Berdemonstrasi Menyerupai Orang-Orang Kafir
Sangat dikesalkan di mana perbuatan berdemonstrasi ditiru juga oleh para aktivis Islam. Mengapa mereka melakukan hal demikian? Di mana ciri-ciri keIslaman mereka? Atas dasar apa mereka melakukannya? Apakah berdasarkan syubhat (kekaburan pemahaman) terhadap syariah? Mereka (penunjuk perasaan) yang beragama Islam tidak sedar bahawa mereka telah melakukan perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam junjungan mereka, kerana perbuatan tersebut menyerupai perbuatan orang-orang kafir. Baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengkhabarkan:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ.
“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka mereka termasuk kaum tersebut.”
Demonstrasi termasuk tasyabbuh terhadap orang kafir. Telah diterangkan oleh Syeikh al-Albani rahimahullah tatkala seorang bertanya kepada beliau: “Apa hukumnya demonstrasi, misalnya para remaja lelaki ataupun perempuan keluar ke jalan-jalan? Beliau bertanya: Para perempuan juga? Penanya menjawab: Benar, sungguh ini benar telah terjadi! Syeikh berkata: Masya Allah! Penanya berkata: Mereka keluar ke jalan-jalan dalam rangka membentang sebahagian permasalahan yang dituntut atau menentang pemerintahan oleh orang yang mereka anggap taghut, atau menagih apa yang mereka tuntut dari parti-parti politik yang bertentangan dengan mereka. Apa hukumnya perbuatan ini? Syeikh menjawab: Aku katakan – wabillahi taufiq - jawaban dari soalan ini termasuk pada kaedah dalam sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang dikeluarkan oleh Abu Daud di dalam Sunnannya. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
“Aku diutus dengan pedang diketika hampirnya hari kiamat sehinggalah hanya Allahlah yang disembah, tidak ada sekutu bagiNya. Dan Allah menjadikan rezekiku di bawah naungan tombak, dijadikan kerendahan dan kekerdilan atas orang yang menentang pemerintah. Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum maka dia termasuk kaum mereka”.
Yang dijadikan dalil dari ucapan baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam ini adalah perkataan:
“Barangsiapa yang (tasyabbuh) menyerupai suatu kaum maka dia termasuk kaum mereka.”
Tasyabbuh (penyerupaan) kepada orang kafir tidak pernah dibolehkan dalam Islam. Tasyabbuh ada beberapa tingkatan di segi hukum. Tertinggi adalah haram dan terendah adalah makruh. Permasalahan ini sudah diterangkan secara terperinci oleh Syeikhul Islam (Ibn Taimiyah rahimahullah) di dalam kitabnya Iqtida’ Siratal Mustaqim Mukha lafata Ashabil Jahim. Perlu diperingatkan agar talibul ilmi (pencari ilmu) memperhatikannya agar tidak menyangka bahawa hanya tasyabbuh berdemonstrasi sahaja yang dilarang oleh syariat.
Antara cara tasyabbuh kepada orang kafir adalah melaksanakan kesukaan mereka. Adapun menyelisihi orang kafir antaranya tidak menyerupai mereka pada apa yang kita dan mereka ada tetapi mereka tidak merubahnya. Seperti sesuatu ketetapan yang makhluk tidak mampu merubahnya kerana sunnahtullah Tabaraka wa Ta’ala kepada manusia dan sunnahtullah tidak akan berubah. Sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
“Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mencelup rambut-rambut mereka, maka selisihi mereka (diulang dua kali).”
Sesungguhnya sunnahtullah seorang mungkin menyerupai orang kafir dalam hal uban. Kita tidak menemui seorang muslim yang tidak beruban kecuali sangat sedikit. Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang menyerupai kaum musyrikin sehinggalah diperintah agar mencelup ubannya, sama ada pada rambut, janggut atau kepala agar dengan celupan tersebut nampak perbezaan antara muslim dan kafir. Tetapi di segi amalinya apabila seorang kafir mengerjakan suatu amalan, lalu seorang muslim ikut melakukannya kerana terpengaruh dengan mereka ini adalah kesalahan yang amat besar.
Dalam masalah demonstrasi, saya (Nasruddin al-Albani) memperingatkannya jika telah diketahui larangannya kerana tasyabbuh, maka seorang muslim yang benar keIslamannya hendaklah menjauhi tasyabbuh dengan orang kafir. Kami mengambil istinbath demikian berdasar ucapan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: “Maka selisihilah mereka.” Kamu mengetahui hadis ini, “Bahawa Yahudi dan Nasara tidak mencelup rambut (uban) mereka, maka selisihilah mereka.” Sebagaimana yang diucapkan Syeikhul Islam dalam kitab Iktida.
Ucapan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: “Maka selisihilah mereka” merupakan hujah yang mengisyaratkan agar tidak bertasyabbuh dengan orang-orang kafir sebagaimana yang dikehendaki oleh as-Sami’ul ‘Alim (Allah Subhanahu wa Ta’ala).
Apabila hakikat ini telah difahami iaitu larangan tasyabbuh (demonstrasi) dan perintah menyelisihi kaum musyrikin agar mencelup uban, maka wajib bagi kita menjauhi setiap perilaku kesyirikan dan juga segala bentuk kekufuran. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
“Sesungguhnya kamu benar-benar akan mengikuti jalan-jalan yang ditempuh oleh orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, bahkan kalaupun mereka menyusuri atau masuk ke lubang biawak nescaya kamu pun akan memasukinya.”
Berita dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam ini mengandungi peringatan bagi umat ini. Dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam juga mengatakan dalam hadis mutawatir.
“Akan selalu ada dari umatku suatu kelompok yang menampakkan al-haq. Tidak membahayakan mereka orang yang menyelisihi mereka sampai datang Hari Kiamat.”
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah memberikan khabar gembira dalam hadis sahih ini bahawasanya umat ini terus dalam keadaan baik. Apabila mencontohi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di dalam merubah keadaan masyarakat, maka tidak ada dalam aturan Islam merubah keadaan masyarakat dengan cara bergerombol-gerombolan atau berteriak-teriak melalui demonstrasi.
Islam mengajarkan ketenangan, antaranya dengan mendidik dan mengajarkan ilmu di kalangan kaum muslimin di atas syariat Islam sampai berjaya walaupun harus mengambil masa yang sangat panjaang.
Dengan ini saya (Nasruddin al-Albani) katakan dengan ringkas, demostrasi yang terjadi di sebahagian negara Islam pada hakikatnya adalah penyimpangan dari jalan kaum mukminin dan tasyabbuh (menyerupai) golongan kafir. Sesungguhnya Allah telah berfirman:
“Barangsiapa yang menentang Rasul setelah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia berkuasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam neraka jahanam dan jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.” (an-Nisaa’)
Penanya bertanya lagi: Para penunjuk perasaan berdalih dengan Sirah bahawa setelah Umar radiallahu ‘anhu memeluk Islam, kaum muslimin serentak keluar, Umar pada suatu barisan sedang Hamzah di barisan lain. Maka mereka mengatakan: Inilah tunjuk perasaan untuk mengingkari taghut-taghut dan orang-orang kafir Quraisy. Bagaimanakah jawapan anda dengan dalil semacam ini?
Syeikh (al-Albani) menjawab: Jawapan terhadap pendalilan seperti itu adalah: Berapa kali demonstrasi ini terjadi pada masyarakat Islam? Hanya satu kali. Padahal Sirah termasuk sunnah yang diikuti. Menurut ulama fekah, jika sudah nyata dari Rasul sallallahu ‘alaihi wa-sallam sesuatu ibadah itu disunnahkan, maka akan diberi pahala orang yang melakukannya. Perlaksanaannya pula tidak boleh terus menerus tanpa putus kerana dikhuatirkan menyerupai perkara wajib.
Kebanyakan manusia kalau ada salah seorang muslim meninggalkan sunnah seperti ini, nescaya akan diingkari dengan keras, demikian menurut para ahli fekah. Maka bagaimana kalau ada suatu peristiwa yang sekilas terjadi pada waktu tertentu seperti disebutkan di dalam sirah di atas, kemudian dijadikan sunnah yang diikuti, bahkan dijadikan hujah untuk mendukung apa yang diperbuat oleh orang-orang kafir secara terus menerus, sedangkan kaum muslimin tidak secara mutlak melakukannya kecuali pada saat itu sahaja.
Kita menyedari kebanyakan pemerintahan melaksanakan hukum-ahkam yang keluar dari Islam. Ada orang dipenjarakan dengan zalim dan melampaui batas, maka bagaimana sikap kaum muslimin dalam hal ini? Rasul sallallahu ‘alaihi wa-sallam memerintahkan agar: “Wajibnya taat kepada pemerintah walaupun dia mengambil hartamu dan memukul punggungmu”. Namun kenyataannya demonstrasi bukanlah ketaatan kepada pemerintah seperti yang digariskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.
Inilah yang saya (al-Albani) khuatirkan tentang apa yang dinamakan “Kebangkitan suara kebenaran” bagaimana kita akan meredainya? Bagaimana mungkin suatu kebangkitan dengan perasaan, bukan dengan ilmu? Padahal ilmulah yang membezakan perkara itu dianggap baik atau buruk. Tidak diragukan kebangkitan ini lahir dari pemuda muslim setelah mereka “bangun dari tidur”. Akan tetapi kamu akan melihat mereka berjalan di atas jalan yang menunjukkan ketidak-gigihan mereka dalam menuntut ilmu Allah ‘Azza wa Jalla.
Kita tidak memperpanjangkan pembahasan. Cukuplah kita katakan pengambilan mereka terhadap dalil demonstrasi ini menunjukkan kebodohan mereka terhadap fiqh Islam. Kejadian yang sesaat ini terbetik pada diri saya dan saya teringat bahawa kejadian ini tercatit dalam sirah. Akan tetapi saya belum boleh mendapati sahih atau tidaknya saat ini. Jika riwayat ini sahih sanadnya dan ada salah seorang di antara kamu mendapati riwayat ini pada kitab-kitab hadis muktabar, tolong ingatkan saya. Sehingga saya boleh memeriksa barangkali riwayat tentang demonstrasi dalam sirah tersebut sahih. Maka kalaupun sahih, hanya dilakukan sekali sahaja. Jika terjadi hanya sekali sahaja, tentu tidak boleh dijadikan sunnah. Apalagi bila demonstrasi saat ini lebih sering dilakukan oleh orang-orang kafir yang seharusnya kaum muslimin meninggalkannya. Demonstrasi ini amalan oleh orang-orang kafir kemudian kita mengikutinya.
Ulama Hanafiyah telah membuat pijakan di dalam masalah fiqhiyah bahawasanya ada suatu masalah yang merupakan sunnah Muhammadiyah yang tidak sepatutnya ditinggalkan, iaitu sunnah membaca surah Sajadah pada pagi hari Jumaat (waktu solat subuh). Ini terdapat dalam Sahihain (Bukhari dan Muslim). Walaupun demikian ulama Hanafiah menganjurkan pada imam-imam masjid agar sesekali meninggalkannya, dikhuatirkan apabila terus menerus diamalkan di kalangan orang awam, akan mengangkat hukumnya keluar dari hukum asalnya iaitu dari sunnah menjadi wajib.
Kami mempunyai bukti yang mendukung ketelitian dalam fiqh dan pemahaman terhadap sunnah ini. Saya sangat ingat bahawasanya imam di masjid besar Damaskus iaitu masjid Bani Umaiyah, mengimani solat subuh di masjid tersebut dan dia tidak membaca surah Sajadah. Baru saja imam salam, tiba-tiba mereka membentak dan mendatangi imam tersebut seraya berkata: “Kenapa engkau tidak membaca surah Sajadah?” Kemudian ia menerangkan bahawa hal itu adalah sunnah, dan kadang-kadang dianjurkan untuk meninggalkannya. Kejadian ini terjadi kerana imam masjid mengamalkan amalan tersebut secara terus menerus dan berlangsung lama. Dan waktu itu ia tidak mengerjakan amalan tersebut.
Lebih aneh lagi yang terjadi pada diri saya. Pada suatu hari saya berada dalam perjalanan dari Damaskus, kira-kira 60 km ke Madhya. Maka dipagi Jumaat tersebut saya singgah di masjid untuk solat berjamaah bersama kaum muslimin di sana. Ketika itu imam tidak datang. Maka mereka mencari pengganti imam yang sesuai. Mereka tidak mendapati pengganti kecuali saya. Pada waktu itu saya masih muda dan janggut saya baru tumbuh. Dalam keadaan bingung, mereka menyuruh saya mengambil alih.
Saya belum menghafal surah Sajadah dengan baik, maka saya membaca surah Maryam. Saya membaca dua halaman awal. Tatkala saya takbir untuk rukuk, maka saya merasakan semua makmum telah sujud. Ini menunjukkan kerana apa? Kerana adat kebiasaan (iaitu mereka sujud tilawah kerana kebiasaan) dan bukan dengan ilmu.
Sewajarnya para imam menjaga keadaan masyarakatnya agar tidak ghulu (berlebihan) pada sebahagian hukum-ahkam. Lalu memberi penjelasan bahawa masalah syariat wajib untuk diambil dengan tanpa sikap keterlaluan hingga mengangkat darjat hukum sunnah menjadi wajib dan sebaliknya yang wajib menjadi sunnah.
Semua ini adalah ifrath dan tafrith yang tidak diperbolehkan. Inilah jawapan saya terhadap pendalilan yang menunjukkan atas kebodohan orang yang mengambil dalil (demonstrasi) dengannya. (Kaset Fatwa Jeddah no. 89980, pagi subuh, hari Ahad, 27 Jamadil Akhir 1410H).