Monday

47 - Muwazanah

Muwazanah

Erti atau makna muwazanah (موازنة) secara bahasa ialah: “Penilaian Seimbang”. Namun maksud yang dikehendaki oleh pencetus manhaj ini ialah: Apabila mengkritik tentang keburukan atau kesalahan seseorang wajib disebutkan juga kebaikan-kebaikannya agar bermuwazanah.

Para ulama Salaf as-Soleh tidak menerima secara mutlak dan tidak menolak secara mutlak akan prinsip muwazanah, keranaa muwazanah termasuk bab al-Insaf (الانصاف) atau ‘adl.

Tetapi kenyataan sebenar dari penggunaan kalimah (Muwazanah) ia menjadi benar-benar bid’ah setelah disalahguna oleh golongan ahli bid’ah, kemudian dijadikan alat untuk mencapai matlamat dan kepentingan oleh mereka yang gemar mengambil kesempatan seperti golongan Ikhwanul Muslimin dan yang sealiran dengannya. Mereka mendefinisikan muwazanah secara hawa nafsu dan pertimbangan akal. Muwazanah menurut kehendak mereka ialah:

“Apabila menilai, mengkritik atau mengomentar seseorang individu atau jamaah tentang keburukannya, maka wajib ada muwazanah iaitu (menimbang) sudut kebaikannya dengan menyebut kebaikannya di samping muwazanah (menimbang) sudut keburukannya, supaya berlaku adil dan tidak berlaku zalim. Sama ada bermuwazanah pada hasil tulisan seperti kitab, makalah, ceramah, sikap, amalan atau sebagainya”.

Manhaj muwazanah yang seperti ini adalah manhaj yang bid’ah kerana ia sangat asing, malah ternyata amat bertentangan dengan manhaj Salaf as-Soleh. Muwazanah telah menjadi manhaj baru kepada ahli bid’ah dan kepada orang-orang yang gemar membela bid’ah seperti kelompok Khawarij dan golongan hizbiyah. Golongan pertama yang menyerukan “Muwazanah” ialah Yayasan al-Hikmah, Ikhwanul Muslimin, Sururiyun
[1] orang-orang yang sealiran dengan mereka, yang bertaklid buta dan para pengekor mereka termasuk yang berada di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Manhaj muwazanah perlu dibenteras kerana orang-orang yang bepegang dengan manhaj yang bid’ah ini mewajibkan agar bermuwazanah (menilai dengan seimbang) ketika membantah, mentahzir, menjarh atau mengkritik individu atau jamaah walaupun yang dikritik ternyata dan benar-benar terbukti seorang yang fasik, ahli bid’ah, kufur, syirik atau mulhid.

Muwazanah sering diguna dan dimaksudkan juga:

“Apabila mengkritik apapun perkara mestilah dipaparkan juga kebaikannya di samping keburukannya. Sama ada yang diperkatakan atau dikritik berupa tulisan, ucapan, perbuatan dan sebagainya”.

Menurut Syeikh Soleh bin Fauzan bin Abdullah al-Fauzan hafizahullah:

اذا كان الْمنتَقَد من اهل السنة والجماعة ، واخطاؤه فى الامور التي لا تخِلّ بالعقيدة ، فنعم ، هذا تُذكر ميزاته وحسناته ، وتُغمر زلاته فى نصرته للسنة.

“Apabila yang dikritik itu Ahli Sunnah wal-Jamaah dan kesalahannya dalam perkara yang tidak berkaitan dengan masalah akidah. Ya, sewajarnya disebut keistimewaan dan kebaikannya dan ditutup ketergelincirannya kerana pembelaannya terhadap sunnah!”.
[2]

Beliau berkata lagi:

وَاَمَّا اذا كان المردود عليه من اهل السنة والجماعة فان الردَّ يكون بادب ، وينبَّه على اغلاطه التى تكون فى مسائل الفقه ومسائل الاستنباط والاجتهاد فنقول : فلان اخطا فى كذا والصواب كذا بالدليل غفر الله له ، وهكذا اجتهاده ، وهكذا كما كانت الردود بين الفقهاء من المذاهب الاربعة وغيرهم ، وهكذا لا بقدح فى مكانته العلمية اذا كان من اهل السنة والجماعة. واهل السنة والجماعة ليسوا معصومين ، عندهم اخاء وقد يفوت احدهم الدليل او اختلال الاستنباط ، فلا نسكت على الخطأ وانما نبينه مع الاعتذار عنه. لِقَوْلِ النبي صَلَّى اللهُ عليه وسلم :

“Sedangkan apabila yang dikritik itu adalah Ahli Sunnah wal-Jamaah, maka sesungguhnya dalam mengkritik harus menggunakan adab-sopan. Kemudian menjelaskan kesalahannya yang berkaitan dengan masalah-masalah fiqh, masalah istimbat dan ijtihad. Maka kita mengatakan: Si Fulan silap pada perkara ini dan Si Fulan benar dalam perkara ini dengan berdalil sehingga diampunkan Allah kesalahannya. Beginilah bantah-membantah di kalangan fuqaha antara imam yang empat dan selain mereka. Ini dalam masalah-masalah fiqh. Dan ini tidak tercela secara ilmiyah. Ahli Sunnah wal-Jamaah tidak maksum. Mereka mempunyai kekeliruan-kekeliruan, kadang-kadang mereka belum mendaptkan dalil atau salah istimbat. Maka kita jelaskan kesalahannya dan tidak diam atas hal ini. Kemudian kita memberi uzur kepadanya kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

اِذَا اجْتَهَدَ الْحَاكِمُ فَاَصَابَ فَلَهُ اَجْرَانِ ، وَاِنْ اجْتَهَدَ فَاَخْطَاَ فَلَهُ اَجْرٌ وَاحِدٌ.

“Apabila seorang hakim (mujtahid) telah berijtihad dan benar, maka baginya dua pahala. Apabila dia berijtihad dan salah maka baginya satu pahala”.
[3]

اما اذا كان فى مسائل العقيدة فانه لا يجوز لنا ان نمدح المضللين والمخلفين لأهل السنة والجماعة من : معتزلة ، وجهمية ، وزنادقة وملاحدة ، واناس مشبوهين فى هذا العصر وما اكثرهم.

“Adapun apabila sesuatu yang berkaitan dengan masalah-masalah akidah, maka sesungguhnya tidak dibenarkan bagi kita memuji-muji para penyesat dan para penyimpang dari Ahli Sunnah wal-Jamaah, seperti Muktazilah, Jahmiyah, Zanadiqah dan Mulahadah. Dan dewasa ini alangkah ramainya manusia yang tergelincir (lantaran masalah yang ditimbulkan oleh para penyesat akidah. Pent.)”.

Di dalam kenyataan Syeikh Soleh bin al-Fauzan di atas di dinyatakan: “Maka sesungguhnya tidak dibenarkan bagi kita memuji-muji para penyesat dan para penyimpang dari Ahli Sunnah wal-Jamaah”. Persoalannya, apakah boleh bermuwazanah terhadap tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin setelah jelas menyelewengkan akidah mereka? Terutama yang telah terbukti penyelewengan mereka melalui tulisan, kenyataannya dalam akhbar, terakam dalam keset, CD, DVD, MP3 dan sebagainya? Fahamilah apa yang dijelaskan oleh Syeikh Soleh Fauzan tentang bermuwazanah terhadap para pembuat bid’ah dan para penyeleweng akidah:

اَمَّا اذا كان المنتَقَد من اهل الضلال ، ومن اهل الانحراف ومن اهل المبادئ الهدَّامة او المشبوهة ، فهذا لايجوز لنا ان نذكر حسناته ان كان له حسنات.
“Oleh kerana itu jika yang dikritik dari golongan para penyesat, golongan penyeleweng dan golongan pencipta prinsip-prinsip yang menghancurkan serta syubhat, maka ini tidak boleh bagi kita menyebutkan kebaikan-kebaikannya walaupun sekiranya dia mempunyai banyak kebaikan”.
[4]

Selanjutnya Syeikh Soleh al-Fauzan menjelaskan:

لأننا اذا ذكرناها فان هذا يغرر بالناس ، فيحسنون الظن بهذا الضال ، او المبتدع ، او هذا الخرافى ، او الحزبي ، فيقبلون افكار هذا الضال ، او هذا المبتدع ، او ذاك المتحزب.

“Jika sekiaranya kita menyebutkan kebaikan-kebaikannya, maka ini bererti kita menipu manusia, sehingga mereka bersangka baik (فيحسنون الظن) kepada penyesat ini atau ahli bid’ah atau ahli khurafat atau orang-orang yang suka kepada hizbi. Mereka (orang awam. Pent.) akan menerima buah fikiran penyesat, ahli bid’ah atau (orang-orang) hizbi tersebut”.
[5]

Begitulah yang ulama Salaf lakukan terhadap para pemimpin dan tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin seperti Yusuf al-Qaradhawi, Hasan al-Banna dan yang lain-lainnya. Tindakan para ulama Salaf bukan bertujuan untuk menjatuhkan atau memburuk-burukkan ketokohan para pemimpin Ikhwanul Muslimin, tetapi untuk menyedarkan dan menyelamatkan umat agar tidak terpengaruh dengan kenyataan, tulisan dan seruan dakwah mereka yang menyeleweng demi menyelamatkan akidah mereka. Begitu juga agar ditinggalkan dan dihapuskan kebatilan tersebut yang telah tersebar.

Tidak ada walaupun sedikit kebaikan bagi sesiapa yang membongkar kemungkaran dan penyelewengan akidah tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin jika tiada sebab yang mewajibkan. Kebaikan yang diharapkan oleh para pengkritik Salafi ialah agar para tokoh yang telah meninggal dunia dapat kerahmatan kerana telah diperbetulkan kesilapan mereka. Ini bermakna sesiapa yang menghalang, samalah seperti menghalang orang yang mahu menyelamatkan umat dari kesesatan akidah dan menghalang dari usaha-usaha kebaikan.

Antara kebaikan tindakan ulama Salaf membongkar kemungkaran dan penyelewengan akidah para tokoh Ikhwanul Muslimin ialah untuk membantu para tokoh tersebut terutamanya yang telah meninggal dunia dengan cara membetulkan kesilapan dan penyelewengan akidah mereka yang kami andaikan (berbaik sangka) bahawa mereka tidak melakukannya dengan sengaja.

Begitu juga ketegasan para ulama Salaf as-Soleh yang tiada bermuwazanah terhadap mereka yang telah ditahzir, dijarh atau yang sudah dikenali sebagai ahli bid’ah seperti kaum-kaum hizbi, ghulat, sesat, sufi dan yang seumpamanya. Semuanya ini dilakukan demi untuk menyelamatkan umat dari berbagai bid’ah, kesesatan dan kesyirikan serta membetulkan kesilapan tulisan-tulisan mereka terutama yang telah meninggal dunia.



Fahaman Muwazanah

Sebagaimana yang telah dijelaskan, bahawa menurut fahaman atau manhaj muwazanah yang dipertahankan dan telah disebar luaskan oleh Ikhwanul Muslimin, bahawa muwazanah bermaksud:

“Apabila mengkritik seseorang, tidak boleh menilai hanya di sudut (sisi) keburukan dan kesalahannya sahaja, ia perlu bermuwazanah (menimbang) pada kebaikannya agar seimbang”.

Menurut para pemikir Ikhwanul Muslimin dan para pentaklidnya bahawa kedua-duanya (mengkritik dan menimbang kebaikan) tidak boleh dipisahkan, iaitu:

“Apabila menegur keburukan seseorang maka kebaikannya juga wajib ditonjolkan bersama, sama ada individu atau kelompok tersebut terdiri dari ahli bid’ah, munafik, fasik, kafir, Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

Teori atau pendapat di atas ini, seolah-olah kebaikan seseorang boleh menghapuskan kesesatan dan bid’ah pelakunya, walaupun pelakunya tidak pernah bertaubat dari kesesatan atau kebatilannya. Inilah manhaj yang bid’ah dan bertentangan dengan manhaj para Salaf as-Soleh. Fahaman muwazanah yang disangka aliran pasca modenisma agama wajib ditentang dan dihapuskan oleh para ahli ilmu kerana ia adalah gerakan yang batil dan mungkar.

Gerakan muwazanah yang dicipta dan dipertahankan oleh puak-puak Ikhwanul Muslimin adalah penipuan yang berselindung atas nama agama atau pengistilahan ilmu fiqh. Sedangkan menurut manhaj para aimmah Salaf as-Soleh, adalah wajib menyebut dan mengkritik keburukannya sahaja, tidak pula dihalalkan dan diberi ruang untuk menyebut sedikitpun kebaikannya selagi individu yang ditahzir dan dijarh tidak mahu bertaubat dari kesesatan akidahnya dan tidak meninggalkan bid’ah yang sedang dilakukan.

Allah Subhanahu wa-Ta’ala apabila membantah keburukan orang-orang kafir dan mereka yang rosak akidahnya Dia tidak pernah menyebut apapun kebaikan mereka, kerana kerosakan akidah (kesyirkan) mereka telah menghapus segala kebaikannya. Sebagaimana firmannya:

وَلَوْ أَشْرَكُوْا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَّاكَانُوْا يَعْمَلُوْنَ

“Seandainya mereka mempersekutukan Allah, nescaya hapuslah dari mereka apa yang telah mereka kerjakan”.
[6]

وَلَقَدْ أُوْحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُوْنََنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ.

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu, jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya hapuslah amalanmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi”.
[7]

Demikian juga peranan para ulama Salaf as-Soleh dalam mentahzir, menjarh, membantah dan mengkritik orang-orang yang sudah jelas telah rosak akidahnya yang terbukti kerosakan akidah mereka melalui catitan yang tertulis di dalam kita-kitab mereka, maka segala kebaikan seseorang tertutup dan hapus lantaran kesesatan, kekufuran, penyimpangan akidah dan kenifakannya. Amalan dan manhaj Salaf inilah yang dipilih dan dipertahankan oleh Imam Ahmad rahimahullah sebagaimana ternyata pada jawapan beliau ketika ditanya:
قَالَ مُحَمَّدُ بْنُ بَنْدَار الْجرْجَانِي للا مَامِ اَحْمَد : اِنَّهُ لَيَشْتَدُّ عَلَيَّ اَنْ اَقُوْلَ : فُلاَنٌ كَذَا وَفُلاَنٌ كَذَا ، فَقَالَ اَحْمَدُ : اِذَا سَكَتَّ اَنْتَ وَسَكَتُّ اَنَا , فَمَتَى يَعْرِفُ الْجَاهِلُ الصَّحِيْحَ مِنَ السَّقِيْمِ ؟

“Telah bertanya Muhammad bin Bandar al-Jurjani kepada Imam Ahmad: Sesungguhnya amat berat bagiku untuk mengatakan: Si Fulan itu begini dan Si Fulan itu begini. Maka berkata Imam Ahmad: Jika engkau mendiamkan diri dan aku mendiamkan diri maka bila Si Jahil akan mengetahui yang benar dan yang keji (yang berpenyakit di hatinya)?”.
[8]

Imam Ahmad rahimahullah dengan ketegasannya tidak segan silu menggelar dan menjarh seseorang ahli bid’ah jika sudah jelas bid’ahnya. Beliau tidak menyebut langsung tentang kebaikannya sedikitpun kerana segala kebaikannya terhapus oleh kesesatan dan bid’ahnya. Beliau pernah ditanya berkenaan ahli bid’ah yang menyesatkan ummah iaitu Husain al-Karabisi, maka beliau menjawab kepada Si Penanya:
هُوَ مُبْتَدِعٌ
“Dia Ahli Bid’ah”.
[9]

Di jalur yang lain Imam Ahmad bertegas:

اِيَّاك ، اِيَّاكَ وَحُسَيْنُ الْكَرَابِيْسِي ، لاَ تُكلّمهُ ، وَلاَ تكلم مَنْ يُكَلِّمَهُ

“Hati-hati, hati-hatilah kamu terhadap Husain al-Karabisi, janganlah engkau bercakap dengannya! Janganlah engkau bercakap dengan orang yang berbual dengannya”.
[10]

Abu Zur’ah rahimahullah juga telah menjarh dan menjelaskan tentang kesesatan dan bid’ahnya al-Harith al-Mahasibi agar umat menjauhi beliau dan meninggalkan kitab-kitabnya. Abu Zur’ah berkata:

اِيَّاكَ وَهَذَهِ الْكُتُبُ ، هَذِهِ كُتُبٌ بِدْعٌ وَضَلاَلَةٌ ، فَعَلَيْك بِالأَثَرِ.

“Hendaklah kamu berhati-hati terhadap buku-buku ini, buku-buku (kitab-kitab) ini bid’ah dan sesat, maka wajib bagi kamu berpegang kepada athar”.
[11]
Bagaimana pula dengan tokoh-tokoh serta para pemimpin Ikhwanul Muslimin yang telah dijarh dan dijelaskan kesesatan akidahnya oleh para ulama Salaf? Apakah mereka yang berfahaman Sufi Kuburi, Asy’ari al-Maturidi (Muktazili), Wahdatul Wujud dan berfahaman Khawarij boleh diangkat, bermuwazanah dan berwala’ sedangkan berbagai-bagai kesesatan bid’ah-bid’ah masih mereka amalkan kemudian mereka sebar dan pertahankan? Atau berbara’ terhadap mereka sebagaimana kaedah yang di contohkan oleh Imam Ahmad rahimahullah?




[1]. Lihat:إعلام اخوان بما قاله المحدث العلامة مقبل الوادعي أبوعبدالرحمن في الداعية عبدالرحمن عبدالخالق وجمعيته ومجلتة الفرقان
[2] . Lihat: الاجوبة المفيدة عن اسئلة المناهج الجديدة hlm 29. Soleh bin Fauzan al-Fauzan.
Darus Salaf.
[3] . H/R Bukhari. 6919. Dan Muslim. 1718.
[4] . Ibid.
[5] . Ibid.
[6] . Al-An’am, 6:88.
[7] . Az-Zumar, 39:65.
[8] . Lihat: مجموع الفتاوى 28/231. Ibnu Taimiyah. Lihat: شرح علل الترمزي 1/350.
[9] . Lihat: تاريخ بغداد 8/65-66.
[10] . Ibid.
[11] . Lihat: (1). الاجوبة المفيدة عن اسئلة المناهج الجديدة hlm. 13. Soleh bin Fauzan.
(2). at-Tahzib. 2/117.