Monday

26 - Mengingkari (Meninggalkan) Ketaatan

Mengingkari (Meninggalkan) Ketaatan

Selagi ada golongan dan fahaman hizbi Muktazilah dan Khawarij khususnya di dalam negara Islam, maka akan sentiasa ada umat Islam yang meninggalkan ketaatan kepada Allah, Rasulullah, ulama serta pemimpin negara Islam. Dua golongan pelampau ini akan sentiasa berusaha untuk menghilangkan perasaan kasih sayang, keikhlasan, akhlak mulia dan rahmah terhadap umara (pemimpin), ulama dan orang awam kecuali yang mengikut arahan telunjuk dan hawa nafsu mereka.

Selagi ada di dalam kalangan umat Islam penentang-penentang yang dilahirkan oleh firqah (hizb) Khawarijiyah dan Muktazilah, akan berlarutan munculnya fitnah-fitnah besar, antaranya sentiasa terjadi pertelingkahan, pertelagahan dan akhirnya peperangan di kalangan umat yang bermula dengan aksi-aksi keganasan yang berbagai-bagai bentuk dan versinya.

Wujudnya berbagai-berbagai firqah penentang yang dirasuk oleh fahaman Khawarij dan Muktazilah di negara Islam terhadap pemimpin dan ulamanya, memberi peluang kepada musuh-musuh Islam mengambil kesempatan untuk menyemarakkan kebencian, saling tidak percaya antara satu dengan yang lain dan terus melaga-lagakan mereka, sehingga tercetus dari firqah-firqah tersebut semangat untuk saling menjatuhkan melalui berbagai cara yang tidak dihalalkan oleh syara, seperti melalui tunjuk perasaan, jenayah keganasan, pembunuhan, kegiatan teroris, pengeboman berani mati dan berbagai jenayah sehingga ada yang menggunakan teknologi tinggi yang disadur dengan nama dakwah, syahid dan jihad.

Sekarang ini amat ketara dan tidak dapat dinafikan bahawa keganasan yang buruk, keji dan memburukkan agama Islam ini telah dilakukan oleh umat Islam itu sendiri. Ikhwanul Muslimin adalah antara penyumbang besar berlarutannya fitnah keganasan yang mencemarkan lagi agama Islam. Pertubuhan ini telah melahirkan ramai tokoh yang pandai mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah dan Yusuf al-Qaradhawi adalah salah seorang darinya.