Monday

35 - Orang Yang Telah Dijarh Akidahnya

Orang Yang Telah Dijarh Akidahnya

Dalam persoalan akidah tidak diberi ruang untuk memasukkan kaedah Jarh wa-Ta’dil (جرح وتعديل) kerana tidak ada ta’dil (pujian) terhadap penyeleweng, penyesat atau penyeru kepada kerosakan akidah, siapapun orangnya atau kedudukannya kerana mereka dianggaap sebagai ahli bid’ah.

Al-Hasan bin Soleh bin Haiyi yang lahir pada tahun 100H termasuk pembesar Ulama Syiah Zaidiyah. Dia pendiri firqah dalam mazhab Syiah (al-Butriyah),
[1] tetapi telah di “Jarh” oleh para ulama kerana ternyata bid’ah akidahnya, oleh kerana itu ia ditahzir oleh Sufyan as-Tsauri rahimahullah dan beliau bertegas dengan fatwanya:

“Adapun Ilmu yang didengar dari al-Hasan bin Soleh, maka para al-Jamaah (para ulama) telah sepakat untuk meninggalkannya”.
[2]

Para ulama salaf melalui kitab-kitab Jarhu wa-Ta’dil telah membolehkan menghibah (mengumpat), membicarakan atau mendedahkan bid’ah, khurafat dan kesyirikan seseorang demi mentahzir (peringatan) terhadap bahaya yang akan menimpa kepada umat jika ia dibiarkan tersebar luas. Imam Syu’bah rahimahullah pernah memanggil anak-anak muridnya untuk mentahzir dan membicarakan aib seseorang supaya dapat dijarh kemudian ditinggalkan ilmunya, beliau berkata:

“Ke marilah kamu sekalian melapangkan masa seketika untuk membicarakan aib (menghibah) seseorang semata-mata kerana Allah – maksudnya: Marilah kita sebut untuk menjarh atau menta’dil seseorang kerana Allah”.
[3]

Abdullah bin Ahmad (anak Imam Ahmad) berkata:

“Abu Turab an-Nakhsyabi datang ke majlis bapaku, lalu bapaku berkata: Si Fulan lemah dan Si Fulan dipercayai. Lantas Abu Turab berkata: Wahai Syeikh, janganlah engkau mengumpat ulama. Abdullah bin Ahmad berkata: Kemudian bapaku menoleh kepadanya lantas berkata: Celaka engkau, ini jarh (peringatan - celaan) bukan mengumpat!”
[4]

Abu Zur’ah ad-Dimsyiqi berkata: Saya telah mendengar Abu Mushir yang ditanya berkenaan seseorang yang dijarh kerana salah akidahnya atau salah dalam ucapannya. Maka Abu Mushir berkata:

“Jelaskanlah keadaan sebenar diri orang tersebut (kepada ummah)”.
[5]

Begitulah dalam kaedah jarh (جرح مقدمة على تعديل). “Jarh (celaan) lebih didahulukan daripada ta’dil (pujian)”. Maka kaedah jarh terhadap tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin atau tokoh-tokoh Sururiyah harus didahulukan secara ilmiyah, kerana kesalahan mereka membabitkan persoalan bid’ah dan khurafat dalam ibadah dan akidah.

Inilah prinsip dan tindakan para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah seperti Imam as-Syafie, Ahmad, Malik dan selain mereka dalam mensikapi tokoh-tokoh bid’ah iaitu dengan cara menjarh mereka agar umat tidak disesatkan oleh tulisan-tulisan, dakwah dan gerakan mereka. Inilah cara amar makruf nahi mungkar yang mereka lakukan demi untuk menyelamatkan akidah umat Islam agar tidak dicemari oleh bid’ah dan berbagai-bagai perangkap syaitan yang memerangkap kepada kesyirikan.



[1] . Lihat: al-Farqu Bainal Firaq. al-Baghdadi. Hlm. 42.
[2] . Lihat: as-Sunnah Lidh Dhalal. Hlm. 136.
[3] . Lihat: (1). Syarah ‘Ilal at-Tirmizi. 1/349.
(2). al-Kifiyah. Hlm. 91. al-Khatib.
[4] . Lihat: (1). Syarah ‘Ilal at-Tirmizi. 1/350.
(2). al-Kifiyah. Hlm. 46. al-Khatib.
[5] . Lihat: Syarah ‘Ilal at-Tirmizi. 1/349.