Monday

24 - Beralasan Dengan Dalil Al-Quran Dan Al-Hadis

Beralasan Dengan Dalil Al-Quran Dan Al-Hadis

Didapati mereka yang menghalalkan pengeboman berani mati dan keganasan, mereka berhujahkan dalil-dalil dari al-Quran, hadis sahih dan tafsir muktabar. Tetapi mereka tidak mematuhi metodologi penafsiran aimmah Salaf as-Soleh. Mereka menyelewengkan penafsiran terhadap ayat-ayat tersebut, mensyarahkan hadis-hadis sahih dengan cara memutar-belitkan maksudnya dan kemudian disebarluaskan kepada awam yang akhirnya dijadikan rujukan utama oleh para pentaqlid buta.

Berpunca dari cara pendalilan yang salah dan tidak mengikut penafsiran yang sahih, gerakan pengeboman berani mati telah mencemar dan mencabuli syariat Allah. Kerana ayat-ayat al-Quran yang memerintah dan memperkatakan tentang wajibnya berjihad fi sabilillah (yang bermaksud kital atau perang dengan senjata), ia diturunkan setelah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berhijrah ke Madinah, setelah tegaknya negara Islam yang berdaulat, orang-orang Islam telah mempunyai kekuatan (persediaan) untuk berperang dan pemimpin negara (Rasulullah) telah berkuasa untuk mengisytiharkan perang. Berbeza dengan seruan Yusuf al-Qaradhawi, yang mana orang-orang Islam diketika ini tidak mempunyai persiapan dan kekuatan, sama ada di segi ketenteraan, politik atau kelengkapan persenjataan canggih dan kompleks untuk berjihad melawan kuasa-kuasa besar yang lebih sofistikated.

Adapun ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis sahih, tafsir al-Quran serta fatwa-fatwa ulama yang berkisar dengan suruhan jihad, keizinan dan bolehnya berjihad, ianya dilaksanakan setelah mencukupi syarat dan rukun untuk berjihad. Antaranya ialah.

1.1. Setelah wujudnya negara Islam yang berdaulat dan
berkuasa.
1.2. Ada Khalifah, pemimpin, ketua negara atau ulil amri.
1.3. Mempunyai kekuatan dan persediaan yang mencukupi.
1.4. Diisytiharkan perang oleh pemimpin negara.
1.5. Negara telah dimasuki musuh.

Antara ayat-ayat al-Quran, tafsir, hadis-hadis sahih, dan fatwa-fatwa para ulama yang disalah maksud (disalah erti dan tafsir) oleh golongan hizbi jihadi atau Khawarij Muktazili yang bertujuan untuk menghalalkan pengeboman berani mati ialah:

وَقَذَفَ فِى قُلُوْبِهِمُ الرُّعْبَ

“Dan dilemparkanNya perasaan cemas dan takut ke dalam hati mereka”.
[1]

وَأَعِدُّوْا لَهُمْ مَّا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُّوَّةٍ

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan”.
[2]

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِى نَفْسَهُ ابْتِغَآءَ مَرْضَاتِ اللهِ

“Dan antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah”.
[3]
Semua hujah-hujah syarie di atas, telah disalahgunakan oleh golongan Hizbi Jihadi, Khawarij, Muktazilah ‘Asriyah dan yang sefahaman dengan mereka. Kejahilan sehingga mengabaikan aspek hukum, rukun dan syarat jihad, ditambah oleh tiupan semangat jihad yang dipropagandakan oleh para pemimpin hizbi kepada para pengikut dan pengekor mereka yang fanatik dan taksub, semuanya itu adalah penyumbang utama bersemaraknya pengeboman berani mati dan keganasan yang disolek dengan nama dan semangat jihad.

Berniat baik untuk menghentikan segala jenis kemungkaran, keganasan dan kejahatan, kemudian ingin melakukan yang makruf, maka caranya bukanlah dengan melakukan pengeboman berani mati dan bunuh diri. Cara tersebut telah diharamkan oleh syara, perbuatan keji, terkutuk dan amat bertentangan dengan prinsip dakwah Islamiyah yang mana penyerunya dianggap sebagai khairu ummah (umat terbaik). Firman Allah:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَاْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ

"Kamu adalah umat terbaik dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan menegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah".
[4]

Allah Subhanahu wa-Ta’ala mengutus Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam kepada sekalian manusia dengan membawa agama tauhid dan rahmah. Antara matlamat utama dakwah, perjuangan atau jihadnya ialah untuk membersihkan rohani dan jasmani manusia agar dapat mengimarahkan dunia dan menyelamatkan diri mereka di akhirat dari kesengsaraan azab neraka. Baginda benar-benar diutus sebagai penyelamat serta rahmat kepada sekalian alam.
[5]

Baginda telah menyampaikan agama Islam dengan sempurna, dengan penuh kasih sayang, sopan
[6] dan kesabaran. Baginda telah menyeru umat Islam agar kembali kepada satu manhaj, satu jamaah dan satu matlamat untuk memperolehi keselamatan. Hal ini telah dikhabarkan oleh Allah ‘Azza wa-Jalla di dalam firmanNya:
وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَ تَفَرَّقُوْا.

“Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah”.
[7]

Ayat yang tercatit di atas ini dengan jelas mengharamkan setiap umat Islam dari bermusuh-musuhan dan berpecah-belah antara satu dengan yang lain. Allah ‘Azza wa-Jalla memerintahkan agar setiap individu Islam saling berkasih sayang dan mengikat dirinya hanya pada satu ikatan al-Jamaah. Hal ini telah dijelaskan juga oleh Abu Muhammad al-Yamani
[8]:

“Ahli Sunnah wal-Jamaah, mereka adalah golongan yang satu (فرقة واحدة) dalam satu al-Jamaah".
[9]

Berjamaah adalah wajib hukumnya. Berpecah-belah dan bermusuhan pula adalah suatu bid’ah yang diharamkan oleh syara kerana berpecah (keluar dari al-Jamaah) boleh mengakibatkan seseorang (yang berpecah) itu ke neraka. Oleh itu setiap umat Islam diwajibkan agar bersatu di dalam satu al-Jamaah untuk menentang kemungkaran dan keganasan bukan menimbulkan kesengsaraan sebagaimana yang lakukan oleh pengebom berani mati.

Tidak mungkin umat ini akan berpecah, kecuali orang-orang yang jahil. Antara ciri-ciri dan tanda-tanda kejahilan mereka ialah menyahut seruan hizbiyah seperti Muktazilah, Khawarij, Syiah, Hizbut Tahrir dan sebagainya yang telah meninggalkan manhaj Salafiyah, terkeluar dari al-Jamaah dan masuk ke dalam berbagai-bagai firqah. Munculnya orang-orang seperti ini adalah suatu kenyataan kerana telah dikhabarkan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam melalui sabda baginda:

لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً ، وَاحِدَةٌ فِى الْجَنَّةِ ، وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِى النَّارِ . قِيْلَ : مَنْ هُمْ ؟ قَالَ: اَلْجَمَاعَةُ.

“Akan berpecah umatku kepada 73 firqah, hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka. Baginda ditanya: Siapa yang ke syurga wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Al-Jamaah”.
[10]

Dan sabda baginda dalam menjelaskan maksud al-Jamaah yang sebenar serta ciri-ciri (sifat-sifatnya) atau tanda-tandanya ialah:

مَا أَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ

"(Al-Jamaah) ialah sesiapa yang seperti aku sekarang dan para sahabatku”.
[11]

Hadis ini menjelaskan bahawa sifat al-Jamaah ialah yang menyerupai sifat jamaahnya baginda dan jamaahnya para sahabat dalam semua aspek, iaitu memegang dengan kuat dan erat setiap kebenaran yang didatangkan oleh Allah dan Rasulnya serta menggigitnya dengan gigi garham, kerana al-Jamaah akan sentiasa wujud sehingga ke Hari Kiamat.

Ibnu Masoud radiallahu ‘anhu pernah menjelaskan bagaimana mengenal dan memilih al-Jamaah. Beliau juga telah menjelaskan tentang maksud al-Jamaah yang sebenar:

إِذَا فَسَدَتِ الْجَمَاعَ ، فَعَلَيْكَ بِمَا كَانَتْ عَلَيْهِ الْجَمَاعَةُ قَبْلَ أَنْ تَفْسَدَ وَأَنَّ الْجَمَاعَةَ مَا وَفَقَ الْحَق وَإِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ.
"Apabila (semua) jamaah yang ada telah rosak, maka kembalilah kepada al-Jamaah yang belum rosak. Sesungguhnya al-Jamaah ialah apabila mengikuti kebenaran sekalipun engkau seorang diri”.
[12]

Ternyata para sahabat sentiasa mengikuti kebenaran.
[13] Kebenaran adalah al-Quran dan as-Sunnah kerana Allah ‘Azza wa-Jalla berfirman:

اَلْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلاَ تَكُوْنَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِيْنَ

"Kebenaran itu adalah dari Tuhanmu, oleh itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu".
[14]

Terjadinya perpecahan dan permusuhan kebiasaannya berpunca apabila tertubuhnya sebuah jamaah baru yang menamakan jamaahnya sebagai jamaah Islam, seperti Ikhwanul Muslimin yang layak digelar Ikhwanul Muflisin kerana firqah ini tidak mengenal hakikat kebenaran yang dikehendaki oleh syara sehingga meninggalkannya dan digantikan dengan fahaman serta ideologi yang lain yang mereka cipta sendiri.

Di dalam Islam tidak memerlukan jamaah yang baru selain al-Jamaah yang digariskan oleh Rasulullah, kerana setiap kali muncul jamaah baru, ia akan memiliki perbezaan karakteristik tersendiri dengan jamaah-jamaah yang telah sedia ada. Walaupun antara jamaah-jamaah ini mendakwa mempunyai tujuan yang sama, namun perbezaan manhaj akan mendorong anggota sesebuah jamaah melakukan berbagai-bagai tindakan. Ada yang bertindak sehingga mencemarkan agama. Ada pula yang bertindak ganas terhadap yang lain apabila didapati membahayakan gerakan jamaahnya, sebagaimana yang berlaku di Iraq, Palestin dan di negara-negara Islam yang lain. Perasaan tidak puas hati dengan tindakan jamaah yang lain menyebabkan perpecahan, perpecahan pula sering menimbulkan kerosakan, pembunuhan dan akhirnya terciptanya kejadian pengeboman berani mati antara sesama Islam walaupun pada mulanya ingin dilakukan terhadap kaum kuffar.

Oleh itu penyakit perpecahan dan keganasan perlu dirawat dengan manhaj yang betul. Bukan merawatnya dengan fatwa, pemikiran atau pandangan para tokoh Ikhwanul Muslimin, kerana ajaran merekalah antara punca penyebab perpecahan dalam umat Islam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Nasruddin al-Albani rahimahullah dan Syeikh Abdul Aziz bin Bazz rahimahullah. Kenyataannya, hanya manhaj Salaf as-Soleh sahaja yang selamat dan mampu mengendurkan dan kemudian menghapuskan perpecahan. Hanya manhaj Salaf as-Soleh sahaja yang benar-benar dapat menghilangkan rasa permusuhan yang menimpa sesama Jamaah Islam yang akhirnya insya Allah menyatukan mereka dalam al-Jamaah yang sebenar.


[1] . al-Hasyr 59:2.
[2] . al-Anfal: 8:60.
[3] . al-Baqarah. 2:207.
[4] . Ali Imran. 3:110.
[5] . Allah berfirman: وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً للْعَالَمِيْنَ “Dan tidaklah Kami utus
(engkau wahai Muhammad!) kecuali sebagai rahmat bagi
sekalian alam”. Al-Anbia. 21:107.
[6]. Rasulullah bersabda: إِنَّ الرِّفْقَ لاَ يَكُوْنُ فِيْ شَيْءٍ إِلاَّ زَانَهُ وَلاَ يُنْزَعُ مِنْ شَيْءٍ إِلاَّ شَانَهُ
“Sesungguhnya kesopanan/kelemah-lembutan jika ada pada
sesuatu, maka ia akan menghiasinya, jika tidak ada pada
sesuatu maka ia akan cacat” H/R Muslim. Bab Fadlul Rifq No
2594.
[7] . Ali Imran. 3:103.
[8]. Abu Muhammad al-Yamani ialah ulama kurun keenam hijrah.
[9]. Lihat: عقائد الثلات والسبعين فرقة Jld. 1 hlm. 10. Abi Muhammad al
Yamani. Tahkik Muhammad bin Abdullah Zarban al-Gamidi.
[10]. H/R Ibn Majah (2/1322). Hadis ini telah disahihkan oleh al-Haitami dalam
(الزوائد). Disahihkan juga oleh al-Iraqi di dalam (تلخيص الاحياء).
[11]. Lihat: H/R Turmizi. (تحفة الاحوذى) (7/399-240).
[12] . Lihat: اعلام الموقعين 3/307. Ibnu Qaiyim.
[13]. Lihat: شرح السنة Hlm. 22. al-Barbahari.
[14] . al-Baqarah. 2:147.