Monday

05- Mustafa As-Siba’i

Mustafa As-Siba’i

Dia adalah seorang pemimpin umum Ikhwanul Muslimin di Syiria. Dikenali sebagai seorang yang berakidah sufi sebagaimana mursyidnya Hasan al-Banna. Beliau sering melakukan acara-acara bid’ah yang diamalkan oleh penganut sufi yang diwarisi dari mursyidnya atau dari kalangan syeikh-syeikh tariqat kesufian. Antara petanda bahawa Mustafa as-Siba’i seorang sufi yang menghidupkan amalan kuburi ialah apabila tersingkap kata-kata syirik di dalam syairnya:

يَاسَيِّدِيْ يَاحَبِيْبَ اللهِ جِئْتُ إِلَى * أَعْتَابِ بَابِكَ أَشْكُوْ الْبِرْحَ مِنْ سَقَمِيْ

“Wahai tuanku, wahai kekasih Allah, aku telah datang di hadapan * Ambang pintumu, aku mengadukan penderitaanku yang dari berpunca penyakitku”.
[1]

Jelas dari syair tersebut bahawa Mustafa as-Siba’i telah beristighasah (meminta pertolongan) kepada orang yang sudah wafat (mati). Perbuatan seperti ini hendaklah dijauhi kerana telah disepakati oleh Imam as-Syafie, Maliki, Hambali, Hanafi, Ibnu Taimiyah, Ibn Qaiyim dan para barisan ulama Salaf as-Soleh tentang haram dan syiriknya perbuatan beristighasah kepada kuburan sekalipun kubur para wali, nabi atau rasul.

Mungkin ada yang menyangka bahawa Mustafa as-Syiba’i melakukannya diawal gerakannya tetapi sebenarnya dia beristighasah di hujung hayatnya dan berterusan sehinggalah beliau meninggal dunia. Semoga Allah melapangkan kuburnya, mengampuni setiap dosa kesalahannya serta merahamatinya.

Di dalam buku yang dipenuhi pembohongan, putar belit, kecurangan ilmu dan jenayah ilmiyah (Al-Ikhwnul Muslimun Anugerah Allah Terzalimi),
[2] terisi hujah-hujuh tumpul bertujuan mempertahan Ikhwanul Muslimin dan para tokohnya, yang mana penulis cuba mempertahankan bahawa tawassul adalah bukan persoalan akidah tetapi persoalan fiqhiyah.

Tidak dibawakan walau sepotong ayat al-Quran, hanya dibawakan hadis sahih tetapi amat dikesali beliau menyalah-gunakan hadis ketika mempertahankan tawassulnya Hasan al-Banna serta tokoh-tokoh dalam jamaahnya, kerana sahabat yang bertawassul dengan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam mereka bertawassul diketika Nabi masih hidup atau bertawassul dengan sahabat sebagaimana Umar bin al-Khattab radiallahu ‘anhu bertawassul kepada Abbas radiallahu ‘anhu yang Abbas juga masih hidup.

Dibawakan juga oleh penulis pendapat para ulama yang tidak ditunjukkan rujukannya kecuali merujuk kepada tokoh Ikhwanul Muslim antaranya Yusuf al-Qaradhawi seorang anak murid Hasan al-Banna yang pasti hanya mempertahankan syeikhnya. Malah jika dibaca dan diteliti tulisannya menunjukkan Si Penulis masih jahil dalam persoalan tawassul. Contohnya dibawakan fatwa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah: “Tidak apa-apa bertawassul dengan orang-orang soleh”.
[3] Walaupun disebutkan nama kitabnya, malangnya tidak disebutkan halamannya (muka suratnya). Jika penulis jujur dan mampu membaca keseluruhan fatwa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, pasti penulis menolak amalan tawassul gaya Hasan al-Banna dan para tokoh jamaahnya, kerana Muhammad bin Abdul Wahhab hanya membolehkan bertawassul kepada orang yang masih hidup, beliau mengharamkan bertawassul kepada orang yang telah mati sama ada orang yang mati tersebut para nabi, rasul, wali atau orang-orang soleh.

Begitu juga jika diteliti dan disemak semua kitab-kitab tulisan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah, Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah dan Syeikh Muhammad Nasruddin al-Albani rahimahullah yang dijadikan hujah oleh penulis untuk menghalalkan bertawassul, ternyata mereka semua memasukkan persoalan tawassul ke dalam bab akidah dan hanya membolehkan bertawassul dengan nama-nama Allah yang husna, amal soleh, kepada orang Islam yang masih hidup atau melalui doa orang-orang soleh, tetapi mereka semua mengharamkan bertawassul dengan orang yang telah mati sebagaimana fatwanya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab.




[1] . Lihat: Majalah “Hadharatul Islam”. Edisi 4 dan 5. Jamadil Akhir dan Sya’ban.
1384 H. Iaitu liputan khusus sempena kematian Mustafa as-Siba’i.
[2] . Lihat: Al-Ikhwanul Muslimun Anugerah Allah Yang Terzalimi. Hlm. 154-155.
Farid Nu’man.
[3] . Ibid.