Monday

37 - Al Wala' Menurut Manhaj Salaf as-Soleh


Al-Wala’ Menurut Manhaj Salaf as-Soleh

al-Wala’ diambil dari kalimah Arab iaitu اَلْوَلْيُ - اَلْوَلِيُّ - اَلْمَوْلَى atau lebih tepat diertikan sebagai: Pembelaan, mengagungkan, membesarkan, memuliakan dengan penuh setia dan cinta atau berkasih sayang kepada yang dicintai oleh Allah secara lahir dan batin. al-Wala’ juga bermaksud kecintaan kepada Allah ‘Azza wa-Jalla, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan sekian orang mukmin.

Al-Bara’ pula adalah lawan kepada al-wala’ yang bermaksud benci dan berlepas diri dari musuh-musuh Allah seperti Yahudi, Nasrani, Majusi dan setiap orang kafir yang memusuhi Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman.

Oleh kerana al-wala’ terselit maksud cinta dan kasih sayang, maka tidak boleh seseorang yang beriman mencintai atau berkasih sayang (berwala’) dengan orang-orang kafir seperti Yahudi, Nasrani atau Majusi tetapi diwajibkan agar berbuat baik, bersopan santun dan berkata-kata yang mulia kepada mereka terutama jika ia orang yang berkuasa atau pemerintah. Dalilnya ialah firman Allah:

لا َيَنْهَاكُمُ اللهُ عَنِ الَّذِيْنَ لَمْ يُقَاتِلُوْكُمْ فِى الدِّيْنِ وَلَمْ يُخْرِجُوْكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوْهُمْ وَتَقْسِطُوْا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِيْنَ.

“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”.[1]

Di dalam ayat ini terdapat firman: اَنْ تَبَرُّوْهُمْ وَتَقْسِطُوْا إِلَيْهِمْ bermaksud: “Hendaklah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka (orang-orang kafir)”. Jelaslah bahawa di dalam ayat yang mulia ini, Allah menyuruh orang-orang yang beriman agar berbuat baik kepada orang-orang kafir secara umum iaitu siapa sahaja atau apa sahaja jenis kafirnya walaupun melibatkan keluarga seperti ibu dan bapa, namun tetap wajib berbuat baik dan berlaku sopan walaupun tidak dihalalkan berwala’ kepada mereka seperti dijelaskan di dalam ayat di atas:

أَنْ تَبَرُّوْهُمْ وَتُقْسِطُوْا إِلَيْهِمْ

“Hendaklah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka”.

Di ayat yang lain Allah berfirman tentang perihal wajibnya berbuat baik kepada orang kafir terutamanya ibu dan bapa:

وَصَاحِبْهُمَا فِى الدُّنْيَا مَعْرُوْفًا

“Maka bergaullah dengan keduanya di dunia dengan baik”.[2]

Dan seterusnya diwajibkan oleh Allah ‘Azza wa-Jalla agar berbuat baik kepada orang-orang kafir terutama pemerintah atau pihak yang berkuasa kerana Allah ‘Azza wa-Jalla telah berfirman kepada dua orang NabiNya iaitu Nabi Musa dan Nabi Harun ‘alaihimas-salam:

إِذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى فَقُوْلاَ لَهُ قَوْلاً لَّيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى.

“Pergilah kamu berdua menemui Firaun kerana ia adalah seorang taghut. Berbahasalah kamu berdua kepadanya dengan bahasa yang lemah lembut, mudah-mudahan dia boleh ingat dan takut”.[3]

Di dalam ayat ini Allah memerintahkan Nabi Harun dan Musa ‘alaihimas-salam agar menemui Firaun, kemudian setelah menghadap Firaun mereka diperintahkan agar berbuat baik dan menggunakan kalimah yang mulia dan sopan apabila berkata-kata kepadanya. Mereka berdua wajib berbuat baik kepada Firaun sebagai pemerintah, namun sama sekali tidak diizinkan berwala’ (mencintai) Firaun.

Adapun dalil-dalil yang mengharamkan seseorang mukmin berwala’ (mencintai dan berkasih sayang) dengan orang-orang kafir tetapi tetap diwajibkan berbuat baik kepada mereka ialah:

لاَتَجْدُوْا قَوْمًا يُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ اْلأَخِرِ يُوْادُوْنَ مَنْ حَادَّ اللهَ وَرَسُوْلَهُ وَلَوْكَانُوْا ءَابَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيْرَتَهُمْ.

“Kamu tidak akan mendapati suatu kaum yang benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya (orang-orang kafir), sekalipun orang-orang (orang-orang yang kafir) itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka”.[4]

Dimaksudkan “Orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya” ialah orang-orang kafir seperti Yahudi, Nasrani atau Majusi. Maka orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, pasti tidak akan berkasih sayang (saling mencintai) atau berwala’ kepada orang-orang kafir kerana erti wala’ ialah kasih sayang atau cinta yang diwajibkan hanya kepada Allah, Rasullullah dan orang-orang Islam. Sekalian umat Islam diwajibkan mentaati ayat ini sehinggalah ke hari kiamat kerana ayat ini tidak mansuh (tidak dibatalkan) walaupun telah dicabuli oleh tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin, Sururi dan yang semanhaj dengan mereka.



[1] . al-Mumtahanah. 60:8.
[2] . Luqman. 31:15.
[3] . Taha. 20:44.
[4] . al-Mujadalah. 58:22.