Monday

22 - Yusuf al-Qaradhawi

Yusuf al-Qaradhawi

Yusuf bin Abdullah al-Qaradhawi dilahirkan pada tahun 1926M di desa Shafth Turab, Barat Mesir. Beliau mendapat pendidikan dan ilmu di al-Makatib, Madrasah Ibtidaiyah dan Ma’had Dini di al-Azhar. Berfahaman dan berakidah Asy’ariyah Sufiyah sekaligus Muktazilah Aklaniyiah. Sejak kecil disuap dengan kitab-kitab Sufi. Antaranya kitab karangan al-Ghazali, Ibnu Ujaibah dan selainnya, oleh itu beliau tidak menentang fahaman tasawuf termasuklah sufi falsafi sebagaimana pengakuannya.

Yusuf al-Qaradhawi bergabung dengan Ikhwanul Muslimin sejak di peringkat sekolah menengah bawah (ibtidaiyah). Beliau sangat terpengaruh dengan pemikiran Hasan al-Banna, Muhammad al-Ghazali dan para pembesar Hizbul Ikhwan yang lainnya.

Yusuf al-Qaradhawi dikenali dengan berbagai cetusan pemikirannya, itulah metod dakwahnya yang lebih banyak menggunakan rakyu atau menjurus kepada persoalan fiqhiyah. Dakwah Yusuf al-Qaradhawi tidak menepati uslub dakwahnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam kerana dakwah baginda dimulai dengan menyeru manusia kepada akidah seperti tauhid uluhiyah, rububiyah dan asma wa-sifat serta memerangi berbagai-bagai kesyirikan kerana naluri manusia diketika turunnya wahyu dan sesudah kewafatan baginda mudah bergelumang dengan kesyirikan, bid’ah, tahaiyul dan khurafat.

Di samping menyibukkan dirinya dengan sunnah seiringan dalam satu masa beliau telah mencipta dan mempertahankan berbagai-bagai bid’ah. Sayangnya segelintir pentaklid Yusuf al-Qaradhawi yang ghulu telah membesar-besarkan beliau sehingga membutakan mata hatinya terhadap berbagai-bagai bid’ah akidah ciptaannya yang telah diabaikan atau disembunyikan. Tidak terkecuali mereka yang berada di Malaysia dan Singapura.

Amat merugikan, Yusuf al-Qaradhawi sejak memulakan dakwahnya beliau menyibukkan dirinya dengan mengutamakan persoalan fiqhiyah, furu’iyah (cabang dan ranting) dan ijtihadiyah.

Kini para pengekornya pula sedang menyibukkan diri mereka dengan fiqhul waqi’ versi baru ciptaan Yusuf al-Qaradhawi, sedangkan masyarakat Islam pada hari ini perlu diselamatkan akidah mereka, kerana telah ramai yang kembali melakukan berbagai-bagai kesyirikan melalui amalan-amalan yang merosakkan akidah.

Di dalam tulisan ini, penulis menukil dari kata-kata aluan dari beberapa syeikh-syeikh Salafi yang terdapat pada pembukaan kitab (رفع اللثام عن مخالفة القرضاوي لشريعة الإسلام).
[1] Mereka mengecam dan membantah dengan sekeras-kerasnya fitnah-fitnah yang merosakkan akidah yang ditulis atau disuarakan oleh Yusuf al-Qaradhawi di dalam beberapa tulisan dan kenyataannya.

Terdapat ramai para masyeikh (syeikh-syeikh) yang telah membantah Yusuf al-Qaradhawi antara mereka terdiri dari:

(1). Syeikh Muqbil bin Hadi al-Wad’ii rahimahullah.
(2). Syeikh Ahmad bin Yahya an-Najmi
(3). Syeikh Muhammad Abdul Wahhab al-Wusabi al-Abdali.
(4). Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Imam.
(5). Syeikh Abdul Aziz bin Yahya al-Bar’i.
(6). Syeikh Soleh Fauzan al-Fauzan
(7). Al-Allamah Syeikh Abdul Aziz bin Bazz

Berkata Syeikh Muqbil bin Hadi al-Wad’ii rahimahullah:

“Antara sekian ramai pendakwah yang menyeru kepada kesesatan pada zaman ini ialah Yusuf al-Qaradhawi mufti negeri Qatar. Sungguh jelas, Yusuf al-Qaradhawi telah menjadi alat baru untuk menyerang Islam yang diinginkan oleh musuh-musuh Islam. Yusuf al-Qaradhawi begitu banyak mencurahkan dakwah dan tulisannya yang digunakan untuk menyerang ajaran Islam”.

Berkata Syeikh Ahmad bin Yahya an-Najmi:

“Terdapat beberapa kebatilan dakwah Yusuf al-Qaradhawi yang wajib dibantah antaranya: Menyeru kepada mencintai Yahudi dan Nasrani. (Adapun alasan Qaradhawi):
[2] Sesungguhnya Islam membolehkan seorang muslim menikahi Ahli Kitab. Kehidupan suami isteri dibangun di atas ketenangan jiwa, perasaan cinta dan kasih sayang. Kemudian beliau beralasan dengan ayat: “Dan antara tanda-tanda kekuasaannya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih dan sayang”. Namun larangan Allah adalah jelas di surah al-Mujadalah 58:22. “Kamu tidak akan mendapati suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang itu bapak-bapak atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang dariNya”.

Yusuf al-Qaradhawi sentiasa menyeru kepada penyatuan semua agama dan sering menghadiri seminar gerakan tersebut. Seruan Yusuf al-Qaradhawi menyalahi prinsip al-wala’ dan al-bara’ kerana umat Islam tidak boleh berwala’ kepada orang-orang kafir tetapi tetap diwajibkan berbuat baik kepada mereka. Setelah menghadiri beberapa seminar penyatuan agama di beberapa negara kuffar, Yusuf al-Qaradhawi pernah membuat kenyataan yang bertentangan dengan prinsip akidah Islamiyah. Beliau menyatakan niatnya setelah sekian lama berusaha untuk penyatuan agama Islam dengan bukan Islam:

“Dari pihak kami, kaum muslimin bersedia untuk mengadakan pendekatan/penyatuan agama. Yang penting pada pihak lain adanya semangat seperti yang ada pada diri kami…. Mereka sewajarnya melakukan pendekatan serupa dengan pendekatan yang kita lakukan terhadap mereka”.
[3]

Berpendirian bahawa kewajipan jihad semata-mata untuk mempertahankan diri sahaja bukan bertujuan untuk memerangi orang-orang kafir atau meninggikan kalimah Allah ‘Azza wa-Jalla. Menurut Yusuf al-Qaradhawi:

“Kami tidak memerangi Yahudi kerana alasan akidah, tetapi kami memerangi Yahudi kerana urusan tanah. Kami tidak memerangi orang kafir kerana mereka kafir tetapi kami memerangi mereka lantaran mereka merampas dan menceroboh tanah serta rumah kami tanpa kebenaran”.
[4]

Kaedah inilah yang ditiru bulat-bulat oleh Mohd Asri Zainal Abidin yang berpendirian: “Kita sokong Hizbullah, bukan Syiah”. Kata-kata ini setujuan dan sealiran dengan kaedah Yusuf al-Qaradhawi di atas yang boleh juga diberikan maksud: “Kami sokong Yahudi bukan kerana akidahnya, selagi mereka tidak merampas tanah kami dan harta benda kami, kami tidak akan memeranginya”. Ini diperkuat lagi dengan fatwa Yusuf al-Qaradhawi yang diulang-ulang oleh beliau:

نَعَمْ ! نَحْنُ مُؤْمِنُوْنَ وَهُمْ مُؤْمِنُوْنَ بَوَجْهٍ آخَرَ.

“Ya, kita semuanya orang-orang mukmin dan mereka (Yahudi dan Nasrani) adalah juga mukmin dengan wajah yang lain!”.
[5]

Yusuf al-Qaradhawi menganggap demokrasi sebagai sama dengan syura. Lihatlah kebodohan Yusuf al-Qaradhawi dalam memahami siyasah as-syariyah sehingga berani berkata:

“Demokrasi meliputi kebebasan dan cara-cara untuk menjatuhkan para penguasa yang zalim. Demokrasi adalah syiasah as-syariyah yang pembahasannya sangat luas dalam fiqh Islami. Demokrasi dan syura adalah seumpama dua sisi mata wang yang tidak dapat dipisahkan”.
[6]

Demokrasi adalah ideologi yang dikutip dari falsafah ciptaan akal manusia Majusi yang berasal dari Yunan (Greek). Syura pula adalah firman Allah di dalam al-Quran yang berupa wahyu atau Kalamullah. Demokrasi tidak boleh disamakan dengan Kalamullah kerana demokrasi termasuk fikrah manusia yang berupa makhluk. Sedangkan Kalamullah merupakan wahyu atau mukjizat yang tidak boleh diserupakan dengan kalam makhluk (tidak boleh disamakan dengan perkataan manusia), dalilnya adalah firman Allah ‘Azza wa-Jalla:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

“Tiada sesuatu yang menyerupai denganNya”.
[7]

وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ.

“Tiada sesuatu yang setara/sekufu denganNya”.
[8]
فَلاَ تَضْرِبُوْا للهِ الأَمْثَال.

“Janganlah kamu membuat permisalan untuk Allah”.
[9]

Yusuf al-Qaradhawi menghalalkan para wanita berjuang bersama-sama lelaki di Parlimen. Memilik hak sama rata untuk mencalun atau dicalun, malah dibolehkan oleh Yusuf al-Qaradhawi untuk menjadi pemimpin negara.

Yusuf al-Qaradhawi berkata:

“Menurut saya, tidak ada larangan bagi wanita menjadi anggota Parlimen, sebagaimana wanita dibolehkan ikut serta dalam pencalunan anggota Parlimen”.
[10]

Perkataan Yusuf al-Qardhawi ini bertentangan dengan hadis sahih:

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا اَمْرَهُمْ امْرَأَةً.

“Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Tidak akan berbahagia suatu kaum jika dipimpin oleh wanita”.
[11]

Yusuf al-Qaradhawi membenarkan banyak parti (hizbi/golongan) atau firqah dengan berbagai-bagai corak pemikiran serta manhaj yang berlainan. Menurutnya dengan banyaknya hizbi ia menjadi jalan damai bagi umat Islam. Yusuf al-Qaradhawi berkata:

“Banyaknya parti-parti dalam arena politik adalah sama dengan banyak mazhab dalam bidang fiqh”.
[12]

Dalam hal ini Yusuf al-Qaradhawi sewajarnya dapat membezakan antara parti dalam politik dan mazhab dalam fiqh. Parti kebiasaannya berusaha untuk menjatuhkan yang lain, sekurang-kurangnya melobi untuk mendapat undi serta kuasa. Parti jika berkiblatkan demokrasi pasti ada parti pembangkang atau parti lawan dan sering menjatuhkan antara satu dengan yang lain, tetapi mazhab fiqh sebaliknya, semua imam-imam mazhab seperti Imam Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi saling membantu, melengkapkan dan tidak pernah berusaha untuk menjatuhkan, mencari kesalahan atau mencari pengundi untuk meramaikan pengikutnya. Maka parti dan mazhab adalah seperti langit dan bumi. Beliau berfatwa:

Apabila kita membolehkan banyak agama…. mengapa tidak dalam satu agama atau satu peradaban mencakupi lebih dari satu aliran pemikiran? Tiada larangan dalam hal ini, yang penting sentiasa ada gesaan dan keserasian kerjasama yang mampu menampung semua”.
[13]

Yusuf al-Qaradhawi menyeru para pengekornya agar menjadikan Salafi sebagai Sufi.
[14] Ini menunjukkan bahawa Yusuf al-Qaradhawi meyakini sufi lebih baik dari Salafi, sebagaimana juga dimaklumi sufi menjadi asas amalan utama Hasan al-Banna. Apakah penafian Mohd. Asri Zainal Abidin bahawa Hasan al-Banna telah meninggalkan tariqat sufi dapat diterima?

Banyak lagi suara dan seruan kejahilan serta kesesatan Yusuf al-Qaradhawi yang boleh menghancurkan agama dari asasnya (akidah) jika tidak dibendung, sebagaimana merobohkan bangunan melalui asasnya (pondisinya), begitulah juga beberapa fatwa Yusuf al-Qaradhawi yang meruntuhkan akidah sahihah. Lihatlah bagaimana Yusuf al-Qaradhawi bertegas:

“Aku berusaha untuk mensalafkan sufiyah, kemudian mensufikan salafiyah. Dalam kata lain berusaha untuk mencampurkan keduanya”.
[15]

Apakah dalam hal ini Mohd Asri Zainal Abidin akan menuduh penulis tidak amanah dan menukil dengan penuh pembohongan? Silalah merujuk kepada penukilan yang asli, di situ akan ditemui kebenarannya. Untuk pengetahuan Mohd Asri bahawa Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Imam telah mengomentar seruan Yusuf al-Qaradhawi yang mungkar ini dengan menegaskan:

“Dalam buku ini (رفع اللثام عن مخالفة القرضاوي لشريعة الإسلام), penulis buku ini tidak secara langsung telah membongkar khurafat Yusuf al-Qaradhawi. Sudah pasti seseorang yang mementingkan kebenaran akidah, maka melalui sikap khurafat Yusuf al-Qardhawi ini sudah memadai untuk menilai siapa hakikat Yusuf al-Qaradhawi yang sebenarnya”.

Yusuf al-Qaradhawi merupakan seorang penganut manhaj Ikhwanul Muslimin yang tega, pengikut setia dan tunjang penguat pertubuhan ini. Beliau bermati-matian mempertahankan pertubuhan ini walau apapun akan terjadi pada diri atau pertubuhan serta para anggotanya. Syeikh Abdul Aziz bin Yahya al-Bar’i pula, pada tarikh 17 Jamadil Sani 1420H di Jizan, Samith, Arab Saudi beliau menjelaskan:

“Pada diri Yusuf al-Qaradhawi telah sebati dan mendarah daging manhaj Ikhwanul Muslimin.
[16] Saya pernah mengatakan dan akan terus mengatakan Ikhwanul Muslimin tidak pernah mempunyai seorangpun yang layak menjadi rujukan dalam ilmu syariah. Jika terdapat salah seorang dari mereka mendapat ilmu, pasti dia memperolehinya dari Ikhwanul Muslimin, malangnya ilmu yang ditimba dari Ikhwanul Muslimin kemudian menjadi ulama, pasti akan melahirkan berbagai-bagai penyimpangan akidah. Contohnya Yusuf al-Qaradhawi dan (gurunya) Muhammad al-Ghazali banyak menyimpangkan akidah Islamiyah”.

Menurut Syeikh Abdul Aziz bin Yahya al-Bar’i lagi:

“Diayah (propaganda) penyatuan agama yang diserukan oleh Yusuf al-Qaradhawi, sebelum ini telah dipelopori oleh az-Zindani dan Hasan at-Turabi. Seluruh anggota Ikhwanul Muslimin mengakui (ketokohan) keduanya, malah kedua mereka mewakili Ikhwanul Muslimin di seminar (وحدة الأديان) Penyatuan Agama di Sudan”.
Syeikh Abdul Aziz bin Yahya al-Bar’i selanjutnya berkata:

“Seruan dan propaganda supaya mencintai kaum Yahudi dan Nasrani (Qibti atau Nasrani/Kristian berbangsa Mesir) bukan dipropagandakan oleh Qaradhawi seorang, malah diusahakan juga oleh al-Hudhaibi seorang tokoh Ikhwanul Muslimin dan tokoh-tokoh lainnya”.

Syeikh al-Muhaddis al-Fadil Abu Ibrahim Muhammad bin Abdul Wahhab al-Wusabi al-Abdali dari Yaman: “Beliau yang mulia ini telah memuji tindakan Syeikh Ahmad bin Muhammad bin Masyhur al-Udaini menghasilkan kitab “Raf’ul Litsaam Min Makril Qaradhawi Li Dinil Islam. Kitab ini telah membongkar penyelewengan dan tembelang Yusuf Qaradhawi berserta fakta-fakta yang jelas”. Pada tarikh 12 Rejab 1420H. beliau telah memuji dan memberi kata-kata aluan pada kitab yang membongkar tembelang Yusuf al-Qaradhawi ini dengan berkata:

“Kitab ini adalah sebuah risalah yang baik dan bermanfaat bagi orang yang Allah kehendaki untuk mendapat kebaikan dan hidayah. Mudah-mudahan Allah membalas dengan sebaik-baik balasan dan semoga Allah membalasnya dengan ganjaran yang sangat baik atas pengorbanan yang telah dicurahkan untuk menasihati penyelewengan Yusuf al-Qaradhawi dan juga umat Islam umumnya. Wajib bagi kaum muslimin untuk menerima kebenaran yang datang kepadanya demi menghapuskan kemungkaran Yusuf al-Qaradhawi. Allah ‘Azza wa-Jalla berfirman:

فَذَلِكُمُ اللهُ رَبُّكُمُ الْحَقُّ فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلاَّ الضَّلاَلُ فَأَنَّى تُصْرَفُوْنَ

“Maka (Zat yang demikian) itulah Allah, Rabb kamu yang sebenarnya, maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan. Maka bagaimana kamu dipalingkan (dari kebenaran)?.
[17]

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَاْلأَرْضُ وَمَنْ فِيْهِنَّ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذَكْرِهِمْ مُعْرِضُوْنَ.

“Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu”.
[18]

Syeikh Abu an-Nashr Muhammad bin Abdullah al-Imam setelah meneliti kitab Raf’ul Litsaam Min Mukhalafatul Qaradhawi Li Syaiatil Islam,
[19] beliau berkata:

“Di dalamnya disingkap tirai kerosakan Yusuf al-Qaradhawi. Barangsiapa yang tidak menutup ‘aib dirinya dengan adanya malam, maka ‘aibnya tidak akan tertutup sama sekali pada siang harinya”.

Seterusnya Syeikh Abu an-Nashr Muhammad bin Abdullah al-Imam menjelaskan:

“Di dalam buku ini, penulis juga mengungkap sekilas tentang khurafat Yusuf al-Qaradhawi. Bagi orang yang mengutamakan kebenaran, dengan mengetahui perilaku khurafat Yusuf al-Qaradhawi ini sahaja sudah memadai baginya untuk menilai jatidiri beliau yang sebenar. Sebelumnya para ulama telah menebas habis-habisan pemikiran Muhammad al-Ghazali (guru Yusuf al-Qaradhawi) ketika ia terperosok ke dalam berbagai-bagai kesesatan yang sangat besar. Kini Yusuf al-Qaradhawi menjadi penerusnya, ini bermakna beliau adalah al-Ghazali kedua pada zamannya. Ikutilah kelana yang diberkahi ini dan teguklah ilmunya untuk membasahi dahaga dan menghilangkan penyakit. Bagi orang yang adil, tidak ada yang patut dilakukan selain bersyukur kepada Allah yang telah melahirkan para pembela agama ini. Adapun orang yang sombong walaupun segala kebenaran dilebur dalam kedua tangannya dia tetap tidak mahu mengakui kebenaran. Semoga kitab ini boleh diterima, bermanfaat serta mengembalikan Yusuf al-Qaradhawi kepada kebenaran. Amin”.

Seorang lagi ulama dari Yaman iaitu Syeikh al-Muhannik Abu Dzar Abdul Aziz bin Yahya al-Bar’i rahimahullah berkata:

“Saya tidak menyangka perkara yang paling batil telah disampaikan oleh Yusuf al-Qaradhawi. (Selanjutnya beliau berkata): Tentang Yusuf al-Qaradhawi, manhaj Ikhwanul Muslimin telah mendarah daging dalam dirinya. Pernah saya katakan dan akan terus saya katakan bahawa Ikhwanul Muslimin tidak mempunyai seorang alim pun yang layak menjadi rujukan (referensi) umat dalam ilmu syariah. Jika memang ada orang alim dalam bidang syariah, maka pasti dia telah mendapatkan ilmu tersebut dari luar jamaah Ikhwanul Muslimin. Sedangkan yang mendapat ilmu dari sesama anggota Ikhwanul Muslimin lalu dijadikan ulama, pasti akan melahirkan berbagai-bagai penyimpangan. Contohnya yang sangat nyata ialah Yusuf al-Qaradhawi dan Muhammad al-Ghazali”.

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa propaganda penyatuan agama telah dipelopori oleh az-Zindani dan Hasan at-Turabi. Seluruh Ikhwanul Muslimin mengakui ketokohan dan segala tindakan kedua mereka, bahkan mewakili Ikhwanul Muslimin dalam Muktamar Wihdatul Adyan (Penyatuan Agama-Agama) di Sudan.

Kemudian kemungkaran ini terus diperjuangkan oleh Yusuf al-Qaradhawi sehinggalah kesaat ini. Gerakan Penyatuan Agama-Agama adalah propaganda untuk mengajak umat Islam mencintai orang-orang Yahudi dan Nasrani. Tindakan ini bukan hanya dilakukan oleh az-Zindani, Hasan at-Turabi dan Yusuf al-Qaradhawi sahaja tetapi digiatkan juga oleh al-Makmun al-Hudaibi dan para tokoh Ikhwanul Muslimin lainnya. Dalam wawancara di akhbar al-Muharrir edisi 267, Isnin 29 August 1994 yang mana al-Makmun al-Hudaibi mengatakan:

إِذَا قَبِلَ وَاحِدٌ مِنَ اْلأَقْبَاطِ مَبْدَأَنَا ، نُرَشِّحُهُ فَوْرًا عَلَى قَوَائِمَنَا وَنَحْنُ لاَ نَطْلُبُ مِنْهُ بِطَبِيْعَةِ الْحَالِ أَنْ يَكُوْنَ مُسْلِمًا.

“Apabila ada seorang Qibti (Kristian/Nasara) yang menerima prinsip-prinsip kami, maka kami akan segera mencalonkannya untuk menjadi pemimpin-pemimpin kami dan tidak menuntut dengan keadaan tabiatnya untuk menjadi seorang muslim”.

Lalu seorang wartawan bertanya kepada al-Makmun al-Hudaibi:

“Kalau begitu kamu tidak mempunyai larangan untuk mencalonkan orang-orang Qibti (Kristian) menjadi pemimpin-pemimpin kamu secara langsung”.

al-Hudaimi menegaskan:

لَيْسَ هَذَا فَقَطْ ، بَلْ لَيْسَ لَدَيْنَا مَانِعٌ مِنْ أَنْ يَكُوْنَ الْقِبْطِيُّ عُضْوًا فِى جَمَاعَةِ اْلإِخْوَاِنِ الْمُسْلِمِيْنَ.

“Bukan hanya setakat itu, bahkan kami tidak mempunyai larangan bagi orang Qibti untuk menjadi anggota Ikhwanul Muslimin”.

Selanjutnya beliau berkata:

“Perhatikanlah orang-orang yang berpengaruh pada diri Hasan al-Banna dan periksalah sikap mereka terhadap Madrasah Aqlaniyah (rasional), maka dapat disimpulkan bahawa orang-orang Ikhwanul Muslimin adalah para aqlaniyun (penyembah/pemuja akal seperti Muktazilah)”.

Kenyataan ini membuktikan bahawa para tokoh Ikhwanul Muslimin adalah ahli fikir (orang aklani) yang diulamakan. Perhatikanlah antara tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dengan orang-orang yang menganut fahaman Muktazilah, ternyata mereka serupa dalam mendahulukan akal (rakyu/hawa nafsu) dari naql (dalil dari wahyu).

Pembaca juga akan menemui ramainya para tokoh Ikhwanul Muslimin yang menolak hadis ahad (walaupun hadis sahih). Mereka juga sepakat terhadap prinsip khuruj (prinsip Khawarij keluar dari pemerintah untuk memberontak) menentang (melucutkan taat setia kepada) pemerintah Muslimin yang zalim atau hanya bertqiyah (hipokrit) ketika bersama pemerintah. Perlu diketahui oleh orang-orang yang beriman bahawa salah satu dari prinsip Muktazilah yang mereka pertahankan ini diketika bertaqiyah, mereka beralasan sebagai mempertahankan amar makruf nahi mungkar.

Segala tahzir (peringatan) telah dilakukan oleh para syeikh Salaf terhadap talbis, makr, tadlis dan penyelewengan tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin terutamanya Yusuf al-Qaradhawi. Adapun data butiran ringkas tentang kebatilan Yusuf al-Qaradhawi yang menyebabkan beliau ditahzir ialah:

1. Pemahamannya tercemar oleh fahaman aklani (rasionalis) dari madrasah hawaiyah (menimbang nas dengan hawa nafsu), sehingga menolak hadis-hadis sahih dan alasan tidak dapat diterima oleh akal. Kenyataan ini dapat dilihat di dalam “Kaifa Nata’amal Ma As-Sunnah”.

2. Memahami al-Quran dengan cara tidak merujuk kepada pemahaman Salaf tetapi hanya menurut pemahaman dari hawa nafsunya. Tidak menghargai, tidak memuliakan, tidak memperdulikan pendapat dan ijmak ulama, malah menentang ijmak apabila bertentangan dengan nafsunya.

3. Mengajak umat Islam mencintai Yahudi dan Nasrani sebagaimana terdapat di dalam kitab-kitab mereka, akhbar dan majalah.

4. Bersatu mendekatkan kaum Muslimin dengan musuh-musuh Islam (Yahudi dan Nasrani).

5. Jihad hanya untuk membela diri bukan untuk meluaskan dakwah Islam.

6. Memuliakan/menghormati tempat ibadah kaum kuffar.

7. Berkempen ke arah “Keamanan Sejagat/Perdamaian Dunia” tanpa lesu. Tujuannya untuk membelenggu umat agar tidak berjihad.

8. Mempropagandakan tentang baiknya keberagaman agama.

9. Menyebar-luaskan pemikiran-pemikiran kuffar dan mencantikkannya dengan wajah Islam seperti demokrasi dan pilihan raya.

10. Jika terdapat perselisihan pendapat, dikembalikan dengan pendapat ramai (majoriti).

11. Memecahkan umat menjadi berbagai-bagai hizib. (Menurut Qaradhawi: Banyaknya parti perpecahan dalam arena politik adalah sama seperti banyaknya mazhab dalam bidang fiqh).
[20]

12. Berpendapat bahawa orang yang menegur/mengkritik para pentakwil dan yang mengingkari tauhid asma wa-sifat adalah mengingkari perjuangan dan membantu musuh-musuh Islam untuk melemahkan barisan Islam.

13. Berusaha untuk mensufikan salaf dan mencampur-adukkan keduanya.

14. Mencela ulama sunnah dan memuji ahli bid’ah dan ahwa.

15. Merayakan perayaan-perayaan yang bid’ah.

16. Menghalalkan lakunan, drama, teater, nyanyian, muzik dan lagu dan meminati (tergoda/terpesona) dengan suara Faizah Ahmad. Sedangkan lakunan, drama, nyanyian, muzik dan lagu adalah bid’ah ciptaan Syiah di zaman Abbasiyah ketika mendramatisasikan kisah terbunuhnya Husin radiallahu anhu di Karbala dengan drama yang dipenuhi kemungkaran. Lihatlah persamaannya fikrah Yusuf al-Qaradhawi dengan Syiah dalam hal ini, apabila Yusuf al-Qaradhawi ditanya oleh seorang wartawan: Di mana kuliah anakmu belajar menggubah lagu/muzik dan nasyid? Yusuf al-Qaradhawi menjawab: Dia belajar dan mengasah bakat dari sekolah muzik. Dia mempunyai banyak hobi. Anakku Si Abdulrahman pula berkuliah di Darul Ulum, dia mempunyai ramai teman wanita dan mungkin antara teman-teman wanitanya ada yang telah menjadi buah hatinya. Dan menurut Yusuf al-Qaradhawi semuanya ini diperbolehkan.
[21]

17. Meminati filem-filem di TV dan VCD.

18. Menghalalkan wayang gambar dan menggalakkannya kerana dianggap baik dan halal.

19. Menghalalkan penjualan barangan yang haram bagi orang yang menetap di negeri kafir.

20. Menghalalkan menghadiri majlis-majlis yang terhidang barangan haram seperti arak jika berniat untuk dakwah.

21. Menghalalkan produk yang bercampur daging, minyak atau lemak babi setelah melalui proses kimia.

22. Mengeluarkan fatwa-fatwa dan tulisan yang saling bertentangan antara satu dengan yang lain.

23. Kelayakannya dalam ilmu-ilmu hadis sangat lemah.

Segala pengisian maklumat di atas ini penulis ambil (menukil) dari kitab رفع اللثام عن مخالفة القرضاوي لشريعة الاسلام supaya penulis tidak dituduh sebagai tidak amanah, maka sila rujuk kepada kitab tersebut.


[1] . Rujuklah kepada kitab: رفع اللثام عن مخالفة القرضاوي لشرعة الاسلام agar terbukti
bahawa penulis menukil kenyataan ini dengan jujur dan amanah.
Ingatlah, pengkhianatan ilmu bukan sikap orang-orang Salaf!
[2] . غير المسلمين فى العالم الاسلام hlm. 68. al-Qaradhawi.
[3] . الاسلام والغرب مع يوسف القرضاوي hlm. 18.
[4] . Lihat: (1). Harian ar-Rayah No. 4696. 24 Sya’ban 1414H bersamaan
25 Januari 1995M.
(2). al-Qutubiyah Hiyal Fitnah Fa’rifuha. Hlm. 207.
[5] . Lihat: (1). Fatwa Mu’assarah 2/6668.
(2). Malamih al-Mujtama’ al-Muslim.
(3). al-Khashashul Ummah Fil Islam hlm. 90.
[6] . Harian asy-Syarq. Edisi 2719. 25 August l995M.
[7] . Asy-Syura. 42:11.
[8] . Al-Ikhlas. 112:4’
[9] . An-Nahl . 16: 74
[10] . Lihat: al-Watan. Edisi 49. 21 Oktober 1ll5.
[11] . H/R Bukhari.
[12] . Harian ar-Rayah. Edisi 4721. 23 Februari l995M.
[13] . الاسلام والغرب مع يوسف القرضاوي hlm. 89.
[14] . Seruan Yusuf al-Qaradhawi ini pernah dimuatkan di majalah an-Nida’
[15] . Harian Watan. Edisi 51. 23 Oktober l995M.
[16]. Yusuf al-Qaradhawi mengakui bahawa pengaruh madrasah Ikhwanul Muslimin lebih kuat dari pengajiannya di al-Azhar. Lihat: Ulama wa-Mufakkirun ‘Araftuhum. 1/446. Al- Majdub.
[17] . Yunus. 10-32.
[18] . al-Mu’minun, 23:71.
[19] . Kitab ini telah membedah dan membongkar begitu banyak khurafat, kesalahan,
kemungkaran, dan kerosakan manhaj pemikiran Yusuf al-Qaradhawi, sama ada
di segi akidah, ibadah, siyasah dan fiqhiyah.
[20] . Harian ar-Rayah. Edisi 4721, 23 Februari l995.
[21] . Lihat: Majalah Sayidati no. 678. 11 March 1994.