Monday

06- As-Sururiyah

As-Sururiyah

As-Sururiyah adalah kalimah atau nama yang dinasabkan kepada kumpulan hizbi yang bergabung dengan Muhammad Surur bin Nayef Zainal Abidin. Kemudian mengambil, berpegang dan mempertahankan segala ideologi, perjuangan, pendapat dan pemikiran yang diasaskan oleh Muhammad Surur bin Nayef Zainal Abidin ini.

Muhammad Surur adalah salah seorang dari tokoh Ikhwanul Muslimin yang berasal dari Syam, Syiria. Setelah menetap hampir 21 tahun di Arab Saudi beliau mengaku dan mendakwa dirinya sebagai seorang pendakwah Salafi, tetapi tembelangnya tersingkap setelah ditemui pada pegangan akidahnya, manhajnya, pemikiran dan pendoktrinannya sedikit dari sunnah dan berbaur dengan berbagai-bagai bid’ah
[1] (yang dicedok dari bid’ah-bid’ahnya Ikhwanul Muslimin).

Muhammad Surur bin Nayef Zainal Abidin telah diusir dari Arab Saudi dan lari berlindung ke negara kuffar Birmingham di London dan terus hidup bersama-sama orang kafir di sana. Menumpukan gerakan mendidik para pemuda muslim dengan pemikiran “Takfir” kelahiran Khawarijiyah ‘Asriyah melalui teori “Tauhid Hakimiyah”. Mencela para ulama Salaf as-Soleh. Muhammad Surur sentiasa dibela oleh pendokongnya seperti Dr. Salman al-Audah, Dr. Safar Hawali, Abdulrahman Abdulkhaliq, Hadi al-Misri, Tahhan dan ramai lagi.

Di London beliau bersama para pengikutnya dengan mudah menyebar fahaman dan diayahnya yang berkonsepkan prinsip Ikhwanul Muslimin. Jalan pemikiran dan pemahamannya terhadap sunnah amat bertentangan dengan akidah dan manhaj Salaf as-Soleh. Prinsip perjuangannya dicemari oleh bermacam-macam penyelewengan, kemungkaran, bid’ah dan berunsur keganasan. Jiwa dan semangat jihadnya dihanyutkan oleh arus hizbiyah Khawarijiyah takfiriyah sehingga memecah-belahkan umat Islam yang terpengaruh dengan hasutan dan diayahnya.

Melalui majalah al-Bayan dan majalah as-Sunnah yang diterbitkan di London, Muhammad Surur dan para pendokongnya telah menyebarkan fahaman Sururiyah berjiwa politik demokrasi (as-Siyasah ad-Demokratiyah), jihadiyah hizbiyah, semangat dan hasutan melalui tauhid hakimiyah untuk menentang pemerintah yang dianggap kafir. Tulisan, rencana atau artikel yang dimuatkan ke dalam majalahnya sering dipenuhi dengan pemikiran takfir “pengkafiran”, mencerca pemimpin dan para ulama yang bertugas dengan kerajaan,
[2] antaranya melalui teori “Tauhid Hakimiyah” yang dianut dari fahaman yang diteorikan oleh para tokoh Ikhwanul Muslimin yang menunjukkan dia adalah termasuk seorang “Khawarijiyah ‘Asriyah” [3] yang tulin.

Muhammad Surur adalah seorang hizbi takfiri, sentiasa mengembangkan fahaman Ikhwaniyah Misriyah, Qutubiyah dan Takfiriyah berbaur Sururiyah Sufiyah.
[4] Dengan cara melatih dan menyediakan beberapa pelapis yang bermanhajkan pemikiran Ikhwanul Muslimin maka beliau berjaya melahirkan beberapa penerus perjuangannya (kacukan Ikhwanul Muslimin) yang diperalat untuk mencapai matlamatnya.

Antara orang-orang yang telah berjaya diperalat oleh Muhammad Surur yang berlindung di bawah aktiviti organisasi kebajikan Ihya ut-Turas al-Islamiyah mereka adalah: Anak watan Arab Saudi Salman bin Fahd al-Audah dari Buraidah Qasim, Dr. Safar al-Hawali dari Mekah dan Dr. Muhammad Said al-Qahtan dari Riyad kemudian didokong oleh Abdul Hadi al-Misri, Aidh al-Qarni dan beberapa orang lagi yang fanatik buta kepada Muhammad Surur dan diayahnya.

Sururiyah mengutamakan pembentukan khalifah. Banyak memperkatakan tentang mengembalikan kegemilangan sistem kekhalifahan dan daulah. Berpunca dari fahamannya yang bersifat haraki maka para pengikut dan orang-orang yang terpengaruh dengan pemikirannya telah bertindak agresif sehingga menimpakan huru-hara, fitnah dan bahaya kepada negara Islam yang dianggap kafir dan juga orang-orang awam.

Para pengikut Sururiyah gemar mengkafirkan pemimpin melalui tulisan atau sindiran mereka walaupun tidak dapat dibuktikan dengan ucapan dari mulut mereka (terutama semasa mereka di Arab Saudi).
[5] Ini berdasarkan tulisan, sikap, pemikiran dan tingkah laku mereka yang berasaskan manhaj Khawarij atau yang menyerupainya, seperti menyusun gagasan Tanzim Sirri (gerakan rahsia) yang mirip dengan gagasan Khawarij dan Muktazilah untuk menentang pemerintah, sedangkan telah diketahui bahawa mendengar dan taat kepada pemimpin telah ditetapkan hukumnya oleh nas-nas syara.

Oleh itu hendaklah berhati-hati dengan manhaj Sururiyah atau sewajarnya menjauhkan diri dari mereka. Tidak terkecuali yang perlu difahami bahawa mereka sudah keterlaluan memaki hamun dan menghina para ulama Salaf yang lalu dan yang ada sekarang. Mereka telah mengkhianati agama, ini menunjukkan ada sesuatu yang keji di sebalik gerakan mereka itu.
[6]

Mereka menyeru kepada jihad, bukan berjihad untuk menentang kaum kuffar tetapi bertujuan memerangi pemerintah dan menjatuhkannya. Mereka mencerca dan mendoakan pemerintah dengan doa-doa yang buruk. Tindakan dan sikap mereka amat bertentangan dengan amalan para Salaf, sedangkan Abu Muhammad bin Ali al-Barbahari rahimahullah berkata:

“Apabila engkau dapati seseorang itu mendoakan kecelakaan terhadap penguasa/pemimpinnya maka ketahuilah bahawa dia adalah seorang ahli ahwa dan apabila engkau melihat seseorang mendoakan kebaikan untuk penguasa/pemimpinnya maka dia adalah seorang ahli sunnah insya Allah”.
[7]

Fudhail bin Iyadh rahimahullah berkata:

“Sekiranya aku mempunyai doa yang makbul maka tidak akan aku berikan kecuali untuk penguasa/pemimpin. Beliau ditanya bagaimana boleh jadi seperti itu wahai Abu Ali? Beliau menjawab: Jika saya berdoa untuk diri saya maka tidak diperoleh oleh yang lain tetapi jika aku tujukan untuk pemimpin, ia merupakan kebaikan untuk semua rakyat dan negara, dan mereka menjadi baik kerananya”.
[8]
Ketahuilah, kita sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berpegang dengan akidah dan manhaj Salaf as-Soleh, tidak pernah mensucikan pemerintah dari berbagai-bagai dosa dan kesalahan! Kita tidak memaksumkan mereka tetapi kita tetap mengatakan:

“Wajib mentaati pemerintah dan menasihati mereka dengan sir (rahsia) kerana mereka masih orang-orang Islam. Syariat Allah telah menegah kita dari keluar dan meninggalkan mereka kecuali setelah mereka terang-terang sudah kafir yang nyata dan ada dalil dari kitab Allah yang membuktikan demikian”.
[9]

Antara ciri-ciri puak Sururi selain fanatik kepada fikrah Muhammad Surur mereka juga memakai akal dan hawa nafsu Ikhwanul Muslimin, terutama tokoh-tokoh dan orang-orang yang bertaklid buta dengannya. Mereka tidak akan mendoakan kebaikan untuk penguasa terutama yang mereka anggap telah kafir kerana tidak berhukum dengan hukum Allah atau kerana menyekat fikrah dan gerakan mereka.

Muhammad Surur Nayef Zainal Abidin dengan lantang mencerca para pemimpin dan para ulama Haramain. Beliau menghina para ulama, ahli ilmu dan para pemimpin yang melindungi Mekah dan Madinah dengan menuduh mereka sebagai hamba Kristian sedangkan beliau lari dan hingga kesaat ini masih berlindung dan menetap di negara Kristian. Beliau pernah menyuarakan apa yang terbuku di benak otak dan hawa nafsunya:



“Penghambaan dimasa lalu amat sederhana kerana si hamba hanya menghambakan diri kepada tuannya sahaja. Adapun penghambaan dewasa ini amat kompleks, sehingga menghairanku dan aku tidak pernah sirna terhadap orang-orang (maksudnya: Para ulama Haramain) yang berkata tentang tauhid, namun mereka para hamba dari hambanya hamba, yang hamba ini juga hambanya hamba. Tuan yang terakhir adalah Nasara (Amerika dan Eropah pent.)”.
[10]

Apakah pantas seorang yang dianggap tokoh oleh para pengekor serta pentaqlid buta Ikhwanul Muslimin mengeluarkan ucapan seperti ini? Tokoh-tokoh Sururiyah juga mendakwa bahawa para ulama terutamanya di negara Arab Saudi tidak mengetahui fiqhul waqi’.
[11] Sebagai sanggahan terhadap tuduhan mereka maka Abdussalalm bin Salim bin Raja as-Suhaimi menjelaskan:

“Bahawa sesungguhnya para mufti dan kadi tidak pernah berfatwa dalam sesuatu masalah dan tidak pernah berhukum dalam sesuatu persoalan kecuali setelah benar-benar mengetahui situasi dan kondisi al-waqi’ yang meliputi sebab yang memenuhi tuntutan hukum ahkam dan kesan-kesan terhadapnya. Sesiapa yang menyangka bahawa para ulama dan para kadi tidak mengetahui waqi’, maka mereka telah menzalimi diri mereka sendiri dengan cara menghina ulama”.
[12]

Beliau menjelaskan lagi:

“Tentunya jika para ulama tidak mengetahui waqi’ maka mereka akan berkata apa yang tidak boleh untuk mereka memperkatakannya. Adapun untuk mengetahui kedudukan musuh dan apa yang berkaitan dengan ketenteraan maka semuanya itu pengkhususan di bidang ketenteraan sebagaimana yang ditetapkan oleh setiap negara di manapun jua”.
[13]

Namun fiqhul-waqi’ yang dimaksudkan oleh para ulama Salaf as-Soleh sebagaimana yang ditakrifkan oleh Ibn Qaiyim rahimahullah tidaklah sama seperti mana yang dikehendaki dan dimaksudkan oleh golongan Sururiyah atau golongan yang sealiran dan sefahaman dengannya.

Nasihat ikhlas dari penulis:

“Kembalilah kepangkuan Manhaj Salaf as-Soleh kerana manhaj ini dapat menyatu-padukan ummah. Ia adalah manhaj yang telah dititi oleh para sahabat, tabi’in, tabi’ut at-tabi’in serta orang-orang soleh yang menjejaki mereka dengan selamat. Tinggalkanlah semua bentuk bid’ah dan teori-teori yang membawa kepada perpecahan ummah yang sesat dan menyesatkan”.

Gerakan Sururiyah adalah gerakan yang memperjuangkan akidah Tauhid Hakimiah atau Tauhid Mulkiyah Khawarijiyah. Akidah batil ini masih segar dan disebar serta diperjuangkan oleh kelompok Khawarij di negeri-negeri Islam termasuk di Malayisa yang sentiasa mendapat bantuan dari para pendokongnya serta mereka-mereka yang semanhaj dengan Khawarij pemikiran dan perjuangannya.

Pemikiran aliran bid’ah ini terus berkembang pesat terutama di seluruh negara-negara Islam. Da’i-da’i atau para penyeru Khawarij sentiasa berada bersama kita, antaranya adalah mereka-mereka yang menghidupkan pemikiran Sururiyah Ikhwaniyah. Mereka aktif memperjuangkan doktrin-doktrin mereka yang palsu termasuk di pusat-pusat pengajian tinggi, dikuliah-kuliah umum atau di mana sahaja mereka diberi peluang untuk melahirkan apa yang tersimpan di pemikiran mereka. Mereka menyerapkan fahaman yang bid’ah ini baik dalam masalah iman, akidah, siyasah, ibadah serta masalah-masalah lain yang diadopsi dari induknya iaitu Khawarij atau Muktazilah. Di tulisan ini akan dipaparkan dan disingkap keburukan dan bid’ahnya fahaman yang menyeleweng ini, terutamanya tauhid hakimiyah.

Penjelasan tentang batilnya fahaman ini perlu diketengahkan kerana sesiapa yang tidak memahami maksud hakimiyah akan mudah diperangkap oleh puak Khawarij. Akhirnya akan mengkafirkan sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah dengan pengkafiran mutlak. Fahaman ini menyalahi pegangan Ahli Sunnah yang bermanhaj Salaf as-Soleh sebagaimana yang akan dijelaskan.

Niat penulis mengkedepankan isu hakimiyah agar masyarakat Islam sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap kelompok Khawarij gaya baru yang sentiasa giat mencari mangsanya. Maka dengan memahami persoalan ini dengan sempurna dan betul, insya Allah masyarakat Islam yang telah faham tidak akan mudah mengkafirkan antara satu dengan yang lain sebagaimana yang diamalkan oleh golongan Sururiyah Khawarijiyah.

Sememangnya tidak mudah untuk menghadapi dan membenteras fahaman Sururiyah Khawarijiyah neo Muktazilah yang memperalatkan Tauhid Hakimiyah yang telah meluas jika hanya berbekalkan teori-teori falsafah, emosi atau suara kejahilan yang dibisikkan oleh hawa nafsu, tetapi yakinilah bahawa fahaman dan gerakan yang batil ini dapat dibasmi dan dihapuskan dari berkembang di kalangan masyarakat hanya dengan ilmu yang dibekalkan oleh Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Penjelasan ini akan memberi manfaat dan menyumbang khazanah ilmu-ilmu salaf yang diperlukan oleh generasi yang berwawasan dunia dan akhirat. Lihatlah di dalam tulisan ini pada bab Tauhid Hakimiyah yang akan dimuatkan penerangan yang lebih lengkap tentang apa itu Tauhid Hakimiyah yang sebenarnya.




[1] . Lihat: Fikru at-Takfir Qadiman wa-Hadisan hlm. 99
[2] . Lihat: as-Sunnah Bil XXlll di bawah tajuk “Bantuan Rasmi”.
[3] Khawarijiyah ‘Asriyah bermaksud: Khawarij Gaya Baru.
[4] . Istilah ini digunakan oleh Syeikh Abdul Malik bin Ahmad Ramadani al Jazairi.
Lihat: Fikru at-Takfir Qadiman wa-Hadisan. Hlm. 124, Abulssallam bin
Salim bin Raja as-Suhaimi.
[5] . Lihat: Fikru Takfir Qadiman wa-Hadisan. Hlm 99
[6] . Ibid.
[7] . Lihat: Syarah as-Sunnah. Hlm. 116, al-Barbahari. Tahqiq Khalid ar- Ridadi.
[8] . Hilyatul Auliya, 8/91.
[9] . Fikru Takfir Qadiman wa-Hadisan. Hlm. 99.
[10] . Lihat: (1). Majalah as-Sunnah Edisi 26.
(2). al-Qutubiyah Hiyal Fitnah Fa’rifuha. Hlm. 89.
[11] . Ibid.
[12] . Ibid
[13] . Ibid.