad dalam persoalan fiqh pintunya masih terbuka luas iaitu melalui keumuman hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

إِذَا اجْتَهَدَ الْحَاكِمُ فَأَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ ، وَإِنِ اجْتَهَدَ فَاَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ وَاحَدٌ.

“Apabila seorang hakim berijtihad jika benar dalam ijtihadnya, maka dia mendapat dua kebaikan dan apabila berijtihad jika salah dalam ijtihadnya maka dia mendapat satu kebaikan”.
[5]

Mungkin Hasan al-Banna terkeliru dalam membezakan antara manhaj Salafiyah dengan manhaj Khalafiyah. Sehingga beliau mengkagumi legenda sufiyah kuburiyah yang fasik serta manhaj-manhaj bid’ah yang lainnya, akhirnya dia memilih manhaj sufiyah sebagai manhaj yang dijadikan landasan perjuangannya yang sehingga kini belum ditemui bukti bahawa dia pernah bertaubat darinya. Sebaliknya beliau telah membuat pengakuan:

إن دعوة الاخوان دعوة سلفية طريقة سنية وحقيقة صوفية وهيئة سياسية.
“Sesungguhnya dakwah Ikhwanul Muslimin adalah dakwah Salafiyah, mengikut sunnah (tetapi) hakikatnya sufiyah dengan berdasarkan gaya politik”.
[6]

Apabila beliau menegaskan “hakikatnya sufiyah dengan berdasarkan gaya politik”, bukankah kenyataan ini benar-benar membuktikan bahawa Hasan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin memperjuangkan tariqat kesufian, kerana ia diserapkan keseluruhan gerakan dan perjuangannya serta diwarisi oleh para tokoh dan penggantinya.

Adapun kecelaruan manhaj Ikhwanul Muslimin yang paling utama (yang jelas mungkarnya) secara ringkas ialah:

1- Mempermudah (tidak mengutamakan) tauhid ibadah (atau tauhid uluhiyah) kerana lebih mengutamakan tariqat sufiyah, sedangkan tauhid ibadah (tauhid uluhiyah) adalah yang paling penting dalam Islam. Tidak sah Islam seseorang kecuali setelah mengetahuinya dengan sempurna sebagaimana firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ.

“Maka hendaklah kamu ketahui tiada tuhan yang berhak diibadahi melainkan Allah”.
[7]

Firman Allah ‘Azza wa-Jalla di atas ini telah mewajibkan setiap muslim agar mengetahui dan memahami tauhid uluhiyah kerana semua para nabi dan para rasul diutus demi untuk menyerukan tauhid tersebut.

Hasan al-Banna menjelaskan tentang uslub dakwahnya yang tergambar bahawa beliau tidak mementingkan akidah, tetapi ekonomi dan politik, sedangkan dakwah para nabi, para rasul dan para aimah Salaf as-Soleh mendahulukan dakwah akidah:

موقفنا من الدعوات فى هذه البلد دينية واجتماعية واقتصادية وسياسية.

“Pendirian kami dalam membentuk dakwah )Ikhwanul Muslimin( di negeri ini (Mesir), adalah dakwah diniyah (berdakwah) kepada persatuan, ekonomi dan politik”.
[8]

Persoalannya bagaimanakah Hasan al-Banna mampu membangun struktur persatuan yang kukuh, ekonomi dan politik yang stabil sedangkan umat yang diseru untuk membangun masih dibiarkan dilanda berbagai-bagai bala penyakit syirik? Walhal kesyirikanlah penyebab utama berleluasanya bid’ah, khurafat, tahaiyul dan berbagai-bagai kemungkaran yang fatal sedangkan jalan penyelesaiannya adalah akidah atau tauhid ibadah (tauhid uluhiyah).

2- Diamnya mereka dan persetujuan mereka terhadap syirik besar seperti berdoa (menyeru) selain Allah, bertawaf di kuburan, bernazar untuk orang mati, menyembelih atas nama arwah orang mati dan sebagainya.

3- Sesungguhnya manhaj (Ikhwanul Muslimin) dan pengasasnya (Hasan al-Banna) seorang penganut tariqat kesufian, mempunyai hubungan yang erat dengan fahaman sufiyah, beliau membaiah Abdul Wahhab al-Hasafi mengikut tariqatnya al-Hasafiyah as-Syazaliyah.

Beliau juga menyampaikan kuliahnya disalah satu markas kesyirikan yang terbesar di Mesir iaitu di kubur Syaidah Zainab.
[9] Dalam ceramahnya Hasan al-Banna tidak menegur perbuatan mungkar warisan jahiliyah dan syirik besar yang berlaku di kuburan Syaidah Zainab, seperti membina bangunan di atas kuburan, bertawaf mengelilingi kubur, istighasah, menyembelih, bernazar, berzikir, berdoa kepada kubur dan sebagainya.

4- Mereka beribadah dengan bid’ah-bid’ah yang nyata yang mana pengasas manhaj ini (Hasan al-Banna) berikrar dan menanamkan keyakinan bahawa Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan para sahabat radiallahu ‘anhum menghadiri majlis mereka. Baginda datang untuk mengampunkan dosa-dosa mereka yang lalu dan yang akan datang seperti yang terdapat dalam syair Hasan al-Banna:

Ilah (Tuhan) berselawat kepada Nur yang datang untuk alam semesta # yang mengatasi matahari dan rembulan # Kekasih ini (Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam) datang berserta para sahabat # Mengampunkan dosa yang lalu dan yang mendatang #
[10]
Umar at-Tilmisani terus mempertahankan kemungkaran ini dan beliau menjelaskan:

“Ada orang yang berkata: Sesungguhnya Rasulullah hanya mengampunkan dosa mereka semasa mendatangi baginda diketika hidupnya sahaja, saya tidak tahu mengapa mereka membatasi ayat ini dengan doa permohonan pengampunan dosa dari Nabi ketika baginda masih hidup sahaja, pada hal tidak ada yang membuktikan pembatasan dalam ayat tersebut”.
[11]

Keyakinan kuburiyah Tilmisani seperti di atas ini bertentangan dengan akidah para ulama Salaf as-Soleh. Beliau seterusnya melahirkan pendirian dan mempertahankan keyakinannya:

“Saya lebih cenderung mengambil pendapat pihak yang meyakini bahawa Rasulullah boleh mengampunkan dosa, sama ada semasa baginda hidup atau setelah wafat bagi sesiapa yang mendatangi kubur baginda”.
[12]

Tilmisani terus meluahkan rasa keyakinannya yang mengandungi kesesatan dengan menekankan:

“Maka tidak sepatutnya bersikap ekstrem semasa mengingkari mereka-mereka yang berkeyakinan tentang kebenaran keramat-keramat para wali serta meminta perlindungan kepada kubur-kubur mereka yang suci atau berdoa di atas kubur-kubur tersebut ketika ditimpa kesusahan. Keramat-keramat para wali itu sebagai salah satu bentuk bukti mukjizat para rasul utusan Allah”.
[13]

Inilah perbuatan beristighasah (berdoa atau menyeru memohon pertolongan kepada kuburan untuk diperkenankan doanya), beristi’azah (berdoa atau menyeru memohon perlindungan) dan beristi’anah (berdoa, menyeru dan meminta pertolongan) kepada kuburan yang dilakukan oleh Tilmisani tokoh Ikhwanul Muslimin. Perbuatan atau keyakinan Tilmisani menyeru dan berdoa kepada orang mati amat bertentangan dengan keyakinan serta akidah para Salaf as-Soleh yang mengharamkan perbuatan tersebut kerana inilah salah satu kesyirikan (syirik akbar) atau syirik besar yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah. Pengharaman ulama Salaf kerana berpegang dengan beberapa ayat:

فَاسْتَغْفِرُوْا لِذُنُوْبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ اللهُ

“Kemudian mereka meminta keampunan atas dosa-dosa mereka, maka siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah”.
[14]

وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُوْنِيْ أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِيْنَ يَسْتَكْبِرُوْنَ عَنْ عِبَادَتِيْ سَيَدْخُلُوْنَ جَهَنَّمَ دَاخِرِيْنَ.

“Dan Allah berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari mengibadahiKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadan hina”.
[15]
فَلاَ تَدْعُوْا مَعَ اللهِ أَحَدًا

“Maka janganlah kamu seru di samping menyeru Allah dengan seseorang yang lain”.
[16]

وَمَنْ يَدْعُ مَعَ اللهِ إِلَهًا آخَرَ لاَ بُرْهَانَ لَهُ بِهِ فَإِنَّمَا حِسَابُهُ عِنْدَ رَبِّهِ إِنَّهُ لاَ يُفْلِحُ الْكَافِرُوْنَ.

“Dan barangsiapa menyeru Tuhan lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang kafir itu tiada beruntung”.
[17]

وَاسْتَغْفِرِ اللهَ إِنَّ اللهَ كَانَ غَفُوْرًا رَحِيْمًا.

“Dan mintalah ampun kepada Allah sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
[18]

Ayat-ayat di atas ini memerintahkan orang-orang beriman agar meminta (berdoa) hanya kepada Allah ‘Azza wa-Jalla. Adapun meminta-minta kepada kubur adalah keyakinan kuburi yang menyerupai iktikad Nasara (sebagaimana yang telah disentuh sebelum ini) yang mempercayai bahawa ketua-ketua agama mereka sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia boleh mengampunkan dosa orang-orang bawahannya.

Beramal dan berakidah yang menyerupai akidah atau amalan kaum-kaum jahiliyah seperti menyeru dan bertawassul kepada ahli kubur telah diharamkan oleh syara. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dari kaum tersebut”.

5- Memulakan dakwahnya ke arah mengwujudkan Khalifah. Ini adalah suatu cara dakwah yang bid’ah kerana sesungguhnya para rasul dan pengikut mereka tidak diberatkan kecuali memula dan mengutamakan kepada tauhid (akidah) terlebih dahulu sebagaimana firman Allah ‘Azza wa-Jalla:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِى كُلِّ أُمَّةٍ رَسُوْلاً أَنِ عْبُدُوْا اللهَ وَاجْتَنِبُوْا الطَّاغُوْتَ

“Telah kami utus pada setiap umat seorang rasul, agar mereka menyembah Allah dan menjauhi taghut”.
[19]

Para utusan Rasulullah yang dihantar keluar seperti ke Yaman, semua mereka diamanahkan supaya terlebih dahulu menyeru kepada tauhid (akidah) dan tidak diberatkan supaya menyeru kepada pembentukan daulah.

6- Tidak ada wala’ dan tidak ada bara’ pada mereka atau mereka meremehkannya. Semuanya itu amat jelas kerana mereka berusaha melakukan pendekatan (penyatuan) antara Sunnah dan Syiah.
[20] Menurut keyakinan Hasan al-Banna:

“Syiah sama seperti empat mazhab yang ada”.
[21]

Hasan al-Banna telah berwala’ dan berterus terang kepada para pemuka dan pengikut Syiah:

“Kami sampaikan kepada yang mulia Sayid Muhammad Uthman segala apa yang terpendam di lubuk hati Ikhwanul Muslimin berupa rasa cinta, kasih dan sentiasa memuliakan (Syiah)”.

Cubalah anda fikirkan, makian dan celaan Syiah terhadap Abu Bakr, Umar, Uthman radiallahu ‘anhum dan seluruh sahabat serta menuduh ‘Aisyah sebagai penzina (pelacur) lalu Syiah dimuliakan, dicintai dan dikasihi oleh Hasan al-Banna dan para pengikut Ikhwanul Muslimin? Perbuatan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh para Salaful Ummah kerana ia bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang telah mengkafirkan Syiah. Syiah dikafirkan kerana mereka telah mengkafirkan dan melaknat para Khalifah, para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan juga mengkafirkan seluruh Ahli Sunnah wal-Jamaah.

7- Kebencian mereka terhadap ahli tauhid dan mereka yang mengikut manhaj salafiyah sangat keterlaluan. Contohnya:

“Abu Ahmad dan Abu Bilal dipecat dari keanggotaan Ikhwanul Muslimin gara-gara mengikuti kuliah dan mengundang Syeikh Nasruddin al-Albani”. Perkara ini telah dijelaskan oleh Salim bin Ied al-Hilali.
[22]

8- Kesepaduan para pengikut mereka mematuhi kebodohan para pemimpin dan ketua-ketua mereka sama ada benar, batil atau bohong. Kemudian menyebarkannya dan menanamkan di kalangan para pemuda yang sudah diperangkap oleh kebodohan tersebut perasaan yang dipenuhi dengan kebencian, tidak percaya dan dengki terhadap orang di luar kelompoknya. Perkara ini diakui oleh Tilmisani dan beliau menjelaskan di dalam bukunya “Zikriyat La Muzakkarat”:

“Seseorang di hadapan Hasan al-Banna semestinya seperti mayat di hadapan orang yang memandikannya”.

Ini adalah termasuk syiar sufiyah yang menegaskan (Mendengar dengan pendengaran Hasan al-Banna dan melihat dengan penglihatan Hasan al-Banna). Yang bererti:

“Mesti taat dan tidak boleh menderhaka”.
[23]

9- Hizib (kepartian ala khawarij gaya baru) membenci (serta mentakfir) parti yang tidak bersatu dengan mereka. Mereka berwala’ hanya kepada parti mereka, tidak ada konsensus malah terus bermusuh dengan parti-parti yang lain kerana mereka berkeyakinan hidup dalam negeri kafir, pemerintah dianggap bukan parti mereka dan wajib diperangi. Dengan keyakinan tersebut mereka mengkafirkan negeri yang menjadi tanah airnya walaupun pemimpin mereka seorang muslim dan majoriti rakyatnya adalah orang-orang Islam.

Orang yang mencetuskan pengkafiran daulah dan pemimpin Islam jika tidak bersatu dengan partinya adalah Hasan al-Banna kemudian diikuti oleh Syaid Qutub dan para tokoh Ikhwanul yang lainnya.
[24]

10- Berbaiah (sumpah taat setia diiringi dengan menjunjung al-Quran secara sufiyah dan ketenteraan yang mewajibkan seseorang berjihad atau merealisasikan sesuatu yang berkaitan dengannya) mengikut manhaj Ikhwani melalui sepuluh syarat yang telah ditetapkan oleh pengasasnya (al-Banna).
[25] Sentiasa bersedia apabila pemimpin memberikan arahan untuk membuat huru-hara (rusuhan) atau melakukan pembunuhan (keganasan) maka semuanya itu wajib dilaksanakan.[26] Adapun isi kandungan teks baiah Ikhwanul Muslimin ialah:

“Aku berjanji kepada Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung untuk sentiasa berpegang teguh dengan dakwah Ikhwanul Muslimin dan berjihad di jalannya, mematuhi syarat-syarat keahliannya dan mempercayai sepenuhnya kepada kepimpinannya. Sentiasa patuh dan taat dalam keadaan suka atau benci. Aku bersumpah atas nama Allah Yang Maha Agung atas semuanya ini dan aku berbaiah atasnya. Dan Allah menjadi saksi atas apa yang aku katakan”.
[27]

Menurut para aimmah (ulama) Ahli Sunnah wal-Jamaah, ungkapan dalam baiah: “Sentiasa patuh dan taat dalam keadaan suka atau benci” hanyalah untuk Amirul Mukminin atau Khalafatul ‘Uzma bukan untuk ketua pertubuhan seperti Ikhwanul Muslimin atau ketua organisasi yang dibentuk oleh anggotanya. Ungkapan ini telah dicabuli dan disalah-guna oleh ketua-ketua Ikhwanul Muslimin untuk kepentingan mereka.

11- Taksub atau fanatik membabi-buta terhadap pemimpin sehingga disetarakan dengan para imam mujtahid. Malah para pemimpin Ikhwanul Muslimin menutup telinga, minda dan hati pengikutnya dari bersikap terbuka, membuka mata dan berlapang dada. Di Malaysia ada segolongan yang begitu ghulu atau taksub dengan tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin. Dan antara tokoh Ikhwanul Muslimin yang menjadi mangsa doktrin pemikiran Hasan al-Banna sehingga keterlaluan taksubnya ialah seorang sufi yang ekstrem, Sa’id Hawa. Beliau menegaskan:

وَنَعْتَقِدُ أَنَّهُ لاَ جَمَاعَةٌ كَامِلَةٌ لِلْمُسْلِمِيْنَ إِلاَّ بِفِكْرِ اْلأُسْتَاذُ الْبَنَّا ، وَإِلاَّ بِنَظَرِيَاتِهِ.

“Dan kami mempercayai bahawasanya tidak ada jamaah yang sempurna bagi kaum muslimin kecuali dengan fikrah (pandangan/pemikiran) al-Ustaz Hasan al-Banna atau dengan pandangan-pandangan beliau”.
[28]

Jamaah yang sempurna adalah jamaah yang meniti di atas manhaj Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang juga menjadi manhaj para sahabat serta sesiapa yang berittiba’ kepada jalan (manhaj) mereka, bukan jalan-jalan yang berada di sebelah kanan atau di sebelah kiri seperti yang telah Rasulullah gariskan. Berwaspadalah agar kita tidak melencong ke garisan kiri atau kanan kerana selain garisan tengah maka disetiap garisan yang ke kiri atau kanan itu ada syaitan yang menyeru kepadanya, sebagaimana sabda baginda:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مُسْعُوْدٍ قَالَ : خَطَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا خَطًّا ثُمَّ قَالَ : هَذَا سَلِيْلُ اللهِ ، وَخَطَّ خُطُوْطًا عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ : هَذِهِ سُبُلٌ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُوْ إِلَيْهِ ثُمَّ تَلاَ : وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِّعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ.

“Dari Abdullah bin Masoud berkata: Telah menggariskan kepada kami suatu garisan lalu bersabda: Inilah jalan Allah. Kemudian menggariskan beberapa jalan di sebelah kanannya dan beberapa garis di sebelah kirinya, lalu baginda bersabda: Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ada syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut. Kemudian baginda membacakan ayat (al-Quran yang mana Allah berfirman): Sesungguhnya inilah jalan Ku yang lurus, maka ikutilah jalan tersebut, janganlah kamu ikuti jalan-jalan (yang ke kanan atau ke kiri) kerana jalan-jalan tersebut mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Yang demikian itulah kamu diperintahkan oleh Allah agar kamu bertakwa”.
[29]

Fahamilah garisan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang telah menjelaskan kepada kita bahawa semua jamaah yang mengikut garisan yang banyak, ke kanan atau ke kiri akan ke neraka, hanya satu yang ke syurga iaitu yang mengikuti al-Jamaah di garisan tengah.

Baginda memperkenalkan kepada kita siapa al-Jamaah atau hizbi yang sebenar agar tidak diperangkap oleh seruan syaitan kerana akan berlaku perpecahan pada umat baginda sehingga terdapat berbagai jamaah selepas kewafatan baginda. Sabda baginda:

وَالَّذِيْ نَفْسِ مُحُمَّدٍ بِيَدِه ، لَتَفْتَرِكَنَّ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَاحِدَةٌ فِى الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِى النَّارِ قِيْلَ مَنْ هُمْ قَالَ : الْجَمَاعَة

“Demi diri Muhammad yang berada di tanganNya, pasti akan berpecah umatku kepada 73 firqah, hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka. Baginda ditanya: Siapa mereka? Baginda bersabda: Mereka adalah al-Jamaah”.
[30]
Penampilan dan sifat al-Jamaah yang Rasulullah jelaskan ialah:

مَا أَنَا عَلَيْهِ الْيَوْم وَأَصْحَابِيْ

“(Iaitu orang-orang yang seperti) apa yang aku di atasnya pada hari ini dan para sahabatku”.
[31]

Maka al-Jamaah ialah sesiapa yang akidahnya, ibadahnya dan akhlaknya menepati sebagaimana manhaj (jalan) yang baginda telah tetapkan. Setelah kita memahami hadis sahih di atas, pastikan bahawa kita tidak lagi menerima jamaahnya Ikhwanul Muslimin sebagai al-Jamaah, kerana ditakuti manhaj akidah mereka yang bermanhajkan akidah Asy’ariyah al-Maturidiyah, ibadahnya pula dipenuhi dengan berbagai-bagai bid’ah dan akhlaknya adalah sufiyah kuburiyah menyalahi manhaj Rasulullah dan para sahabat, kerana Ikhwanul Muslimin telah mereka-reka jamaah sendiri yang prinsipnya terkeluar dari garisan tengah (yang digariskan oleh Rasulullah). Mereka tersasar ke garisan-garisan yang ke kiri atau ke kanan yang telah Rasulullah gariskan di mana setiap jalan tersebut ada syaitan menyeru kepadanya.

Oleh kerana itu tidak ada jalan lain setelah keluar dari jalan (manhaj) yang telah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tetapkan kepada kita kecuali jalan (manhaj) yang di atasnya ada penyeru-penyeru dari kalangan syaitan jenis manusia atau jin.

Persoalannya, bagaimana mereka lebih menjamin kesempurnaan jamaah Ikhwanul Muslimin sehingga menafikan kesempurnaan jamaah selain Ikhwanul Muslimin? Apakah ada jamaah yang lebih sempurna dari jamaahnya Rasulullah dan para sahabat? Sedangkan sesiapa yang keluar dari garisan al-Jamaah yang digariskan oleh Rasulullah samalah seperti menyahut seruan syaitan yang mengajak ke neraka.

Apakah jamaah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan para sahabat radiallahu ‘anhum yang lahir sebelum lahirnya Ikhwanul Muslimin yang tidak mengenal Hasan al-Banna juga dianggap tidak sempurna oleh Sa’id Hawa? Ini adalah ucapan dan keyakinan yang ghulu yang menyalahi firman Allah:

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لاَ تَغْلُوْا فِى دِيْنِكُمْ.

“Hai Ahli Kitab, janganlah kamu ghulu (melampaui batas) dalam agama kamu!”.
[32]

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam memerintahkan agar kita semua mengikut hanya satu jalan (garisan jamaah) yang lurus, bagaimana Sa’id Hawa boleh menjamin ada jalan (jamaah) lain yang lebih selamat dari jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam?

Berkata Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad hafizahullah ketika mengkritik Hasan al-Banna dan berkata:

لامجال أن يعذر أهل الزيغ والضلال فيما خالفوا أهل السنة والجماعة.

“Tidak ada ruang untuk memberi keuzuran kepada ahli yang menyeleweng dan sesat tentang apa yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah”.
[33]

Berkata Syeikh Soleh bin Abdul Aziz Ali as-Syeikh Menteri Hal Ehwal Agama kerajaan Arab Saudi:

“Para pemimpin Ikhwanul Muslimin mereka menutup rapat akal para pengikut mereka dari menerima kata-kata yang berlainan dengan manhaj mereka”.
[34]

Di Malaysia terdapat beberapa jamaah dan individu secara emosi dan agresif telah membanggakan, ghulu malah fanatik keterlaluan kepada para pemikir Ikhwanul Muslimin yang diulamakan terutamanya Sayid Qutub dan Yusuf al-Qaradhawi. Mereka menjadi pengekor yang radikal.

Mereka telah membodohkan diri mereka sendiri dengan mensetarakan segala fatwa dua insan ini dengan para imam mujtahid. Dinobatkan sebagai penyumbang kepada kebangkitan tajdid, dianggap sebagai mujaddid dan hampir dimaksumkan sehingga segala pendapat dan tulisan kedua-dua insan ini tidak boleh disentuh atau dikritik.

Diharapkan para pengekor dan para pentaqlid buta kepada Sayid Qutub dan Yusuf al-Qaradhawi dapat mensiumankan akalnya dan menjernihkan akidahnya, tidak lagi menjadikan dua manusia yang kabur manhajnya ini sebagai idola atau idiom semasa di forum-forum awam, berseminar, berkuliah, berwacana, berkhutbah atau penulisan buku, makalah, rencana atau artikel, kerana ditakuti umat turut terpalit dengan bala dan penyakit berjangkit yang dijangkiti dari Ikhwanul Muslimin ini.

Persoalannya, apakah kita boleh menaruh harapan akan kejayaan dakwah Islamiyah dan kebangkitan Islam dari para tokoh Ikhwanul Muslimin yang tidak tahu mengutamakan akidah, tidak mengenal manhaj sahihah, tidak tahu membezakan antara tauhid dengan kesyirikan dan tidak pernah menegakkan bendera tauhid dalam perjuangannya, sebaliknya berdakwah di atas manhaj Khawarij, Muktazilah, Asy’ariyah, Sufiyah dan Murjiah. Perjuangan mereka pula lebih mengutamakan siyasah, daulah, sosial dan ekonomi.



[1]. Lihat: at-Tarikh as-Sirri Lijama’atil Ikhwan al-Muslimin Hiyal Fitnah
Fa’rifuha.Hlm. 76 Abu Ibrahim Bin Sultan al-Adnani.
[2]. Ibid. Lihat: Dakwahtul Ikhwanul Muslimin Fii Mizanil Islam hlm. 206.
[3] . Lihat: Majmu’ Fatawa Ibn Bazz 3/58-59.
[4] . Lihat: Zajrul Mutahawin. Hlm. 8.
[5] . H/R Bukhari 6919 dan Muslim 1718.
[6] . Lihat: Majmu’ah ar-Rasail al-Imam al-Banna, hlm. 122. Lihat: Nadarat fil
Manhaj Ikhwanul Muslimin hlm. 27.
[7] . Surah Muhammad.
[8]. Lihat: Muzzakirat ad-Dakwah wa-Daiyah, hlm. 307.
[9] . Lihat: al-Maurid al-Azb az-Zilal Fima Inqad ‘Ala Ba’di al-Manahij ad-
Daiyah Minal ‘Aqaid wal ‘Amal, bab 10. Dan lihat: Qafilah al-Ikhwanul
Muslimin. Oleh Abbas as-Sisi.
[10] . Lihat: Dakwah al-Ikhwan fi Mizanil Islam, hlm. 63-63.
[11] . Lihat: Syahidul Mihrab Umar bin al-Khattab, hlm. 225-226 Umar at
Tilmisani.
[12] . Ibid. Hlm. 226.
[13] . Ibid.
[14] . Ali Imran. 153.
[15] . Ghafir. 60.
[16] . al-Jin. 18.
[17] . al-Mukminun. 23:117.
[18] . an Nisaa’. 106.
[19] . an-Nahl, 36.
[20] . Lihat: Zikriyat La Muzakkirat, Umar at Tilmisani.
[21] . Ibid.
[22] . Lihat: الجماعة الاسلامية فى ضوء الكتاب والسنة بفهم سلف الأمة Surat pemecatan ahli
ditanda tangani oleh Dzeib Anis.
[23] . Lihat: Turkh Hasan al-Banna wa Ahammul Warisin. Prinsip kedua.
[24] . Lihat: Turkh Hasan al-Banna wa Ahammul Warisin. Prinsip Kedua.
[25] . Dinukil dari kitab: فكرةالتكفير قديما وحديثا hlm. 96-97, Abdussallam bin
Salim bin Raja as-Suhaimi.
[26] . Lihat: Turkh Hasan al-Banna wa Ahammul Warisin. Prinsip Kedua (Bai’at).
[27]. Lihat: Qanun Nizam Asasi li Haiah Ikhwanul Muslimin wa-Syu’abiha hlm. 7.
[28]. Lihat: Jaulah al-Fiqhiyin al-Akbar as-Saghir hlm. 79 Sa’id Hawa.
[29] . al-An’am. 6:153.
[30]. H/R Ibn Majah 2/1322. Disahihkan oleh al-Haitami dalam “az- Zawaid. Disahihkan juga oleh al-Iraqi dalam kitab “Talkhis al-Ihya”.
[31]. Lihat: Tuhfatul Ahwazi 7/399-340.
[32] . an-Nisaa’. 4:171.
[33] . Lihat: Fikru at-Takfir Qadiman wa-Hadisan 153, Raja as-Suhaimi.
[34] . Ibid. Hlm. 281.