Monday

46 - Fiqhul Waqi’ Menurut Hizbiyah

Fiqhul Waqi’ Menurut Hizbiyah

Fiqhul waqi’ (فقه الواقع) yang dikenal juga dengan sebutan fiqh keutamaan, fiqhul aulawiyaat (فقه الاولويات) atau fiqh priority, menurut pandangan para tokoh Ikhwanul Muslimin dan orang-orang haraki (harakiyun/orang-orang yang bergerak dalam gerakan kelompok hizbiyah) termasuklah Hizbut Tahrir dan yang sealiran dengan mereka, maka mereka memahami sebagai ilmu tentang situasi, kondisi, keadaan dan kejadian semasa yang ditekankan terutamanya dalam soal-soal politik secara yang berlebih-lebihan.

Dijadikan fiqhul waqi’ ini oleh mereka sebagai manhaj dakwah, manhaj tarbiyah dan dianggap lebih penting dari persoalan akidah dan solat. Sehingga ada suara-suara mereka yang berpegang dengan teori fiqhul waqi’ haraki ini mengatakan tanpa segan silu bahawa:

“Golongan ulama Salaf hanya sibuk dengan tauhid, syirik, janggut, isbal, sunnah dan bid’ah tetapi tidak tahu tentang fiqhul waqi’. Bagaimana dan bila mereka boleh maju?”

Mereka menyuarakan lagi:

“Jangan sibukkan umat ini dengan riwayat-riwayat hadis, serukanlah kepada mereka tentang fiqhul waqi’ yang berdaya maju”.

Golongan hizbi haraki antaranya golongan Ikhwanul Muslimin, menghidupkan dan memperjuangkan fahaman fiqhul waqi’ yang dilarikan dari kehendak syara supaya umat Islam mengeratkan fikiran mereka dengan sumber-sumber media informasi agar hanya mengetahui waqi’ul ummah (masyarakat) dan pergolakannya. Buktinya ialah mereka amat menitik-beratkan persoalan media hebahan dan mengajak masyarakat Islam memberi penumpuan kepadanya sedangkan mereka masih bodoh dalam persoalan agama terutamanya akidah dan tauhid.

Mereka lupa bahawa semua media utama di dunia telah dikuasai oleh kaum kuffar (terutamanya Yahudi dan Nasrani) yang menggunakan media untuk membohongi, menipu, memerangi, memecah-belah dan menghancurkan umat Islam, akidah, ibadah dan akhlak mereka.

Golongan hizbi yang melaungkan fiqhul waqi’ sewajarnya menyedari bahawa khabar dari media kuffar dan orang-orang fasik tidak dapat dipastikan kebenarnnya. Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman agar berjaga-jaga dari berita yang didatangkan oleh mereka. Firman Allah:

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اِنْ جَآءَ كُمْ فَاسِقٌ بِنَبَاءٍ فَتَبَيَّنُوْا.

“Wahai orang-orang yang beriman, bila datang kepada kamu orang fasik dengan membawa berita, maka periksalah!”.
[1]

Dibeberapa kelas-kelas pengajian, di majlis-majlis kuliah atau muhadharah yang penulis terlibat di dalamnya, sama ada di Arab Saudi, Malaysia, Indonesia, Thailand atau di Singapura, kerap ditanyakan tentang Negara Islam, Khawarij, hizbi, tauhid hakimiyah, fiqhul waqi’ (fiqhul aulawiyat) dan sekarang pula sering ditanyakan tentang mazhab atau manhaj muwazanah.

Alhamdulillah, melalui tulisan ringkas ini penulis mampu memperjelas definisi serta maksud muwazanah yang digembar-gemburkan oleh golongan haraki, hizbi dan hizbi Ikhwani (Ikhwanul Muslimin). Hakikat muwazanah wajib diketahui oleh setiap Ahli Sunnah wal-Jamaah, terutama para pelajar (para penuntut ilmu kebenaran) dan mereka yang berpegang dengan manhaj Salaf agar tidak diperangkap iblis (ditalbis iblis-تلبيس ابليس) melalui teori muwazanah yang jelas bid’ahnya.

Muwazanah termasuk perkara-perkara batil dan syubhat yang muncul diakhir zaman. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam diakhir zaman akan dipenuhi oleh kemungkaran dan umat Islam digelumangi serta dibelenggu oleh berbagai-bagai syubhat, khurafat, bid’ah yang sesat dan kesyirikan. Dengan niat untuk membenteras dan menjauhkan umat yang mencintai sunnah dari diperangkap oleh iblis dan syaitan serta penipuannya melalui manhaj muwazanah, maka dengan berkat dan inayah Allah Subhanahu wa-Ta’ala usaha untuk menjelaskan bid’ah dan batilnya manhaj muwazanah ini dapat diselesaikan. Ikutilah tulisan ini yang memperjelas hakikat mazhab Muwazanah.



[1] . al-Hujuraat, 6.