Monday

31 - Sa’id Hawa

Sa’id Hawa

Sa’id Hawa rahimahullh sangat fanatik kepada Ikhwanul Muslimin dan Hasan al-Banna. Beliau seorang yang sangat mencintai tariqat sufiyah kuburiyah. Anak didik hasil dari pentarbiyahan (asuhan) Hasan al-Banna. Terdapat banyak petanda yang menunjukkan bahawa dia bersangatan taksub dan ghulunya kepada Hasan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin sehingga dengan beraninya memberi pengakuan dan kenyataan:

“Sesungguhnya, setelah menempuh perjalanan yang panjang dan memikul beban yang banyak, jamaah Ikhwanul Muslimin telah menjadi sebahagian dari sejarah. Hanya jamaah inilah sahaja satu-satunya jamaah memiliki hak memegang kuasa Imamah. Sesungguhnya kami tidak memuji seorangpun di hadapan Allah (Kecuali Hasan al-Banna. Pent)”.
[1]

Sa’id Hawa semoga sentiasa dirahmati Allah juga sangat menekankan agar setiap individu bergabung dan berjamaah dengan Ikhwanul Muslimin. Beliau menyeru:

“Bahawa bergabung dengan Ikhwanul Muslimin adalah kewajipan kepada seluruh kaum muslimin”.
[2]

Walaupun Sa’id Hawa tidak menganggap pertubuhan Ikhwanul Muslimin sebagai jamaah yang maksum, tetapi baginya ia mendekati kepada maksum.
[3] Ketaksuban Sa’id Hawa yang keterlaluan terhadap Ikhwanul Muslimin, Hasan al-Banna dan seluruh tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin yang lain, telah menjadi ikutan kebanyakan pengekor Ikhwanul Muslimin di Malaysia, Singapura, Indondesia dan di mana sahaja wujudnya pemuja Ikhwanul Muslimin. Sehingga ada setengah dari mereka orang-orang yang bersikap isti’jal (terburu-buru) dan emosional, tidak terasa segan silu meniru tabiat dan gaya Sa’id Hawa dan Yusuf al-Qaradhawi.

Kemunculan mereka (di Malaysia) dapat dikesan apabila mereka berucap di foram-foram awam yang mana mereka mengangkat, mengkedepankan dan menyanjung ketokohan para pemikir Ikhwanul Muslimin, tidak ketinggalan Sa’id Hawa. Kemudian mereka memperkecilkan Syeikh Ibn Taimiyah, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, Syeikh Ibn Bazz, Syeikh Uthaimin, Syeikh Soleh Fauzan dan ramai lagi kalangan ulama Salaf yang dianggap tidak sealiran dengan prinsip Ikhwanul Muslimin dan perjuangan mereka.

Memang sifat dan sikap para pengikut atau pengekor fanatik Ikhwanul Muslimin yang seperti ini telah digambarkan oleh Sa’id Hawa dengan gaya mencabar yang ia kemukakan dengan kata-kata beliau:

“Pernahkah ada dari kalangan umat ini orang yang setara dengan Hasan al-Banna? Adakah generasi yang akan datang akan menemui orang yang lebih tegas dari Hasan al-Hudheibi? Sesungguhnya hanya kepada kedua Khalifah Ikhwanul Muslimin inilah sahaja kita membaiah”.
[4]

Sa’id Hawa berkali-kali menyeru para pendampingnya supaya berbaiah kepada pemimpim Ikhwanul Muslim agar menjadi anggota pertubuhan tersebut. Adapun isi lafaz baiah Ikhwanul Muslimin ialah:

“Aku berjanji kepada Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung untuk sentiasa berpegang teguh kepada dakwah Ikhwanul Muslimin. Berjihad di jalannya, mematuhi segala syarat-syarat keanggotaan dan mempercayai sepenuhnya kepada kepimpinan Ikhwanul Muslimin. Akan sentiasa setia dan patuh dalam keadaan suka atau benci. Aku bersumpah atas nama Allah Yang Maha Agung atas perkara tersebut dan berbaiah atasnya. Allah menjadi saksi atas segala apa yang aku katakan”.
[5]

Sa’id Hawa melalui ideologi Khawarij dan sufi yang dikutipnya atau ditiru dari tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin, akhirnya tersemai subur di benak kepalanya fahaman takfir sehingga dengan mudah melontarkan tuduhan kafir kepada jamaah yang tidak bergabung dengan Ikhwanul Muslimin. Sesiapa sahaja akan dianggap Islam hanya setelah berbara’ kemudian berbaiah kepada imamnya Ikhwanul Muslimin. Beliau berkata:

“Tidak ada pilihan yang lain, hanya jamaah Ikhwanul Muslimin sahajalah yang wajib diikuti dan dibaiah oleh seluruh kaum muslimin”.
[6]

Setelah berbaiah dan bersumpah taat setia melalui perbaiahan yang mungkar dan bid’ah sebagaimana lafaz baiah di atas ini, maka sesiapa sahaja dari anggota Ikhwanul Muslimin yang melanggar baiah yang sudah diikrarkan atau keluar dari pertubuhan Ikhwanul Muslimin maka individu tersebut dianggap sebagai kafir. Penggal kepala adalah hukuman yang ditetapkan oleh Hasan al-Banna sebagai pemimpin tertinggi, sebagaimana yang difatwakan oleh beliau kepada anggota Ikhwanul Muslimin yang menentang beliau semasa perlantikan kepimpinan Ikhwanul Muslimin di Ismailiyah.
[7] Hasan al-Banna beralasan dengan hadis sahih:

“Barangsiapa (sesiapa sahaja) yang berusaha memecah belahkan jamaah kamu, maka penggallah ia dengan pedang, siapapun orangnya”.

Hasan al-Banna telah mengeksploitasi hadis di atas untuk kepentingannya dan kepentingan pertubuhannya, mengugut dan menakut-nakutkan siapa sahaja yang menentang atau ingin keluar dari pertubuhannya. Oleh kerana itu para pengikut Ikhwanul Muslimin yang bebal, sangat mematuhi Mursyid mereka walaupun mereka diperbodohkan lantaran takut dikafirkan atau dipenggal kepalanya.

Sa’id Hawa dan orang-orang yang fanatik dan ghulu telah tertipu dan terperangkap dengan propaganda pertubuhan Ikhwanul Muslimin, termasuklah individu-individu yang terdapat di Malaysia. Mereka menuduh sesiapa yang tidak menerima dakwah Hasan al-Banna dan Yusuf al-Qaradhawi, tidak bergabung dengan gerakan Ikhwanul Muslimin (yang berselindung dengan berbagai-bagai nama pertubuhan atau NGO), atau mengkritik Hasan al-Banna, Yusuf al-Qaradhawi dan pertubuhannya atau sesiapa sahaja yang menganggotai Ikhwanul Muslimin, maka orang itu dianggap sebagai pelampau dan orang yang berpenyakit hatinya. Kenyataan ini telah diakui oleh Sa’id Hawa, beliau berkata:

“Telah muncul di berbagai tempat pemikiran dari orang-orang yang sakit hatinya,
[8] iaitu dengan melepaskan diri dari dakwah Hasan al-Banna dan segala pemikiran beliau”.[9]

Kemudian beliau memperjelaskannya lagi:

“Hendaklah mereka (yang di luar kelompok Ikhwanul Muslimin) menyedari bahawa menyeleweng dari pemikiran Hasan al-Banna dimasa sekarang ini adalah perbuatan yang salah, mustahil akan selamat dan perbuatan yang bodoh kerana apabila kita menginginkan perjuangan yang sempurna dalam membela Islam dan kaum Muslimin ia hanyalah dengan pemikiran Hasan al-Banna”.
[10]

“Pembuktian dari segi hukum telah memastikan bahawa tidak terdapat manusia sekarang ini yang menguasai sejumlah kriteria seperti yang dimiliki oleh Hasan al-Banna. Hanya beliau satu-satunya yang mampu mencetuskan teori-teori amal Islami sekarang ini”.
[11]

Oleh kerana itu menurut Sa’id Hawa:
“Salah satu kewajipan aktivis harakah (gerakan Islam) adalah memenuhi rumahnya dengan prinsip-prinsip Ikhwanul Muslimin”.
[12]

Jika diteliti semua kenyataan-kenyataan Sa’id Hawa di atas dan yang akan terus dipaparkan di tulisan ini, jelaslah bahawa Sa’id Hawa telah mengenepikan para ulama dan menafikan keilmuan mereka kerana tidak mengamalkan pemikiran Hasan al-Banna.

Apabila Sa’id Hawa ghulu kepada Hasan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin (hanya mengutamakan pemikiran dan perjuangan Hasan al-Banna) ini bermakna beliau telah kehilangan manhaj Salaf Ahlul Hadis yang selamat iaitu manhaj yang hanya mengutamakan kudwah dan berittiba’ kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam serta para A’immatul Huda yang membawa ummah meniti di atas manhaj Ahli Hadis.

Sa’id Hawa telah berusaha bermati-matian menghabiskan masa dan tenaganya memperjuangkan segala bid’ah-bid’ah yang dihidupkan oleh syeikhnya. Seperti merayakan Ma’al Hijrah, Israk Mikraj, Maulid, memperingati hari kematian Hasan al-Banna
[13] dan sebagainya. Sa’id Hawa memperjuangkan tariqat kesufian dan berakidah Asy’ariyah al-Maturidiyah. Inilah sebahagian dari berbagai-bagai bentuk bid’ah, kebatilan dan perpecahan yang dimunculkan oleh Ikhwanul Muslimin dan para pejuangnya. Menurut keterangan Sa’id Hawa:

“Umat (Ikhwanul Muslimin) telah menyerahkan persoalan akidah mereka kepada dua orang imam, iaitu Abul Hasan Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi”.
[14]

Antara kata-kata Sa’id Hawa yang berupa melanjutkan segala bid’ah yang telah dihidupkan oleh gurunya ialah:

“Ustaz al-Banna menganggap antara kepentingan gerakan Islam ialah menghidupkan hari-hari perayaan bersempena yang dinasabkan dengan kejadian-kejadian dalam Islam dan mengingatkan manusia kepadanya. Melaluinya maka sesungguhnya ia seakan-akan kewajipan fiq-dakwah Islamiyah masa kini, yang mana menghidupkan maulid Nabi dan merayakannya merupakan pelajaran ilmiyah, diterima secara fiqhiyah dan kepentingan yang tidak boleh ditinggalkan”.
[15]

Inilah antara perkara-perkara batil dan bid’ah yang diperjuangkan oleh Sa’id Hawa demi melanjutkan perjuangan gurunya dan pertubuhannya. Beliau terus menegaskan:

“Sesungguhnya kaum muslimin selama beberapa masa yang lalu mempunyai para imam dalam akidah, fiqh, tasawuf dan ibadah kepada Allah ‘Azza wa-Jalla. Imam mereka dalam akidah seperti Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi”.
[16]

Inilah sebenarnya akidah model Ikhwanul Muslimin yang mencampurkan yang hak dengan yang batil iaitu akidah Asy’ariah al-Maturidiyah, sufiyah kuburiyah dan siyasah hizbiyah ala Jahiliyah sehingga menolak akidah Salafiyah yang sebenar, sehingga Sa’id Hawa menegaskan dengan pengakuannya:

“Kami tidak pernah merelakan diri kami untuk meninggalkan prinsip pemikiran ustaz Hasan al-Banna. Pada masa ini, jika sesiapa cuai pada perkara ini (prinsip pemikiran al-Banna. pent) samalah ertinya meninggalkan jalan kebenaran dalam membela Islam“.
[17]

Bagaimana seorang yang pemikirannya dicemari oleh kesyirikan kuburi, bid’ah sufiyah, akidah Asy’ariyah al-Maturidiyah dan hizbiyah Khawarijiyah mampu membawa umat ke jalan kebenaran dan membela Islam? Itulah hakikat sebenar Si Hasan al-Banna dan para pengikutnya. Nilailah dengan neraca akidah pengakuan Sa’id Hawa:

“Kami amat yakin, tidak terdapat jamaah yang paling sempurna bagi kaum muslimin kecuali dengan pemikiran Hasan al-Banna”.
[18]

“Pada keadaan sekarang khususnya, tidak ada pilihan yang benar untuk kaum Muslimin, kecuali menerima konsep pemikiran Hasan al-Banna jika mereka menghendaki jalan kebenaran”.
[19]

Patutkah jika seseorang itu benar-benar berilmu dan beriman dengan kesempurnaan al-Quran dan as-Sunnah yang berupa Kalamullah, kemudian berpaling dan meninggalkannya kerana menerima pemikiran Hasan al-Banna? Diangkat, dipuja dan diekspos sebagai kiai agung? Dapatkah Kalamullah disetarakan (disamakan) dengan konsep pemikiran kaki kubur dan sufi seperti Hasan al-Banna? Sehingga ada yang berani memberi jaminan bahawa pemikiran Hasan al-Banna adalah yang paling sempurna bagi kaum muslimin! Apakah Kalamullah (al-Quran dan al-Hadis) belum cukup sempurna sehingga disempurnakan kemudian dengan pemikiran Hasan al-Banna?

Yakinilah bahawa kesempurnaan, kebenaran dan petunjuk hanya terdapat pada al-Quran dah Sunnah Rasulullah yang sama sekali tidak boleh dicampur-adukan dan dicabuli oleh apapun pemikiran dan hawa nafsu kerana Allah ‘Azza wa-Jalla telah berfirman:

اَلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ اْلاِسْلاَمَ دِيْنًا.

“Pada hari ini telahKu sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telahKu cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telahKu redai Islam itu menjadi agama bagimu”.
[20]

اَلْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلاَ تَكُوْنَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِيْنَ.

“Kebenaran itu hanyalah dari Tuhanmu, maka janganlah kamu sekali-kali menjadi golongan orang-orang yang ragu-ragu”.
[21]
الم ذَلِكَ الْكَتَابُ لاَ رَيْبَ فِيْهِ هُدًى ِللْمَتَّقَِيْنَ.

“Alif Lam Mim, itulah kitab yang tiada keraguan padanya sebagai petunjuk bagi orang-orang ingin takwa”.
[22]

Bagaimanakah Sa’id Hawa dan para pendukung Ikhwanul Muslimin memahami dan mengimani ayat-ayat di atas dan juga ayat yang serupa dengannya? Mengapa mereka mudah berpaling dari kebenaran jalan atau manhaj Kalamullah (Mukjizat kitabullah), lalu mudah terpengaruh sehingga mendewakan dan mentakdiskan pemikiran makhluk (Hasan al-Banna)? Moga-moga Allah mencucuri rahmat kepadanya dan mengampunkan segala kesilapannya.
[1] . Lihat: Madkhal Ilaa Dakwah Ikhwanul Muslimin. Hlm. 294.
[2] . Lihat: Fii Afaqit Ta’alim. Hlm. 16.
[3] . Menurut Sa’id Hawa: Kami tidak mengklaim maksum, tetapi selain kami
juga tidak maksum. Lihat: Madkhal Ila Dakwah Ikhwanul Muslimin hlm. 12
[4] . Lihat: Madkhal Ilaa Dakwah Ikhwanul Muslimin. Hlm. 30.
[5]. Qanun Nizam Asasi Li Hai’ah Ikhwanul Muslimin wa-Su’abiha hlm. 7.
[6] . Lihat: المداخل الى دعوة الاخوان المسلمين hlm. 30
[7]. Kisah selengkapnya lihat: Muzakkirat ad-Dawah wad-Daiyah hlm 120
[8]. Yang dimaksudkan: Orang yang sakit hatinya oleh Sa’id Hawa ialah mereka yang mendedahkan kemungkaran Ikhwanul Muslimin, para tokohnya, tulisan-tulisannya, kenyataan-kenyataanya, kuliah-kuliah dan fatwa-fatwanya.

[9] . Lihat: Fii Afaaqit Ta’lim. Hlm 5.
[10] . Ibid. hlm. 5
[11] . Ibid. hlm. 11.
[12] . Ibid. hlm. 29.
[13]. Lihat: Dakwahtul Ikhwanul Muslimin Fi Mizan al-Islam. Hlm 73-74 Farid
bin Ahmad.
[14]. Lihat: Jaulat Fil Fiqhain. Hlm. 22.
[15]. Lihat: Dakwahtul Ikhwanul Muslimin fi Mizanul Islam. Hlm. 72..
[16] . Lihat: Jaulat Fil Fiqhain. Hlm. 22.
[17] . Lihat: الجماعة الإسلامية فى ضوء الكتاب والسنة بفهم سلف الأمة Salim bin ‘Ied
al- Hilali. Dan Lihat: Min Ajli Khutwah Ilal Imam Hlm. 12.
[18] . Lihat: Jaulat Fil Fiqhain. Hlm. 79.
[19] . Lihat: Min Ajli Khutwah Ilal Iman. Hlm. 5.
[20] . al-Maidah. 5:3.
[21] . Ali Imran. 3:60.
[22] . al-Baqarah. 2:1-2.