Monday

25 - Bahayanya Perpecahan (Firqah) Dan Akibatnya

Bahayanya Perpecahan (Firqah) Dan Akibatnya

Perpecahan merupakan bala besar jika ia telah menimpa kepada sesuatu ummah. Berbagai-bagai kerosakan, kehancuran dan fitnah berpunca dari perpecahan ummah. Adapun ketua yang merupakan dalang dan penyeru serta para pengikut golongan yang berpecah, terutamanya yang berpecah (keluar) dari pemimpin Islam dan mengabaikan nasihat ulama, maka nasib mereka telah dikhabarkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, bahawa mereka akan dihumbankan ke dalam neraka. Kerana terdapat perintah dari syara agar umat Islam sentiasa bersatu dan diharamkan dari berpecah-belah. Oleh itu setiap punca yang boleh menyebabkan perpecahan dan menimpakan kerosakan perlu dijelaskan agar ummah berusaha membenterasnya.

Antara punca penyebab perpecahan ialah: Tidak mentaati Allah, mengingkari sunnah Rasulullah, mengabaikan nasihat para ulama Salaf as-Soleh, enggan patuh kepada umara (pemimpin Islam) serta meninggalkan metodologi Ahli Sunnah wal-Jamaah (manhaj Salaf as-Soleh atau manhaj sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-tabi’in), sama ada dalam berakidah, beramal, berakhlak, bersiyasah dan berdakwah. Baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah memerintahkan dengan sabdanya:

عَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِيْدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِيْ.

"Hendaklah kamu kembali (ittiba'/berpegang) kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa’ ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku".
[1]

Metodologi dan pemahaman kesemua Khalifah ar-Rasyidin dan para sahabat di sekeliling mereka sahaja yang paling benar terhadap agama ini kerana selain jaminan dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, maka mereka (para sahabat dan para Khulafa) adalah golongan yang sentiasa berpegang teguh dan menggigit sunnah Rasulullah. Mereka sentiasa berada di atas manhaj al-Kitab dan as-Sunnah serta berjamaah di bawah naungannya, sehingga umat yang terkemudian diwajibkan mengikut manhaj mereka yang dinamakan sebagai manhaj Salaf as-Soleh atau manhaj Rasulullah. Sesiapa yang menentang manhaj ini samalah seperti menentang Rasulullah. Awas bagi mereka yang menentang Rasulullah kerana Allah telah mengancam dengan firmanNya!

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُوْلَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ الْمُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَآءَ تْ مَصِيْرًا.

“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikut jalan yang bukan jalannya orang-orang yang beriman, Kami biarkan dia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan dia ke dalam jahanam dan jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali”.
[2]
Pengeboman berani mati adalah perbuatan yang bukan sahaja tidak mengikut manhaj Salaf as-Soleh tetapi ia juga dianggap sebagai perbuatan yang menentang Rasulullah dan jalannya orang-orang yang beriman.

Keburukan, malapetaka dan kerosakan pasti berlaku apabila berpecah (meninggalkan al-Jamaah yang dipimpin oleh pemimpin atau penguasa yang beragama Islam). Namun semuanya itu boleh dielakkan jika masyarakat Islam memahami penjelasan as-Syatibi rahimahullah:

انَّ الْجَمَاعَةَ ، جَمَاعَةُ الْمُسْلِمِيْنَ ، إِذَا جْتَمَعُوْا عَلَى أَمِيْرٍ ، فَأَمَرَ عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ ، بِلُزُوْمِهِ ، وَنَهَىعَنْ فِرَاقِ اْلأُمَّة.

“Sesungguhnya al-Jamaah, adalah jamaah umat Islam apabila bersatu di bawah naungan seorang pemimpin. Maka telah diperintahkan oleh (Rasulullah) as-salatu was salam agar komitmen dengannya dan ditegah dari berpecah dari umat (al-Jamaah)”.
[3]

Terbentuknya umat (al-Jamaah) yang teramai (السواد الاعظم) dari kalangan umat Islam
[4] ialah apabila mereka bersatu di bawah satu pemimpin yang sentiasa berdampingan dan bekerjasama dengan para ulama. Kerana mafhumnya, antara pengertian al-Jamaah ialah umat yang berada di bawah satu pemimpin dan “bersatu bersama imam (ulama) mujtahid”.[5]
Oleh itu umat Islam wajib mentaati ulama dan umara (pemimpin Islam) agar tidak berlaku perpecahan (firqah) kerana sudah jelas terbukti dan diketahui bahawa berpunca dari banyaknya firqah akan sering mewujudkan pertelagahan, pertelingkahan, keganasan malah punca utama tercetusnya peperangan sesama umat Islam. Inilah antara punca berlakunya letupan bom yang dilakukan pengebom berani mati di negara-negara Islam.


[1]. H/R Ahmad (4/162) Abu Daud 5/13. Turmizi 7/437 dan Ibn Majah 1/15.
[2] . an-Nisaa. 4:115
[3]. Lihat: الاعتصام Jld. 2. Hlm. 264. as-Syatibi.
[4]. Lihat: H/R at-Tabari dalam "al-Kabir" (1/320).
[5]. (1). Ini kata-kata 'Amru bin Qais Dalam الابانة Jld. 2. Hlm. 492. Ibn Battah
(2). Perkataan Bukhari di dalam kitab sahihnya (13/328).
(3). Turmizi dalam Sunannya (4/467).